Sunday, March 7, 2010

BERITA



Umno Kelantan tentang tuntut royalti kerana politik


Mohd Nor Yahya

KOTA BHARU, 7 Mac: Kekalutan yang dibawa oleh pimpinan Umno dalam isu tuntutan royalti minyak oleh kerajaan Kelantan bukannya berasaskan undang-undang tetapi hakikatnya ialah hanya berkepentingan politik semata-mata.

Demikian dijelaskan oleh Pengerusi Jawatakuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tuntutan Royalti Minyak, Datuk Husam Musa di majlis penutupan Diskusi Semasa Royalti Petroleum Dari Perspektif Undang-Undang yang dianjurkan oleh Urusetia Penerangan Kerajaan Kelantan dengan kerjasama Muslimat Legal Team dan gabungan NGO, di sini semalam.

“Hari ini saya ingin mencabar Datuk Pa (Mustapa Mohamed) agar melakukan sumpah dalam menafikan hakikat sebenar beliau menentang tuntutan royalti ini adalah berkepentingan politik semata-mata,” katanya.

Di Kelantan, penolakan oleh Umno negeri diketuai oleh pengerusinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan timbalannya, Datuk Dr Awang Adek Hussin sedangkan pada masa yang sama tokoh veteran Umno dan juga mantan Pengerusi Petronas,Tengku Razaleigh Hamzah bersama beberapa tokoh yang terlibat dalam sejarah awal Petronas berpihak kepada tuntutan yang dibuat oleh kerajaan negeri Kelantan.

Diskusi semasa tersebut disertai oleh pensyarah undang-undang UIAM, Dr Shamrahayu Ab Aziz dengan kertas kerjanya ‘Hak-Hak Kerajaan Negeri dalam Persekutuan, Jaminan dan Pelanggaran/Hasil Mahsul Negeri’ dan mantan Exco Terengganu, Datuk Wan Abdul Muttalib Embong yang membentangkan kertas ‘Undang-undang Petroleum di Malaysia dan Hak-hak Yang Dijamin Oleh Undang-undang Antarabangsa’.

(Berita ini diambil dari Harakah Daily, 7 Mac2010)

No comments: