Thursday, March 4, 2010

BERITA

‘Veteran’ bekas PKR dianggap musuh masa depan negara | Print | E-mail
Dzulfikar Mashoor

PETALING JAYA, 4 Mac: Wakil-wakil rakyat muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) menganggap beberapa wakil rakyat `veteran’ yang keluar daripada parti itu dan Pakatan Rakyat sebagai musuh pada masa depan negara dan mengkhianati harapan rakyat.

“Tindakan mereka tidak peduli malam sesungguhnya memusuhi masa depan negara dan rakyat. Mereka telah mengkhianati harapan rakyat biasa di Malaysia yang memilih (mereka yang terbabit) untuk perubahan dua tahun lalu,” jelas Adun Batu Caves, Amirudin Shari selaku jurucakap bagi wakil rakyat muda PKR itu dalam suatu sidang media di sebuah hotel, di sini, malam tadi.

Menurut beliau lagi, tindakan mereka yang terbabit meninggalkan parti itu bukanlah disebabkan dasar parti yang tidak adil.

Sebaliknya, beliau mendakwa insiatif mereka yang terbabit keluar dari parti itu disebabkan masalah yang terlalu peribadi, yang bukan menjurus pada kepentingan rakyat.

Ekoran itu, beliau bersama-sama 11 wakil rakyat belia PKR menganggap pemimpin-pemimpin veteran PKR terbabit sebagai ‘biawak-biawak hidup’.

Disebabkan tindakan keluar dari parti itu, Amiruddin turut menyuarakan rasa yakin bahawa rakyat sedang menilai ‘biawak-biawak hidup’ terbabit.

“Mereka mengisytiharkan diri mereka bebas, sedangkan semua (rakyat) melihat mereka sedang bergantung dengan corak rasuah dan pendekatan kuno masa lalu.”

“Dengan memilih tindakan jahat ini, mantan pimpinan Keadilan yang bertindak keluar parti ini memilih untuk terus memandang ke belakang,” jelasnya

Tambahnya lagi, walaupun mungkin akan ada lagi wakil rakyat veteran meninggalkan PKR kelak, beliau menegaskan bahawa wakil rakyat belia dari parti tersebut tetap berikrar untuk tidak meninggalkan parti tersebut serta tidak akan mengkhianati muafakat Pakatan Rakyat.

“Kami (wakil rakyat belia) tetap tidak akan patah balik dan kami mahukan perubahan, kamu mahu berkhidmat kepada rakyat dan kami kamu terus dipercayai oleh rakyat dan Pakatan Rakyat,” jelasnya lagi.

Sebagai wakil rakyat berusia belia, beliau bersama-sama 11 wakil rakyat belia PKR yang lain turut menyatakan sikap terbuka untuk menerima nasihat, saranan dan kritikan daripada rakyat asalkan agenda selamatkan tanah air dari kepincangan kerajaan Umno/BN boleh direalisasikan dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) kelak.

Selain beliau, 11 lagi wakil rakyat belia PKR mengumumkan tidak meninggalkan parti pada majlis itu ialah Nurul Izzah Anwar (Ahli Parlimen Lembah Pantai), Amran Ghani (Ahli Parlimen Tanah Merah), S. Manikumar (Adun Bukit Selambau merangkap Exco Kerajaan Negeri Kedah), Gan Pei Nei (Adun Rawang), Yunus Jamhari (Adun Kuala Kurau), Chang Lih Kang (Adun Teja), Chan Ming Kai (Adun Simpang Pulai), Sim Tze Tzin (Adun Pantai Jerejak), Kesavan (Adun Hutang Melintang) dan Nik Nazmi Nik Ahmad (Adun Seri Setia).

Turut menyertai mereka ialah Yusmadi Yusoff walaupun Ahli Parlimen Balik Pulau itu telah pun menyatakan pendirian untuk tidak meninggalkan PKR pada suatu kenyataan akhbar petang semalam.

Dalam perkembangan berkaitan, 12 Ahli Parlimen yang tidak berjawatan penting dalam PKR petang semalam turut menjelaskan pendirian yang sama, iaitu tidak meninggalkan parti itu serta kekal menjadi wakil rakyat bagi Pakatan Rakyat.

Manakala, Ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng, Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Hashim dan Ahli Parlimen Bagan Serai, Mohsin Fadzli Samsuri, iaitu tiga pemimpin yang dianggap veteran sebelum ini telah pun mengumumkan keluar dari PKR dan menjadi wakil rakyat Bebas.

Dalam perkembangan yang lain, pergolakan dalaman yang dipercayai umum didalangi oleh Umno itu dikatakan akan berterusan sehingga BN mendapat dua pertiga suara majoriti di Parlimen kelak.

Dengan adanya dua pertiga representasi tersebut, Umno/BN seperti dipercayai umum boleh membuat persempadanan semula Parlimen dan Dun, sebagaimana yang diperjelaskan dalam Perlembagaan, sebelum Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan masa PRU13 kelak.

----------------

Najib dijemput hadiri debat isu Melayu P Pinang
Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 4 Mac: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak turut dijemput menghadiri debat perdana bertajuk ‘Isu Melayu-Islam Pulau Pinang: Antara Provokasi & Kebenaran’ di Pulau Pinang pada 7 Mac ini.

Ini berikutan Sekretariat Muafakat Pemuda Pakatan Rakyat Pulau Pinang tetap akan menganjurkan debat perdana berhubung dakwaan Melayu terpinggir biarpun ketiga-tiga pihak yang dijemput berdebat dengan mereka belum memberi respons positif.

Pihak-pihak tersebut adalah Ketua Pemuda Umno Pulau Pinang Norman Zahalan, Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Pulau Pinang, Rizal Faris Mohideen dan Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Jais Abdul Karim.

Siang tadi Ketua Penerangan Pemuda PKR Pulau Pinang, Rizal Hamid ke Ibu Pejabat Umno di ibu negara menyerahkan surat makluman debat sekaligus menjemput Najib yang juga Presiden Umno, Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaludin dan ketua penerangannya, Datuk Seri Rizal Merican Naina Merican sebagai tetamu kehormat program tersebut.

Turut mengiringi serahan tersebut, ahli Majis Pimpinan Pusat PKR, Badrul Hisham Shahrin.

Surat berkenaan bagaimanapun hanya diserahkan melalui pegawai bertugas di pejabat pergerakan tersebut di bangunan PWTC Kuala Lumpur.

Debat Perdana Rakyat 2010 bertajuk “Isu Melayu-Islam Pulau Pinang: Antara Provokasi & Kebenaran” akan diadakan pada 7 Mac bermula 8.45 malam di Tapak Ekspo Seberang Jaya.

Pada sidang media selepas itu, Badrul berkata debat berkenaan akan tetap diadakan kerana segala persiapan sudah dibuat.

"Debat tidak boleh dielak lagi, persiapan lojistik dan kerjasama dengan kerajaan negeri, dengan banyak NGO telah dilakukan," katanya.

Ditanya kenapa debat berkenaan menjemput Norman, Rizal Faris dan Jais, beliau berkata kerana ketiga-tiga mereka adalah yang paling lantang menghentam kerajaan negeri Pulau Pinang berhubung perkara itu.

Selain itu mereka juga melahirkan kekesalan dengan tindakan Norman mengoyak surat jemputan debat yang dihantar dua minggu lalu.

Sehingga kini belum ada sebarang jawapan dari ketiga-tiga pihak terbabit untuk menyahut cabaran debat tersebut.

Bagaimanapun Badrul berkata, pihak sekretariat optimis sekurang-kurangnya mereka menghantar wakil untuk berdebat.

------------------

‘Lompat katak’ kerana masalah peribadi, kewangan




Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 4 Mac: Ahli-ahli Parlimen (AP) yang melompat katak daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) akhir-akhir ini, seperti Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang berbuat serupa terdahulu menghadapi masalah peribadi serta kewangan dan ada yang mula disiasat oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Timbalan Presiden PKR, Dr Syed Husin Ali berkata, selain itu mereka tidak menjaga kawasan, tidak pernah menyuarakan rintihan apatah lagi membela hak rakyat selain tidak menunjukkan prestasi yang baik dalam Parlimen, tidak pernah atau jarang sekali bercakap atau berbahas.

Menurutnya, pimpinan Umno meraih peluang dari kelemahan mereka di mana Perdana Menteri, Datuk Seri Najib dan isterinya menemui hampir semua sebelum mereka keluar termasuk juga beberapa orang bukan Adun atau AP yang boleh diperalatkan dengan menjanjikan berbagai-bagai habuan untuk memikat mereka.

“Kami mendapat maklumat bahawa berpuluh juta dana disediakan oleh PM serta kroni korporatnya untuk membeli Adun dan AP, terutama dari PKR,” ujarnya.

Beliau turut membidas Najib dan pemimpin Umno yang lain berikrar konon hendak berusaha menghapuskan korupsi sebaliknya mereka sentiasa melakukan korupsi politik dan kewangan besar-besaran.

Katanya, tindakan korupsi mereka pasti akan menjadikan PKR lebih teguh dan mantap serta disokong rakyat ramai.

(Berita ini diambil dari Harakah Daily, 4 Mac 2010)






No comments: