Tuesday, April 13, 2010

HALAL ATAU HARAM

MAKANAN DAN BARANGAN


1.APAKAH FUNGSI BAHAGIAN HUB HALAL?
Bahagian Kajian Makanan dan Barangan Gunaan Islam JAKIM telah dipertanggungjawabkan sebagai institusi kerajaan yang mengeluarkan sijil pengesahan halal dan logo halal untuk pihak industri yang terlibat dengan industri pengeluaran makanan, minuman, barangan gunaan, rumah sembelih dan premis makanan. Bahagian ini juga bertanggungjawab menjalankan pemantauan ke atas setiap pemegang sijil pengesahan halal JAKIM agar sentiasa mematuhi piawaian halal yang telah ditetapkan.
2.BAGAIMANAKAH PROSES PERMOHONAN SIJIL PENGESAHAN HALAL?
Untuk mendapatkan pengesahan halal JAKIM, setiap pemohon hendaklah mengisi dan memenuhkan setiap maklumat yang dikehendaki di dalam borang permohonan yang disediakan. Borang permohonan boleh didapati di kaunter Bahagian Kajian Makanan dan Barangan Gunaan Islam JAKIM, Aras 1, Blok D7, Parcel D, Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Putrajaya atau dengan mengemukakan permohonan secara on-line di lawan web www.halaljakim.gov.my. Bagi permohonan yang telah dproses akan menerima surat kadar caj menyatakan jumlah caj yang perlu dibayar, setelah bayaran dibuat, jadual pemeriksaan ke kilang/premis berkenaan akan diaturkan. Laporan hasil pemeriksaan akan dibuat selepas lawatan pemeriksaan, sekiranya tidak terdapat masalah sewaktu lawatan, kilang/premis tersebut akan disenaraikan untuk dibawa masuk ke dalam Mesyuarat Panel Halal. Keputusan dari Mesyuarat Panel Halal adalah muktamad dan syarikat/kilang/premis yang diluluskan tersebut adalah dibenarkan menggunakan logo halal JAKIM dan disenaraikan sebagai pemegang Sijil Pengesahan Halal JAKIM.
3.BAGAIMANA JAKIM MEMBERI PENGESAHAN HALAL KEPADA PEMOHON PENGESAHAN HALAL?
Bagi setiap permohonan pengesahan halal JAKIM, borang yang telah diproses dan pembayaran caj yang dikenakan ke atas pemohon telah dibayar, maka kilang/syarikat/premis makanan terbabit akan dijadualkan untuk lawatan pengesahan ( inspection ). Setiap inspection yang akan dibuat tidak akan dimaklumkan kepada pihak kilang/syarikat/premis makanan yang akan diperiksa, pemeriksaan akan dilakukan oleh dua orang pegawai iaitu seorang pegawai teknologi makanan dan seorang pegawai agama. Pegawai teknologi makanan akan melakukan pemeriksaan dari aspek teknologi makanan seperti jenis bahan yang digunakan, aspek kebersihan dan lain-lain manakala pegawai agama akan melakukan pemeriksaan dari aspek agama seperti status halal bahan yang digunakan, sumber daging/ayam mentah diperolehi, kesahihan penyembelihan yang dilakukan dan lain-lain. Setelah inspection dilakukan, kedua-dua pegawai bertugas akan membuat laporan mengenai kilang/syarikat/premis makanan yang telah dilawati untuk dibawa masuk ke dalam Mesyuarat Panel Halal JAKIM. Mesyuarat Panel Halal ini dipengerusikan oleh Pengarah, Bahagian Kajian Makanan dan Barangan Gunaan Islam akan menentukan sama ada sesuatu kilang/syarikat/premis makanan itu boleh diluluskan atau tidak berdasarkan kepada laporan yang dibuat oleh pegawai pemeriksa dan perbincangan di dalam mesyuarat.
4.APAKAH BADAN/INSTITUSI LAIN YANG LAYAK MENGELUARKAN SIJIL PENGESAHAN HALAL DAN LOGO HALAL?
JAKIM dan Jabatan Agama Islam Negeri-negeri (JAIN) adalah dua badan/institusi yang dipertanggungjawabkan secara rasmi bagi mengeluarkan sijil pengesahan halal dan logo halal untuk produk yang dikilangkan di Malaysia, premis makanan dan rumah sembelih. Sebarang logo halal atau sijil pengesahan halal yang dikeluarkan oleh mana-mana pihak swasta adalah tidak diiktiraf oleh kerajaan dan boleh dikenakan tindakan sekiranya didapati melanggar undang-undang.
5.APAKAH PERBEZAAN LOGO HALAL YANG DIKELUARKAN OLEH JAKIM DAN JAIN ?
Logo halal yang dikeluarkan oleh JAKIM adalah berbentuk bulat terdapat perkataan Malaysia dalam huruf rumi dan jawi disekeliling bulatan manakala ditengah bulatan terdapat perkataan halal jawi dan rumi. Bagi logo halal yang dikeluarkan oleh Jab. Agama Islam Negeri, logo yang sama tetapi terdapat perbezaan dibawah perkataan halal tulisan rumi iaitu terdapat kolum bertulis H - diikuti oleh no. pendaftaran mengikut negeri sebagai contoh bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur H -14, bagi logo halal yang dikeluarkan oleh Jab. Agama Islam Selangor ( H-10), bagi logo halal yang dikeluarkan oleh Jab. Agama Islam Johor ( H- 01) dan begitulah seterusnya mengikut no. pendaftaran negeri-negeri.
6.PENGESAHAN HALAL KE ATAS MEDAN SELERA ( FOOD COURT) Pengesahan halal ke atas Medan Selera pada dasarnya adalah terletak dibawah bidang kuasa Jab. Agama Islam Negeri (JAIN), permohonan boleh dikemukakan secara individu oleh pengusaha gerai ataupun oleh pihak pengurusan medan selera secara berkelompok bergantung kepada syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh JAIN. Permohonan hendaklah dikemukakan ke Jabatan Agama islam Negeri yang terbabit, contohnya bagi Medan Selera di KLCC, maka pihak pengurusan Medan Selera KLCC ataupun pengusaha gerai secara individu boleh mengemukakan permohonan pengesahan halal ke Jab. Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JAWI), maka dengan itu pemeriksaan pengesahan halal dan pengeluaran sijil halal akan dilakukan oleh JAWI. Begitu juga bagi medan selera yang terletak di Maju Junction, IKEA Damansara, SOGO, Ampang Point dan lain-lain medan selera yang terletak dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Bagi medan selera yang terletak dalam negeri Selangor, permohonan pengesahan halal hendaklah dikemukakan ke Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di Shah Alam, medan selera di Perak hendaklah mengemukakan permohonan ke Jabatan Agama Islam Negeri Perak dan seterusnya bagi negeri-negeri lain . Medan Selera/gerai yang telah mendapat pengesahan halal hendaklah menggunakan logo halal Malaysia yang dikeluarkan oleh Jab. Agama Islam Negeri terbabit yang mengandungi kod negeri yang mengeluarkan sijil pengesahan halal tersebut. Pengusaha gerai di Medan Selera ataupun pihak pengurusan tidak dibenarkan mengguna logo halal Malaysia yang dikeluarkan oleh JAKIM kerana JAKIM memang tidak memberi pengesahan halal kepada medan selera. Sekiranya logo halal Malaysia yang dikeluarkan oleh JAKIM ada digunapakai oleh mana-mana gerai di medan selera, pasukan pemantauan JAKIM akan merampas setiap logo halal yang dipamerkan dan boleh dikenakan tindakan dibawah kesalahan penyalahgunaan logo halal kerana menggunakan logo halal JAKIM tanpa kebenaran. Hanya pengusaha/pihak yang telah mendapat pengesahan halal dari JAKIM sahaja yang boleh menggunakan logo halal JAKIM.
7.PENGGUNAAN ALKOHOL DALAM MINYAK WANGI, WANGI, KOSMETIK, UBAT-UBATAN DAN MINUMAN RINGAN
Majlis Fatwa Kebangsaan telah memutuskan bahawa penggunaan alkohol di dalam minyak wangi, kosmetik dan ubat-ubatan adalah harus.
Alkohol yang terhasil secara proses perindustrian di dalam minuman ringan adalah harus dengan syarat kadar alkohol tersebut tidak melebihi 0.01%
(Dipetik dari siaran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia – JAKIM)

No comments: