Tuesday, March 2, 2010

BERITA


Maut dirempuh pesawat mainan kawalan jauh



MODEL kapal terbang kawalan jauh 'Richmodel Quickie 40' yang mengakibatkan kematian Musthafa (gambar kecil) di Bandar Saujana Putra, Puchong, semalam.

SHAH ALAM: Seorang ahli perniagaan maut apabila kepalanya dirempuh pesawat mainan kawalan jauh di kawasan lapang di Bandar Saujana Putera, Banting, dekat sini, kelmarin.

Kejadian itu berlaku kira-kira jam 11.30 pagi ketika, Musthafa Osman, 48, bermain permainan itu bersama rakannya yang juga seorang ahli perniagaan berusia 49 tahun.


Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohamad Radzi Ishak, berkata pesawat itu dikatakan mengalami masalah teknikal dan gagal dikawal rakannya sebelum terjunam dan mengenai kepala mangsa yang mencangkung di kanan rakannya itu.

"Mangsa yang cedera parah di kepala dikejarkan ke Hospital Putrajaya sebelum meninggal dunia kira-kira jam 3 petang," katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata, polis sudah merakamkan keterangan rakan mangsa yang mendakwa mempunyai 10 tahun pengalaman bermain permainan itu.

Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 304(A) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian dengan cuai yang boleh dipenjara tidak lebih dua tahun, denda atau kedua-duanya.

Di IPOH, anak sulung mangsa, Ridzuan, 24, berkata bapanya yang tinggal di Seri Muda, Shah Alam, sejak awal pagi sudah bersiap untuk menyertai rakannya bermain permainan itu.

"Ketika ayah sibuk memasang dan memeriksa kapal terbang miliknya, sebuah pesawat dipercayai milik rakannya hilang kawalan dan melanggar belakang kepala ayah.

"Hentakan kuat itu menyebabkan ayah terjatuh dan tidak sedarkan diri sebelum dikejarkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Putrajaya," katanya yang ditemui di rumah datuknya di Rapat Setia, semalam.
Katanya, bapanya koma selama enam jam sebelum meninggal dunia kerana kecederaan dalaman di kepala dan bengkak di bahagian otak.

"Saya tidak sempat menemui ayah kerana sebelum kejadian, ayah yang memiliki syarikat jurutera terpaksa keluar daerah di Kelantan selama 10 hari.

"Sebaik ayah pulang ke rumah Ahad lalu, awal-awal pagi ayah sudah sibuk bersiap untuk menyertai rakannya bermain permainan itu," katanya.

Berikutan kejadian itu, Rudzuan terpaksa menunda pendaftaran kemasukan ke Kolej Universiti Infrastruktur Kuala Lumpur, April ini.

Musthafa meninggalkan seorang balu, Rohizah Osman, 42, dan tiga lagi anak berusia 23, 19 dan 15 tahun.

Ridzuan berkata, sebelum kejadian, bapanya tidak menunjukkan apa-apa kelainan, kecuali membeli bantal serta tilam baru.

"Saya tidak menyangka itu petanda ayah akan meninggalkan kami untuk selama-lamanya," katanya.

Jenazah Musthafa dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Melayu, Sungai Rapat selepas solat Zohor, semalam.


---------------


Sasar pertumbuhan enam peratus

Oleh Johari Ibrahim
joib@bharian.com.my


NAJIB sambil disaksikan Muhyiddin memberi ucapan pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya, semalam.

Kakitangan awam mesti lipat ganda usaha pertingkat ekonomi negara: Najib

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak menggesa kakitangan awam menggandakan usaha mereka bagi mencapai pertumbuhan ekonomi enam peratus tahun ini.

Perdana Menteri berkata, ia bukan sesuatu di luar kemampuan jika semua pihak bekerja bersungguh-sungguh termasuk mewujudkan pelan strategik, melahirkan idea bernas, perancangan yang teratur serta pelaksanaan yang berkesan.

Selain itu, katanya, program yang dilaksanakan juga memerlukan pemantauan yang berkesan mengenai kekuatan dan kelemahan.

"Saya harap kita akan berusaha sedaya upaya dan menggerakkan jentera kita sepenuhnya supaya dapat mencapai (pertumbuhan ekonomi negara) sebanyak enam peratus tahun ini," katanya berucap pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Dataran Perdana di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan; Menteri di JPM dan kakitangan awam.

Pada 24 Februari lalu, Najib mengumumkan pencapaian ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan 4.5 peratus bagi suku keempat tahun lalu.

Perdana Menteri berkata, selain bekerja bersungguh-sungguh, sektor awam juga perlu memberi penekanan kepada pelaksanaan pro-gram atau projek pada kos lebih rendah tetapi mencapai matlamatnya.

"Soal 'value for money' bererti kita boleh mencapai sesuatu matlamat, sesuatu program atau projek dengan kos lebih rendah.
"Contohnya, 50 Klinik 1Malaysia yang ditubuhkan hanya membabitkan kos RM10 juta dan sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan baru-baru ini yang peruntukannya dikurangkan kepada sekitar RM500,000 daripada RM2.2 juta.
"Saya rasa dari segi signifikan, majlis (sambutan) itu boleh dikatakan sama juga dengan perbelanjaan RM2.2 juta, malah lebih (baik), sebab kita berada dalam sebuah masjid dengan kesucian masjid itu terasa," katanya.
Najib berkata, jabatan kerajaan perlu mengambil sikap positif dengan mencari jalan mencapai objektif dengan perbelanjaan minimum kerana ia boleh membantu proses pemulihan ekonomi negara, sekali gus meletakkan asas lebih mantap apabila defisit fiskal kerajaan dapat dikurangkan.
"Apabila defisit fiskal kerajaan dapat dikurangkan daripada 7.4 peratus kepada 7 peratus, tahun ini 5.6 peratus dan sebagainya, kita akan meletakkan asas lebih mantap (dan) kukuh bagi ekonomi negara," katanya.
Beliau berkata, walaupun negara sudah mencapai pertumbuhan ekonomi yang baik terutama pada suku akhir 2009, peranan sektor awam masih perlu terus ditekankan sebagai penggerak utama kepada pemulihan kerana persekitaran global masih belum pulih sepenuhnya.
"Tahun 2010 saya harap menjadi tahun untuk kita mencapai pertumbuhan lebih baik daripada apa yang kita ramalkan. Saya harap penjawat awam boleh response (memberi reaksi) positif terhadap usaha ini," katanya.
(Berita ini diambil dari berita Harian online,2 Mac 2010)

No comments: