Sunday, April 18, 2010

KISAH DARI NOVEL



CARI KEKASIH DI KOTA LONDON


“…OIC, telah ditubuhkan di Rabat, Morocco, pada 25 September 1969,”kata Abbas Marwan.

“Ia,… ditubuhkan, setelah tindakan jenayah Yahudi, Zionis terhadap Masjid al Aqsa pada bulan Ogos tahun itu,”sambut ‘Alimin.

“Anggota-anggotanya terdiri dari orang-orang Islam, …mereka feodalis dan kapitalis,” jelas Abbas Marwan.

Alimin merenung wajah Abbas Marwan. Suami kakak angkatnya sedang bercakap mengenai nasib umat Arab.

“…kami tak harapkan OIC,…pergerakan kami jihad,…sanggup mati kerana Allah, agama Islam,…umat Islam,”kata Abbas Marwan.

‘Alimin mengangguk.

“Saya harap, kamu dan anggota-anggota kita ada peranan di London nanti,”kata Abbas Marwan.

‘Alimin mengangguk lagi.

“Walaun kamu bukan wakil dalam seminar itu, kamu wartawan,…tapi boleh nasihat kakak kamu dan anggota-anggota kita,” usul Abbas Marwan.

“…ia, itu yang bagus,…kita berjuang dengan pena,… abang kamu ini dengan senjata,” kata Syamila..

“Insya Allah,”sahut ‘Alimin.

“…kita semua tau, semua media, televisyen, radio, surat khabar dan apa sahaja rangkaian media di Eropah, Afrika, negara-negara Arab, Asia menjadi alat propaganda Zionis,”jelas Abbas Marwan.

“Banyak surat khabar di Masir, Asia, kepulauan Melayu mendapat bantuan kewangan dari rangkaian Zionis, kaum kapitalis,”jelas Abbas Marwan lagi.

Mereka bercakap pada malam Syamila, Alimin dan tiga orang lagi pejuang Islam akan berangkat ke Bandaraya London untuk menghadiri seminar, ‘Islam Dan Keamanan Dunia’, di sana, dua hari lagi.

“…kami berjuang bom dan peluru,…tapi mereka dengan wang, mereka tunduk kepada kuasa-kuasa besar,”kata Abbas Marwan. Serius.

“…sungguh, … biarkan mereka, …kita dengan perjuangan kita…,”sambut Syamila.

“Ia, kita adalah orang-orang penting dalam sejarah dunia,”kata ‘Alimin.

“…ia, penting,…”sambut Syamila.

“Kita orang-orang penting dalam sejarah dunia…,tapi kita tidak cari nama, tidak cari kemewahan, hari ini, esok, …entahkan kita tak sempat ucapkan selamat tinggal kepada dunia,”kata Abbas Marwan.

PATRIOT ISLAM

Abbas Marwan merenung wajah isterinya. Mereka senyum. Senyuman Syamila dan senyuman suaminya bertaut menjadi sebuah yang indah dan mesra. Sepasang suami isteri itu sahaja yang mengetahui erti senyuman mereka.

“…sayangku, Syamila,”seru Abbas Marwan kepada isterinya.

“Ia, sayang…, apa?” Tanya isterinya.

“Beritahu adik kita,’Alimin,…kalau saya meninggal,…dialah akan pelihara anak kita,…bersama kamu,”kata Abbas Marwa.

Isterinya senyum.

“Kamu dengar apa katanya, adiku?”Tanya Syamila kepada ‘Alimin.

“Ia, dengar, faham,…insya Allah,” sambut ‘Alimin.

“Alhamdulillah,…terima kasih,” kata Abbas Marwan.

‘Alimin membalas ucapan Abbas Marwan .Wajah kakak angkatnya direnung. Mesra. Hatinya percaya bibit – sparma-, patriotik Islam di hadapannya itu, sedang subur dalam rahim syamila. Ia akan membesar dan terus membesar. Begitulah keyakinan yang berakar tunjang pada hati ‘Alimin..

Besok pagi, Syamila dan ‘Alimin akan menumpang Gulf Air. Tiga orang rakan mereka akan menumpang Jordan Air. Penerbangan yang berasingan itu terpaksa dilakukan untuk kepentingan perjuangan mereka.

Pada sebelah malamnya, Abbas Marwan akan bertolak ke Syria, langsung ke Palestin. Pemergiannya ke sana kerana tugas jihadnya. Orang-orang penting Hamas di Arab Saudi akan menemuinya di Damsyik. Manakala anggota-anggota Hamas Palestin akan bermesyuarat dengannya di suatu tempat rahsia di Ghazzah..

WARTAWAN PERANG

Anggota-anggota Hamas dan badan-badan kecil Islam yang menentang Israel – Yahudi atau Zionis akan meneruskan jihad. Mereka berani menagankan (*asal kata: Tagan.mp) tubuh masing kepada peluru-peluru musuh. Biar kulit dan daging mereka dikopak peluru dan bom. Mereka telah berikrar kepada Allah, sesungguhnya mereka tidak mahu mati atas tilam, tetapi menuntut mati syahid. Arafat, Husni Mubarak,Raja Arab Saudi dan pemimpin - pemimpin Arab lain bukan tempat mereka menyangkut keyakinan. PBB bukanlah organisasi yang boleh diharap memihak kepada rakyat Palestin.

UN seperti se orang yang membawa rubber stamp untuk mengecop tuduhan; siapa juga menentang Yahudi, Amerika, Biritish dan penjajah-penjajah adalah pengganas,”kata Abbas Marwan kepada seorang wartawan perang dari German..

“…kami orang Islam, agama kami, bumi kami dan umat kita,…tanggungjawab kami,…” katanya lagi.

“kami ada daging, tulang, kulit dan nyawa,…perjuangan kami menuntut apa yang ada pada kami, tidak pada orang lain,”Abbas Marwan menambah.

“Kami lelaki Islam,…kami telah ditakdirkan menempah mati,…mati syahid demi Allah, demi Islam dan umat Islam,”jelas Abbas Marwan..

“Israel menjajah Palestin, bila rakyat Palestin bangun menentang, pertahankan tanah air,mereka menuduh rakyat Palestin pengganas,…lihat, umat Arab dijajah, bila umat Arab bangun mereka kata pengganas, Amerika Syarikat tuduh pengganas, UN tuduh umat Arab pengganas, OIC sendiri menuduh pengganas,” ujar Abbas Marwan.

Syamila dan ‘Alimin mendarat di Lapangan Antarabangsa Heathrow, London. Mereka menumpang bas Heathrow Express dan singgah dekat Marble Arch, di hujung Oxford street. Dari situ mereka pergi ke apartment dalam kawasan di belakang Edgware Road. Apartment itu dimiliki oleh seorang hartawan Arab Palestin.

“Kakak harap dapat berjumpa dengan adik Intan di sini,”kata Syamila setibanya mereka di apartment itu.

Insya Allah,”sahut ‘Alimin.

“Kalau jumpa dia, kita ajak dia balik ke Baghdad,” kata Syamila.

“Ia, kalau dia mahu ke sana …,”sahut ‘Alimin.

Oleh kerana terlalu lama terpisah, hati ‘Alimin telah dilanda sangkaan; Tengku Intan telah lupakan dirinya. Mungkin kekasihnya telah berumah tangga dengan lelaki pilihannya. Tetapi apabila dia teringat akan kejujuran dan kesetiaan Tengku Intan, maka yakinnya kepada kekasihnya sukar dipunggah. Teguh. Kukuh.

BANGUNAN MUZIUM

Seminar ‘Islam Dan Keamanan Dunia’ akan berlangsung, di sebuah dewan dalam kawasan berhampiran dengan Green Park , pada sebelah petang esok. Kesempatan ada bagi mereka untuk menjelajah dalam perut Bandaraya London. Harapan ‘Alimin hanya satu; mudah-mudahan dia akan dapat bertemu dengan kekasihnya dalam kota yang sibuk itu.

‘Alimin memakai celana dan kot tebal warna hitam tidak bertali leher. Baju tebal labuh warna hitam juga menyerkup seluruh tuhunya. Bersama Syamila dan rakan-rakan dia pergi ke Natural History Museum. Kira-kira setengah jam mereka mengutip pengetahuan dan pengalaman dalam perut bangunan muzium itu.

Mereka keluar dari situ dan berjalan kaki mengikuti Exhibition Road dan masuk ke bangunan Science Museum. Setelah melawat muzium itu, mereka telah berjalan kaki ke gedung Harrods, di Brompton Road. Di gedung itu ‘Alimin telah membeli hadiah untuk Tengku Intan. Sebentuk cincin dan sepasang rantai tangan. Mana tahu, Allah mentakdirkan mereka bertemu,maka barang-barang kemas itu akan menjadi buah tangannya.

“cantik, cantik..., adik Intan tentu suka...,” kata Syamila kepada ‘Alimin.

‘Alimin senyum. Hatinya kembang dalam rongga dadanya. Degup jantungnya kencang menendang-nendang dinding dadanya.

KEAMANAN DUNIA

Pada pagi itu,Tengku Intan keluar dari Natural History Museum,di Cromwell Road dan berjalan kaki ke Science Museum, di Exhibition Road. Setengah jam kemudian dia keluar dari Science museum lalu menyeberang jalan. Dia menumpang sebuah teksi menuju ke Bromption Road yang sibuk. Teksi berhenti depan Harrods.Tengku Intan keluar dari teksi itu. Sambil merenung gambar-gambar pakaian perempuan dan barang-barang mewah pada papan-papan iklan dia melangkah masuk ke perut gedung mewah itu.

Tengku Intan telah membeli sepasang pena jenama tersohor di sekotah dunia dan sebotol air wangi lelaki berlambang seekor kuda galak, buatan Itali. Hajatnya, pena dan air wangi itu akan dikirimkan kepada ke kasihnya, di Baghdad. Mana tahu. Mungkin. Seminar ‘Islam Dan Keamanan Dunia’ yang akan berlangsung pada petang esok, ada beberapa orang wakil dari Baghdad menyertainya. Mungkin, ada di antara mereka itu kenal akan ‘Alimin. Hadiah itu akan dikirimkan kepada ‘Alimin menerusi mereka.

“Kalau tak ada orang nak aku kirim, tak apa,…aku simpan,…aku akan bawa ke Iraq,”hatinya bersuara.

Hatinya mengingati hajatnya tempoh hari; selepas seminar nanti, dia akan berangkat ke Iraq. Untuk mencari ‘Alimin mungkin dia akan memasang iklan dalam surat khabar, bercakap menerusi radio dan televisyen di Iraq.

“…Intan akan cari, sayang…, sampai dapat,…Intan nak peluk, nak cium, nak dakap you, sayang,” suara hati Tengku Intan membelai harapannya.

PERUT RESTORAN

Teksi yang membawa Tengku Intan berhenti di persimpangan di Oxford Street. Di gedung buku dia membeli sebuah buku mengenai Iraq. Di Baker Street dia menumpang sebuah teksi kembali ke apartmentnya.

Setibanya di aparment, Tengku Intan mengeluarkan bungkusan dalam peraga, lalu dimasukkan ke dalam almarinya. Pena dan air wangi dua hadiah yang paling simbolik untuk seorang kekasih yang intelektual dan berpersonaliti. Demikian pendapat Tengku Intan.

Tengku Intan merenung sekitar biliknya. Pada ketika itu hatinya dimamah sedih.Sepi.Sambil merengekkan lagu rindu, dia meluruhkan tubuhnya atas katil. Tiba-tiba ingatannya kepada ‘Alimin menghilang dari mindanya. Sejenak. Wajah seorang pemuda, Tengku Jaafar singgah di mindanya. Pemuda itu datang dari Kuala Lumpur. Dia telah datang ke London kerana urusan perniagaan bapanya.

Mereka bertemu dalam perut restoran bawah tanah di Edgware Road. Pertemuan yang pertama kali dan singkat itu telah memualkan hati Tengku Intan. Tengku Jaafar secara tidak bersopan telah mengajak Tengku Intan berkahwin dengannya. Tengku Intan menyifatkan pemuda itu manusia kurang ajar. Seorang lelaki merendahkan mertabat perempuan. Meluatnya memuncak bila dia teringat akan kata-kata anak raja ahli perniagaan itu, “…kahwin saja dengan saya, cik Intan,…awak senang, saya, …dari keluarga kaya,…buat apa hidup bujang, dah tua kerepot nanti tak ada siapa yang nak.”

KALIMAT CINTA

Pada malam tadi Tengku Jaafar telah menelefon Tengku Intan. Dia mengajaknya keluar. Pergi makan-makan. Pergi ke night club. Pergi ke mana-mana sahaja dalam Bandaraya London itu.

I minta maaf, Tengku,” Tengku Intan berkata.

“Ngapa, Intan, tak sudike?”Tengku Jaafar bertanya

“…tak, …O.K., patik ada hal, sorry,”jawab Tengku Intan.

Tengku Intan menutup punat telefon bimbitnya. Telefon itu menjerit semula. Ditutup lagi. Menjerit lagi. Telefon dimatikan.

Wajah ‘Alimin menjelma semula dalam minda Tengku Intan. Pada ketika itu dia seperti terdengar bisikan pemuda itu mengucapkan kalimat cinta yang indah, “…saya cintakan Intan, sayang.”

Tengku Intan senyum. Senyumannya panjang, laksana panjangnya sungai Perak. Dari Rimba Belum hingga Beting Beras Basah, Bagan Dato, di Hilir Perak

“…kalau ‘Alimin tak ada, Intan akan pergi ke Baghdad,” bisik Tengku Intan.

Entah bagaimana, tiba-tiba hatinya laksana hati orang berilmu laduni; hatinya yakin amat, kekasihnya sedang berada di kota London. Ada bersamanya

*** ***

Perut dewan tempat belangsung seminar ‘Islam Dan Keamanan Dunia’ penuh sesak dengan oleh pemuda pemuda Islam dari negara-negara umat Islam di seluruh dunia.. Mereka terdiri dari berbagai bangsa dan warna kulit. Masing-masing datang dengan keyakinan, Islam boleh mengamankan dunia selagi kaum kuffar tidak menghina agama Islam dan tidak memusuhi umat Islam.

Tengku Intan duduk atas kerusi pada barisan ketiga dari hadapan. Kerusinya terletak di tepi lorong tengah dewan itu. Di sebelah kirinya, duduk seorang perempuan muda bangsa Arab. Kepalanya berbungkus dalam selendang warna gelap. Mereka telah bersalaman, mengucapkan salam pada ketika Tengku Intan hendak melabuhkan punggungnya atas kerusi itu. Kesempatan bagi mereka untuk bercakap panjang tidak ada pada waktu itu kerana setiausaha panitia seminar itu telah mula berucap.

Kemudian setiausaha panitia seminar telah menjemput seorang pemuka Islam untuk memberi ucapan merasmikan seminar tesebut. Bunyi tepukan peserta-peserta dalam perut dewan itu bergemuruh. Mereka melaungkan tiga kali kalimat, Allahu Akbar’ . Gema laungan nama Tuhan memenuhi perut dewan itu. Semua bersemangat. Berani. Masing-masing bertekad, demi Allah, agama Islam dan umat Islam mereka sanggup berputih tulang dari berputih mata.

SENYUMAN MESRA

Setelah selesai ucapan perasmian, majlis berehat setengah jam. Tengku Intan bangun dan berpaling kepada perempuan di sebalahnya. Mereka saling senyum. Bertanya khabar. Mesra dalam ikatan persaudaraan umat Islam.

“Saya Intan,” Tengku Intan perkenalkan dirinya dalam bahasa Inggeris..

“Saya Ramlah Syakir,…dari Iraq.”sambut perempuan itu dengan bahasa yang sama.

Mereka berjalan menyertai peserta-peserta yang mengatur langkah ke dewan tempat diadakan jamuan ringan. Masing-masing mengambil tempat duduk atas kerusi dan menghadapi meja makan. Ramlah Syakir memegang tangan kanan Tengku Intan. Senyumannya mesra. Mereka duduk atas kerusi masing-masing

“Saudari dari mana?” Tanya Ramlah Syakir.

“ Saya dari Malaysia, tinggal di sini...”jawab Tengku Intan.

“Oo, Malaysia, Perdana Menteri, Mahathir Mohammad, …timbalannya, Abdullah Badawi,”kata Ramlah Syakir.

“Ia,” sahut Tengku Intan.

Hati Tengku Intan kembang laksana kuntum-kuntum mawar kembang pagi dalam Rose Garden. Berkali-kali dia melafazkan syukur kepada Allah. Perempuan muda dari Iraq itu meyakinkannya; boleh menjadi jambatannya untuk mendapatkan maklumat tentang kekasih- nya di sana.

“Saudari tinggal di sini,…sudah lama?”Tanya Ramlah Syakir.

“Ia,…lama,…lebih empat tahun,”jawab Tengku Intan.

“…masih belajar?”Tanya Ramlah Syakir.

“Dulu belajar,…sekarang kerja sambilan,”jawab Tengku Intan.

“ Allah memberi berkat,…bagus,”sambut Ramlah Syakir.

“Saudari dari Iraq..., berapa orang lagi?” Tengku Intan bertanya.

“…saya bersama empat orang,…tiga orang anggota badan kami, seorang lagi, penulis,…dia anggota juga,”jawab Ramlah Syakir sambil menunjukkan dengan ibu jarinya kanannya ke arah Syamila yang sedang duduk menghadapi meja bersama beberapa orang perempuan di sudut dewan. .

“Mari saya perkenalkan,”kata Ramlah Syakir sambil bangun.

JEMAAH HAJI

Mereka berjalan ke arah Syamila. Pada detik- detik mengatur langkahnya ke arah Syamila, hati Tengku Intan dibuai perasaan gembira. Terasa ada sesuatu harapan pada dirinya seperti petani menjenguk tuau dekar dalam sawah. Syamila bangun sebaik-baik sahaja Ramlah Syakir dan Tengku Intan menghampirinya.

“Kakak,…saya kenalkan, ini saudari Intan,” Ramlah Syakir memberitahu Syamila..

Allahu Akbar, …alhamdulillah, Saya Syamila, dari Iraq,”kata syanmila dalam bahasa Inggeris.

“…Intan,”sahut Tengku Intan dengan bahasa Inggeris jua..

TanganTengku Intan dipegang erat oleh Syamila. Wajahnya mesra. Dua biji matanya merenung wajah Tengku Intan, bagaikan jemaah haji membaca ayat-ayat suci Quran pada langsir Ka’abah.

Alhamdulilla,…kamu Intan,…Intan,…dari Malaysia, …alhamdulillah…,”kata Syamila sambil dua biji matanya meluru kepada beberapa orang lelaki yang sedang menghadapi meja di sebelah kanan dewan itu.

Tengku Intan terpegun sebaik-baik sahaja perkataan ‘Malaysia’ melompat dari mulut Syamila ke sepasang lubang telinganya.

“…saya memang mencari Intan,…memang, telah lama,…Allah berkatkan kamu,”kata Syamila.

Tangan masing-masing terpisah.

Mengapa?”Tengku Intan bertanya. Degup jantungnya kencang.

“Ia, ada orang mahu jumpa, mari,…Intan, mari Ramlah…,”Syamila mengajak mereka.

AYAT QURAN

Tangan kanan Tengku Intan dipegang dan ditarik mengikutnya. Ramlah Syakir berjalan mengiringi Tengku Intan berjalan ke meja di kanan perut dewan itu.

“…Luqman, mana adik saya?” Syamila bertanya kepada seorang pemuda.

Luqman bangun. Senyum. Seraya memberi hormat kepada Syamila.Wajah Tengku Intan direnungnya. Dalam kepalanya terkepung pertanyaan. Kemudian renungannya berpindah kepada wajah Syamila dan Ramlah Syakir.

“…ooo, dia tidak masuk ke sini, …dalam press room, mengirim news,…mungkin ... ,” jawab Luqman.

“Tak apa,”kata Syamila.

Syamila mengajak Tengku Intan dan Ramlah Syakir mengikutinya ke bilik rehat dalam dewan itu. Bilik itu sepi. Dingin. Beberapa buah prem besar bertulis ayat-ayat Quran tergantung pada dinding bilik itu.

“…Intan, Ramlah, tunggu di sini sebentar, saya pergi dapatkan adik,”kata Syamila.

Syamila berjalan keluar dari bilik itu. Tengku Intan dan Ramlah Syakir duduk atas sofa menunggu syamila.

“Siap adik dia itu?” Tengku Intan bertanya.

“Penulis, ‘Alimin Afandi,”jawab Ramlah Syakir.

“ ‘Alimini…?” Tanya Tengku Intan.

Degup jantung Tengku Intan menendang-nendang dinding dadanya. Hatinya menguatkan perasaannya sambil menyekat Air matanya melimpah ruah dari dua telaga matanya.

“Mengapa,…saudari kenal dia?” Tanya Ramlah Syakir.

GADIS PENGANTIN

Tengku Intan tunduk. Rongga dadanya terasa sebak. Hatinya gembira bagaikan gadis pengantin pada malam raja sehari.

“…dia penulis terkenal di Iraq,…orang dari kepulauan Melayu, Malaysia, juga…very productive,”jelas Ramlah Syakir.

“…’Alimin, sayang,…alhamdulilah,” suara Tengku Intan terluah dari mulutnya.

Dua biji mata Ramlah Syakir terbeliak. Bagaikan tergolek keluar. Wajah Tengku Intan direnung. Hairan. Mulutnya melopong. Dia tidak faham perkataan yang telah diucapkan oleh Tengku Intan. Tetapi hairan Tengku Intan menyebut nama ‘Alimin.

“Intan cinta, …rindu, …sayang,”suara Tengku Intan terluah bersama keluhannya.

Ramlah Syakir tidak faham juga.

“Awak kenal ‘Alimin?”Tanya Ramlah Syakir lagi.

Tengku Intan mengangguk.

“Kenal, dia kawan saya...,” jawab Tengku Intan.

Dahi Ramlah Syakir berkerut. Degup jantungnya mula menerjah dinding

dadanya. Hati perempuan di mana-mana pun sama. Cemburu.

(Dari manuskrip novel, Cinta Dan Jihad, oleh: Mokhtar Petah).

No comments: