Thursday, January 8, 2009

PILIHANRAYA KECIL KUALA TERENGGANU

AWAS PROVOKASI 'MUSUH' - PRESIDEN PAS
Khairul Azlam Mohamad

KUALA TERENGGANU, 7 Jan (Hrkh) - PAS mengingatkan para petugasnya agar tidak mudah terperangkap dengan sebarang usaha provokasi 'musuh' yang boleh merugikan parti.
Sebaiknya, sebarang isu terutama berkaitan pengundi hantu diserahkan kepada pemimpin yang tentukan dan usah bertindak sendirian.
Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata demikian pada Majlis Ceramah Pemimpin Pakatan Rakyat di Kampung Tanjung Kapur, Kuala Terengganu, semalam.
Katanya, rakyat di daerah Kuala Terengganu yang terlibat dengan pilihan raya kecil ini sedia membuat perubahan ke arah pembentukan kerajaan yang lebih adil.
"Saya bimbang jika ada provokasi oleh pihak tertentu. Isu 'pengundi hantu' biar pemimpin yang tentukan dan usah kita (rakyat) kejar (bertindak) tahan bas tanpa arahan. Bas pelajar pun kejar juga, biar pemimpin yang tentukan itu,"ujarnya.
Beliau mendapat maklumat bahawa tindakan provokasi pihak musuh akan dilakukan bagi memburuk-burukkan parti PAS yang bertanding dalam pilihan raya kecil ini.
Katanya, rakyat terutama para pengundi perlu berada dalam suasana yang selesa, tenang, aman dan baik sepanjang tempoh kempen ini.
Menurutnya, rakyat perlu memilih calon yang benar-benar layak serta mampu membawa suara rakyat di Parlimen.
"Pilih (undi) calon yang mempunyai kemampuan untuk membawa suara rakyat di Parlimen supaya kita hadapi pilihan raya dengan cara yang tenang, dengan cara yang aman dan baik.
"Saya melihat rakyat di Kuala Terengganu ini bersedia untuk membuat perubahan sebagaimana yang berlaku di pantai barat.
"Saya dengar cerita akan berlaku provokasi, pakai lambang bulan, pakai kopiah macam kita (PAS) tetapi bertindak di luar kawalan dan arahan pemimpin,"ujarnya.
Katanya, rakyat tidak boleh hidup dengan baik, aman dan selamat selagi negara mempunyai pemimpin parti yang rasuah.
Menurutnya, Umno merupakan sebuah parti rasuah dan rakyat yang cerdik tidak mudah terpedaya dengan pelbagai taktik provokasi tersebut.
Justeru itu, kata Ustaz Abdul Hadi usaha mendekati rakyat perlu dilaksanakan dengan berhemah agar mereka (pengundi) tidak takut hendak keluar mengundi.
Menurutnya, jika negara mengamalkan cara pemilihan yang telus, adil dan baik semua pilihan raya yang diadakan bakal dimenangi oleh parti PAS dan Pakatan Rakyat.
Hadir sama pada majlis tersebut Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat; Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasaruddin Mat Isa; Pesuruhjaya PAS, Dato' Mustafa Ali dan Penasihat Parti KeADILan Rakyat (KeADILan), Dato' Seri Anwar Ibrahim; Naib Presiden KeADILan, Tian Chua serta beberapa pemimpin lain. - mks. _

(Berita ini diambil dari Harakah Daily, 8 Januari 2009)

No comments: