Monday, April 19, 2010

POLITIK :Derita Pemimpin (Ulangan)



TUNKU ABDUL RAHMAN

HIDUPNYA DISELIMUT SEDIH


Oleh: Mokhtar Petah


Perdana Menteri Malaysia pertama, Tunku Abdul Rahman Putra, telah berjaya dalam jihadnya menuntut kemerdekaan Tanah Melayu, berkuasa sebagai memimpin negara dan rakyat, namanya masyhur ke seluruh dunia, tetapi semua ahli UMNO yang lahir selepas negara merdeka, tidak mengetahui beban duka yang ditanggungnya hingga ke akhir hayatnya.

Pada malam jenazah Tunku masih terbaring dalam banglo di Bukit Tunku, Kuala Lumpur, ramai rakan dan rakyat Malaysia sedang menziarahnya, pada sebatang pokok, di halaman banglo itu terpampang papan tanda dengan tulisan besar ‘Rumah ini hendak dijual’.

Dalam hujan renyai-renyai, penyokong kuat Tunku Abdul Rahman, Haji Baiza, dari Butterworth, telah memanjat pokok itu dan membuang papan tersebut ke dalam semak.

Itulah di antara gambaran perbuatan di kalangan orang tertentu menghina pemimpin orang Melayu dan rakyat Malaysia.

Sebaik-baik sahaja Tunku memikul beban pemimpin UMNO, setelah Dato Jaafar meninggalkan parti itu pada tahun 1951, Allahyarham telah dihalau oleh abangnya, Sultan Kedah dari istana di Alor Setar.

Sultan Kedah tidak suka Tunku memimpin UMNO dan menuntut kemerdekaan, kerana pada pandangan Baginda, jika Inggeris tidak memerintah tanah Melayu ini kedudukan Raja Melayu akan terhapus dan rakyat kebuluran.

Tunku bersama isterinya, Syarifah Razdiah, telah terpaksa keluar dari istana peninggalan ayahandanya pada waktu malam. Mereka telah tinggal di sebuah rumah usang, di Telaga Air, dekat Kepala Batas, Seberang Perai.

Wang simpanan tidak ada, perjuangan mesti diteruskan, Tunku terpaksa menggadaikan barang kemas isterinya untuk belanja dapur dan melaksanakan tanggungjawab sebagai pemimpin UMNO dan orang Melayu.

Orang tempat Tunku mengadu dan meminta nasihat, ialah Sheikh Abdullah Fahim, di sekolah agama – Daeratul Maariful Wataniah, Kepala Batas -, Kepala Batas – Anaknya, Haji Ahmad Badawi sering datang menziarah Tunku dan isterinya.

Sebagai anak Raja memerintah negeri, Tunku ada ‘pencen perut’ dan wang dari sumber-sember peninggalan ayahandanya, tetapi Tunku tidak mendapatnya, kerana menurut peguam yang memegang amanah, ‘ada larangan’ mengeluarkan wang kepada Tunku.

Pada tahun 1954, saya telah menemui Tunku untuk mendapatkan bahan berita dan artikel saya untuk surat khabar Warta Negara, Pulau Pinang, Tunku terlah berkata antara banyak percakapannya, “ Hang taulah, Mokhtar, saya ni anak ghaja papa…”

Semua orang Melayu dalam parti –parti politik yang menentang UMNO, sentiasa menghina dan mengutuk Tunku hinggalah kepada masa Tunku memegang jawatan Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu kemudian Malaysia.

Dr. Mahathir Mohamad turut mengkritik Tunku kerana beliau mendapati Tunku terlalu lembut telinga dengan saudagar-saudagar bukan Melayu. Kritikan Dr. Mahathir Mohamad itu terkandung dalam surat beliau kepada Tunku. Beliau telah melakukan kesilapanan, kerana surat itu tidak diserahkan kepada Tunku, sebaliknya dikirim melalui pejabat pos.

Surat itu telah dibuka oleh seorang pegawai Cina, di pejabat Perdana Menteri. Dia tidak menyerahkan surat tersebut kepada Tunku, sebaliknya dia bersama beberapa orang UMNO yang menentang Tunku telah menyalinkan surat Dr. Mahathir Mohamad itu dan disebar sebagai surat layang.

Akibat surat itu, Dr. Mahathir Mohamad telah dipecat dari UMNO. Ekoran dari kritikan itu, Dr. Mahathir Mohamad telah menulis buku dalam bahasa Inggeris, Malay Dilema dan diterbitkan di luar Negara. Kementerian Dalam Negeri telah mengharamkan pengedaran dan penjualan buku tersebut di negara itu.

Tunku Abdul Rahman seorang pemimpin yang lembut hati – kasihan kepada orang yang meminta dan berhajat. Kerana peruntukan gelaran ‘Dato’ (bagi negeri-negeri beraja) dan ‘Datuk’ (bagi negeri-negeri tidak beraja dan Yang Dipertuan Agong) tidak mencukupi sedangkan individu yang berhajat terlalu ramai.

Tunku telah mendapat akal dan dengan kelulusan Kabinet dan Majlis Raja-Raja Melayu, maka satu gelaran baru telah diwujudkan, iaitu Tan Sri. Gelaran itu hak Kerajaan Pusat dan dan dikurniakan oleh Yang Dipertuan Agong kepada individu –individu yang berkelayakan.

Pada satu hari dalam pertemuan saya dengan Tunku di rumahnya, di Pulau Pinang, saya telah bercakap dengan Tunku kira-kira begini:

“Pak Unku, dalam sejarah Melayu, gelaran paling tinggi, ialah Tun, mengapa pula ada Tan Sri?” Saya bertanya.

“Ia, Tun Seri Lanang …,”jawab Tunku Abdul Rahman.

“Tapi dari mana datang gelaran Tan Sri tu, Pak Unku?” Saya bertanya lagi.

“Hang tau, Mokhtar, yang minta gelaran Tun, Datuk, ghamai, gelaghan tu tak banyak, kita terpaksa buat gelaghan baghula …,” jawab Tunku.

Saya merenung wajah Tunku. Tunku senyum dan berkata, “kita ada dua oghan yang berjuang bersama kita, Tan Cheng Lock Melaka, Sri Sambathan di Perak. apa salah kita ambil daghi nama depa Tan dan Sri, jadi gelaran Tan Sri.”

Saya ketawa. Tunku ketawa. Tawa kami jadi satu.

“Kalau macam tu, saya tak nak gelaran tu, Pak Unku, “ saya berkata.

“Hang oghan press nak buat apa, …saya sendighi pun tak nak gelaghan …,” sahut Tunku Abdul Rahman.

Pada satu hari, seorang saudagar Cina telah menemui Tunku dan meminta satu lesen dari kerajaan dari Tunku. Dia telah memberitahu Tunku akan memasukkan nama anak Tunku, iaitu Tunku Ahmad Nerang ke dalam syarikatnya sebagai pemegang saham.

Tunku Abdul Rahman berkata, “Jangan masuk anak saya, kalau masuk anak saya kerajaan tak lulus application Datuk,”

“ … selagi saya jadai pm, saya tak izin anak saya cari kekayaan dari kerajaan saya…,”kata tunku kepada saya.

Setahu saya, tiada seorang pun anak Tunku Abdul Rahaman yang melibatkan diri dalam perniagaan dan mendapat pertolongan Tunku.

Setelah Tunku berhenti dari jawatan Perdana Menteri, saya mendapati anak Tunku menjalankan peniagaan kecil menjahit pakaian, di sebuah rumah lama, Jalan Belimbing, dalam Bandar Kuala Lumpur.

Benarkah Tunku Abdul Rahman diguling oleh puak pihak Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein? Belum ada tertulis dalam mana-mana buku sejarah atau politik di negara ini mengenai perkara itu.

Sesiapa yang membaca Wikipedia bahasa Melayu, ensiklopedia bebas, di bawah sub-heading Kerjaya Politik - Tun Abdul Razak, http//ms.wikipedia Tun Abdul Razak akan dapat membaca tulisan seperti di bawah ini:

‘Selepas Peristiwa 13 Mei 1969, puaknya (Tun Abdul Razak) di dalam UMNO menggulingkan Tunku Abdul Rahman serta mengistiharkan Keadaan Darurat dan beliau memerintah melalui dekri sehingga 1970. Pada 23 September 1970, Abdul Razak mewarisi Tunku Abdul Rahman sebagai Perdana Menteri Malaysia yang kedua.’

Kira-kira empat bulan setelah Tunku Abdul Rahman meletakkan jawatan Perdana Menteri dan tinggal di rumah kerajaan, Bukit Tunku, Kuala Lumpur, pada satu malam, Datuk Abdul Aziz Antara (Allahyarham), pemilik Pustaka Antara dan saya telah menziarah Tunku di banglo kerajaan, di Bukit Tunku, Kuala Lumpur.

Pada ketika bercakap dengan kami, Tunku telah menunjukkan surat dari Setiausaha Negara yang memberitahu Tunku, supaya berpindah dari rumah itu.

“Eh, Pak Unku, kan Pak Unku bekas Perdana Menteri, ngapa pula suruh pindah, kalau ia pun berilah tempoh …,” saya berkata.

“Ia, Tunku, tak patut, sepatutnya beri Tunku duduk di sini setahun dua lagi,” sambut Abdul Aziz Antara.

“ …ni perintah Razakla …, suruh saya pindah …, di mana saya nak duduk …, saya tak ada ghumah …,”kata Tunku Abdul Rahman.

“Saya dah kighim sughat kepada KSN, saya beghi tau dia, saya tak ada ghumah, saya minta sewa ghumah ni,” ujar Tunku Abdul Rahman.

Abdul Aziz Antara dan saya merenung wajah Tunku. Hati saya sedih merenung wajah seorang pemimpin berjasa diperlakukan begitu.

“ … tapi KSN beritahu, tak nak sewa, depa nak jual ghumah ni kepada saya …,” kata Tunku Abdul Rahman.

“Belilah Pak Unku …,” saya berkata.

“Ia, Tunku, baik beli …, kawasan rumah ni luas …,” kata Datuk Abdul Aziz.

“Mana saya ada duit nak beli ghumah ni,”sahut Tunku Abdul Rahman.

“Pak Unku, duit pemberian kerajaan British kerana Pak Unku bantu menjayakan projek besar …,” saya berkata sambil merenung ke dalam dua lubuk mata Tunku Abdul Rahman.

“Celaka, depa tipu saya …, beghi £10,000 (pound), tak begi lagi …,” sahut Tunku Abdul Rahman.

Wajah Tunku sedih. Puan Sharifah Radhiah yang duduk atas kerusi roda dekat kami berwajah sedih juga.

Beberapa hari kemudian, Abdul Aziz Antara telah menghubungi beberapa orang rakan karib Tunku dalam UMNO yang kaya raya dan beberapa orang menteri kabinet dan memohon mereka membantu Tunku membeli banglo tersebut. Tetapi tiada seorang pun yang memberi kesanggupan.

Dengan usaha Abdul Aziz Antara dan Melan Abdullah, seorang saudagar Cina yang dulunya telah meminta supaya Tunku Ahmad Nerang dimasuk ke dalam syarikatnya dan Tunku tidak membenarkannya, telah membeli banglo itu dari kerajaan Malaysia untuk Tunku Abdul Rahman.

Di banglo itulah, seorang pejuang kemerdekaan tanah air, Tunku Abdul Rahman Putra telah mengakhiri perjalanan hidupnya yang berselimut sedih dan duka.

Hajat Tunku telah dikabulkan tuhan. Amanatnya telah disetujui oleh Kerajaan Malaysia, jenazah tunku tidak dikebumikan di Makam Pahlawan, dalam kawasan Masjid Negara, Kuala Lumpur.Jenazahnya dikebumikan di makan Diraja Kedah – sebelah makam ayahandan dan kekandanya -, di Langgar, dekat Alor Setar.

Tunku telah meninggalkan terlalu banyak jasanya kepada kita. Meninggalkan contoh dan tamsil yang boleh kita fikir bersama.

Saya berfikiran, mungkin - bukan nujum Pak Belalang -, sesiapa juga yang memegang jawatan Perdana Menteri Malaysia, kecuali meninggal dunia dan sebelum lama makan pencen -, akan menerima nasib dan mengikuti denai seperti yang dilalui oleh Tunku Abdul Rahman.

Kita ketawa orang ketawa,

Kita menangis orang tidak,

Usah diharap kepada orang,

Hanya Allah tempat berserah.

No comments: