Monday, January 19, 2009

NGO

NGO YAKIN MASA DEPAN PAKATAN RAKYAT LEBIH BERBANDING BN
Roy Rasul

KUALA LUMPUR, 19 Jan (Hrkh) - Beberapa Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan tokoh akademik, melihat kemenangan PAS dalam pilihanraya kecil bagi Parlimen Kuala Terengganu Sabtu lepas sebagai pembuka laluan untuk meraih kemenangan lebih besar dalam pilihan raya umum ketiga belas nanti.
Ini kata mereka yang dihubungi Harakahdaily, keputusan tersebut dengan merangkul majoriti yang besar bukan lagi undi protes sebaliknya satu trend perubahan rakyat.
Presiden Pusat Kajian Medenity/Masyarakat Madani (Cesmacs) Dr Mohd Nor Manuty berkata, kemenangan calon PAS, Mohd Abdul Wahid Endut mengalahkah calon Barisan Nasional (BN), Dato' Wan Farid Wan Saleh, menunjukkan dengan jelas rakyat mahukan perubahan.
Apa lagi katanya, kemenangan tersebut dengan satu majoriti yang besar biarpun BN pergunakan segala kemudahan yang ada pada mereka.
"Tentunya kemenangan ini sesuatu yang menggembirakan kerana rakyat mahukan perubahan yang sedang berlaku dengan rancaknya sejak 8 March lalu menjadi realiti dalam sistem politik negara.
"Ini juga menunjukkan dakyah-dakyah BN bahawa Pakatan Rakyat itu tidak kukuh ternyata tidak benar sama sekali," katanya.
Katanya dalam pilihan raya kali, yang menarik perhatian dengan kehadiran DAP dan Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) yang bekerjasama dengan pemimpin dan petugas-petugas PAS terutama di kawasan bandar.
Beliau berkata, ini sebagai satu manifestasi yang begitu memberangsangkan untuk masa depan Pakatan Rakyat dalam apa pun jua kontroversi antara berbilang kaum .
"Sama ada Melayu, Cina atau India yang besar majoritinya di situ, ini sebagai satu petanda yang cukup baik kerana dalam pilihan raya kecil yang lazimnya dimenangi Barisan Nasional," katanya.
Kemenangan tersebut sudah melakarkan satu landkap politik negara ke arah perubahan.
Keputusan pilihan raya kecil, Parlimen Kuala Terangganu yang diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), semalam menyaksikan kemenangan Wahid dengan memperolehi undi sebanyak 32,883 undi manakala Wan Farid dari BN sebayak 30,252 dan calon Bebas, Azharuddin Mamat, 193 undi. PAS mendapat kelebihan majoriti 2,631 undi.
Mengulas isu sama, Ahli akademi daripada Jabatan Sains Politik Universiti Antarabangsa Islam Malaysia (UIAM) Dr Marzuki Mohamad berkata, kemenangan di Kuala Terangganu memberi erti masa depan PAS dan Pakatan Rakyat semakin cerah.
Secara tidak lansung katanya memberi peluang untuk PAS perkukuhkan kedudukan politiknya di peringkat nasional dan juga segi kerjasama Pakatan Rakyat khasnya bagi menghadapi pilihan raya umum ke 13 nanti.
"Kalau tengok dalam pilihanraya di Kuala Terengganu ini boleh dikatakan satu simbol ataupun satu bukti wujud satu kerjasama yang cukup rapat dalam satu pasukan di bawah Pakatan Rakyat.
"Dalam konteks Umno dan BN saya lihat sebagai satu lagi isyarat kepada BN khususnya Umno untuk melaksanakan satu reform dalam BN.
"Mereka perlu satu perubahan seperti isu yang dibawa itu berkait dengan pemerintahan yang baik atau good governant jadi saya nampak itu isyarat dari pengundi," katanya
Beliau berkata, kekalahan menuntut Umno dan BN perlu menumpukan usaha yang lebih kepada meningkatkan prestasi dari segi pemerintahan seperti rasuah dan hubungan kaum.
Ini katanya pilihan raya tersebut bukan saja pengundi Cina yang mengundi PAS tetapi Melayu juga ramai menyokong PAS.
Perkembangan tersebut katanya menunjukkan prestasi PAS mungkin akan menggantikan peranan Umno sebagai parti yang mewakili masyarakat Melayu Islam di peringkat nasional.
"Ini satu yang harus kita lihat kerana perubahan landkap politik bukan sebagai undi protes saja kepada BN tetapi nampak satu trend perubahan yang memberi peluang baik kepada Pakatan Rakyat khususnya," kata beliau.
Dalam pada itu, Pengarah Korporat Komunikasi, Fomca, Mohd Yusuf Abdul Rahman berpandangan kejayaan PAS bagi menduduki kerusi parlimen Kuala Terengganu itu mencerminkan perasaan rakyat yang sebenarnya,
"Kita tahu walaupun dalam pilihan raya kecil itu kerajaan mengarahkan jenteranya turun tetapi masih lagi tidak dapat pengaruhi pengundi dan ini menunjukkan keyakinan rakyta kepada kerajaan persekutuan masih lagi rendah dan kerana itu ia memberi kemenangan kepada PAS," ujarnya.
Katanya, Kerajaan Persekutuan harus membuat sesuatu jika hendak dapat kembali keyakinan rakyat.
Malah katanya, jika senarionya masih sama kemungkinan besar Pakatan Rakyat boleh menjadi pilihan utama rakyat.
"Saya rasa kalau rakyat ada sekarang masih menunjukkan rasa tidak puas hati kepada kerajaan tidak mustahil bahawa Pakatan Rakyat boleh ambilalih tampuk perintahan, "Bagi saya sendiri melihat perasaan tidak puas hati rakyat kepada pemerintah masih lagi meluap-luap," katanya. - mr_

(Berita ini diambil dari Harakah Daily, PAS, 19 Januari 2009)

No comments: