Wednesday, March 3, 2010

MENGENANG MASA SILAM

Mokhtar Petah

Aku telah berkhidmat sebagai penulis Harian Patriot, Medan, Indonesia dan pertemuanku dengan Presiden Republik Indonesia, Ir Soakerno dalam bab 25. Semenjak dari tahun-tahun itu hingga kepada Indonesia berkonfarantasi dengan Malaysia pada tahun 1963, aku telah berkenalan dengan ramai dengan tokoh-tokoh wartawan, sasterawan, politikus, ulama dari negara jiran itu.

Aku telah bertemu dengan pujangga HAMKA di rumah Allahyarham Yahya Arif di Jalan Kangsar, Kuala Kangsar. Bersama kami, ialah bapa mertua Yahya Arif, Allahyarham Sheikh Tahir Jalaluddin, Adam Malik – pengasas institusi berita ANTARA Indonesia – , dan ratu cantik Negeri Johor, Adida al Jauhari.

Kemudiannya, aku telah membawa HAMKA memberi ceramah di beberapa majlis yang telah diadakan di sekitar Kuala Kangsar.

AGENSI BERITA

ANTARA INDONESIA

Adam Malik sering datang ke kampung neneknya di Cemor, Perak. Dia mempunyai ramai kaum kerabat suku Mendahiling di sana. Persahabatanku dengan Adam Malik kemudiannya bersambung dengan persahabatanku dengan rakanya, Pemilik Toko buku, Pustaka Antara Kuala Lumpur, Allahyarham Abdul Aziz bin Ahmad (Datuk). Dia menamakan toko bukunya itu ‘Pustaka Antara’, iaitu sempena dengan nama agensi berita ANTARA Indonesia.

‘Tahun 1911, Abdul Maliki (bapa Adam Malik) memetik sekuntum bunga yang harum semerbak wangi dari Chemor, Perak, Semenanjung Tanah Melayu. Itulah dia gadis remaja bernama Siti Salamah. Perkahwinan Abdul Maliki dengan Siti Salamah itulah yang melahirkan sepuluh orang anak, dan Adam Malik adalah anaknya yang ketiga, yang dilahirkan di rumah dua tingkat di Kedai Panjang Permatang Siantar 22 Julai 1917’

Dato’ Aziz Ahamd- pemilik Pustaka Antara -, adalah rakan rapat Onn Jaafar. Dia seorang ahli perniagaan yang memulakan perniagaannya sebagai penjual minyak kelapa. Pada tiap-tiap minggu dia terpaksa menggatih basikalnya membawa minyak kelapa dari kampungnya, di Sabak Bernam ke Pulau Pinang untuk dijualkan di sana.

Dia telah mendirikan rumah tangga dengan Sharifah Khadijah binti Syed Mohamad pada bulan Disember 1943. Hingga ke akhir hayat, mereka tidak mendapat anak. Mereka mempunyai beberapa orang anak angkat.


SURAT KHABAR TABLOD

MINGGUAN KRITIK

Pada bulan Januari 1998, Abdul Aziz telah meminta aku menulis buku mengenai dirinya. Dia telah memberitahu aku, bahawa mungkin kerana pada masa mudanya dia sering menggatih basikal berniaga minyak kelapa dari Sabak ke Pulau Pinang dan ke tempat-tempat lain, maka dia telah mengalami kemandulan. Dia telah menjalankan pemeriksaan doktor, termasuk berubat secara tradisional di Jakarta, Indonesia.

Pelupur penubuhan UMNO, Onn Jaafar yang telah meninggalkan UMNO pada tahun 1951 dan setelah dua buah parti politiknya, Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) dan Parti Negara yang telah ditubuhkan tidak mendapat sokongan dari orang-orang Melayu, maka dia telah menerbitkan surat khabar tabloid, ‘Mingguan Kritik’. Dia sendiri bertanggungjawab sebagai penerbit dan Ketua Pengarangnya.

Pejabat ‘Mingguan Kritik’ terletak di belakang Jalan Tuanku Abdul Rahman, iaitu dekat Kampung Bharu.Kira-kira enam orang pekerja dalam syarikat surat khabar itu, di antara mereka, Abdul Latif bin Alang Mat Hussein dari Padang Rengas, Perak. Pekerja-pekerja itu telah menjalankan banyak kerja, iaitu sebagai pemberita, jurutaip, pembaca froof dan sebagainya.

MENJADI PENYOKONG

PRESIDEN SOEKARNO

Aku telah dua kali bertemu dengan Dato’ Onn di pejabat Minggunan Kritik Dia telah meminta aku membekalkan artike-artikel kepada surat khabarnya. Tetapi kerana sebab-sebab tertentu, aku telah tidak dapat menunaikan permintaannya.

Pada satu hari, ketika Onn Jaafar, Abdul Aziz Ahmad dan aku sedang makan ’nasi daun pisang’, di warung orang India, di jalan Sultan Sulaiman kedua, di belakang Jalan Tunku Abdul Rahman, Onn telah mengaku, bahawa dia dengan kuasanya sebagai Menteri Dalam Negeri, iaitu selepas UMNO ditubuhkan, telah menandatangani surat perintah menangkap semua orang-orang Melayu yang telah menjadi ahli Parti Kebangsaan Melayu Malaya dan parti Hizbul Muslimin.

Menurut Onn Jaafar, penangkapan itu terpaksa dilakukan, kerana orang-orang dari parti-parti tersebut telah menjadi penyokong Presiden Soekarno dan mahukan Tanah Melayu merdeka seperti Indonesia, iaitu: Satu Negara, Tanah Melayu. Satu bangsa, Bangsa Melayu. Satu bahasa, bahasa Melayu. Mereka juga anti-British.

GOLONGAN POLITIK

YANG ENTI BRITIS

Menurutnya lagi, jika perjuangan kiri orang Melayu itu dibiarkan, selain dari Tanah Melayu akan menjadi sebuah negara perkauman, iaitu negara Melayu tulen, negara itu nanti akan menjadi sebuah republik Islam.

‘Dato’ Onn bukan dari golongan politik yang anti-British seperti yang pernah terdapat di kalangan pejuang-pejuang kemerdekaan atau kebangsaan di kebanyakan tanah jajahan takluk. Ia tidak anti-Inggeris tetapi ia kuat sekali berjuang menentang dasar-dasar kolonial British. Ia telah menjelaskan pendirian orang Melayu terhadap British dan keadaan orang Melayu sendiri sepanjang masa mereka berada di bawah pemerintahan penjajah. Penjelasan itu telah diberikan dengan tepat olehnya semasa diinterview oleh James Michener, pengarang ‘The Voice of Asia’ dalam tahun 1951.

“Saya telah memberi ingat bahawa tanpa perpaduan, bangsa Melayu tidak akan mencapai kemerdekaan dan tidak pula akan dihormati oleh dunia... Kami tidak pernah bersikap anti-British. Tidak ada orang Melayu yang waras anti British...Kami mahu British tinggal di sini dan memimpin kami sehingga kami cukup maju untuk memerintah negeri...”

Bekas pemimpin UMNO itu telah mengakui, bahawa kerana jasanya, Kerajaan Inggeris telah memberi hadiah kepadanya wang sejumlah f10,000,000 untuk tabung Rural Industry Development Authority (RIDA) - kini Majils Amanah Raayat (MARA) - , yang telah ditubuhkan pada tahun 1950. Wang itu untuk membantu rakyat miskin di luar bandar, iaitu untuk meninggikan taraf hidup dan memberi kemudahan bekalan air dan sebagainya kepada mereka.

’Oleh kerana benar-benar menyedar kelemahan orang Melayu dalam bidang ekonomi, Dato’ Onn telah pergi ke London meminta bantuan daripada British untuk menolong meninggikan taraf hidup atau ekonomi bangsanya. Hasil dari rundingan antara Dato’ Onn dan Kerajaan British ialah penubuhan RIDA yang pertama dalam tahun 1950. Dato’ Onn telah dilantik sebagai Pengerusi RIDA yang pertama dengan mendapat bantuan f10,000,000 dari Kerajaan British

Setelah Dato’ Onn Jaafar mendapat bantuan f10,000,000 dari Kerajaan British itu, maka telah tersebar cerita di kalangan orang-orang Melayu, di seluruh Tanah Melayu, kononnya wang pemberian dari Kerajaan British itu sebagai hadiah kepada Dato’ Onn kerana telah berjaya menangkap dan menahan semua pejuang-pejuang kemerdekaan Tanah Melayu yang tidak diingini oleh Kerajaan British. Mereka juga telah berkata, bahawa Penjajah British itu mahu orang-orang yang akan memegang teraju Tanah Melayu merdeka, ialah ’Melayu Inggeris’, ’anak emas Inggeris’ dan ’orang-orang new colonial’ – ’ penjajah bentuk baru’.

Onn Jaafar telah mengidap sakit jantung dan meninggal dunia pada 19 Januari 1962 pada usianya 67 tahun. Jenazahnya telah dikebumikan, di tanah perkuburan Orang Islam Johor Bharu.

(Disaring dari manuskrip buku, Memoir, Patah Sayap Bertonjgkatkan Paruh, oleh: Mokhtar Petah. Editor, Petah Shahrir Aidid)

No comments: