Wednesday, January 7, 2009

NAJIBA RESAH

Fenomena Permatang Pauh makin jelas di Kuala Terengganu
Wartawan Kita
Tue | Jan 06, 09 | 7:19:45 pm MYT

KUALA TERENGGANU, 6 Jan (Hrkh) - Dato' Seri Najib Razak kelihatan resah apabila petanda awal Barisan Nasional (BN) mahu mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Terengganu semakin tercabar sekarang.


Malah sebelum ini beliau enggan mengakui pilihan raya tersebut sebagai medan ujian terhadap kewibawaannya sebelum menduduki kerusi ketua kerajaan pada Mac depan.

Agak meresahkan lagi apabila penduduk Cina tempatan keluar beramai-ramai bagi memberi sokongan kepada perarakan calon PAS yang melalui Taman Permin Jaya, Jalan Pusara dan ke stadium negeri.

Ada di antara mereka yang turut mengibar bendera PAS, KeADILan dan DAP sebagai sokongan moral kepada Abdul Wahid Endut.

Agak mengharukan juga apabila ribuan penyokong Pakatan Rakyat bukan Islam dari luar Terengganu hadir memberi sokongan. Situasi itu agak luar biasa apabila mereka datang lengkap dengan pasukan gendang.

"Saya melihat mood pilihan raya Mac 2008 dan pilihan raya kecil Permatang Pauh tidak jauh berbeza dengan apa yang berlaku hari ini.

"Ini sudah memberi isyarat awal BN berdepan dengan kesukaran untuk mempertahankan kerusi tersebut apabila usaha Umno dan BN menarik kembali sokongan rakyat nampak hambar," kata pegawai penyelidik dari Pusat Kajian Strategik Negeri Kelantan, Zainal Abidin Hussin.

Petang ini difahamkan berlangsung pertemuan Ketua Penerangan PAS Pusat, Haji Mahfuz Omar dengan lebih 100 bloggers dari seluruh negara yang datang ke sini bagi membantu calon Pakatan Rakyat.

Turut kelihatan Raja Petra Kamaruddin pemilik laman web Malaysia-today.

Seorang penduduk tempatan pula ketika ditemui memberitahu calon bebas yang turut bertanding pada pilihan raya tersebut Azharuddin Mamat merupakan bekas orang kuat Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad.

Katanya, kehadiran ahli perniagaan itu ternyata menjadi satu bebanan baru kepada Umno memandangkan beliau mempunyai keluarga yang ramai dan berpengaruh di sini.

"Sudah tentu undi yang akan diraihkan Umno akan berpecah dua kepada Azharuddin dan Wan Farid. Ini tentunya akan memberi satu lonjatan kepada calon PAS," katanya yang bertugas di Wisma Darul Imam.

Menurut sumber ayah kepada calon Bebas terbabit pernah berkhidmat dengan Wan Mokhtar semasa menjadi Menteri Besar Terengganu.

Seorang pegawai kerajaan yang enggan dikenali berkata, kenyataan mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad seperti disiar di laman-laman web menjadi senjata yang boleh melemahkan semangat juang Umno.

Katanya, biar pun kenyataan itu dituju Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, namun ia menjejaskan reputasi Najib yang sedang berhempas pulas di Kuala Terengganu.

Sebelum ini mantan perdana menteri itu menyuarakan rasa kecewa dengan pemilihan Wan Farid sebagai calon BN kerana dia dianggap hanya seorang proksi kepada Abdullah.

Calon BN itu pernah berkhidmat sebagai setiausaha politik kepada Perdana Menteri ketika menerajui Kementerian Dalam Negeri pada 2003.

Kemudian dia dilantik sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri selepas pilihanraya umum lalu melalui kuota sebagai senator.

Tamparan lebih hebat menimpa jentera BN apabila calon Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim), Harun Mohamad menarik diri pada saat akhir sebelum mengemukakan kertas pencalonan.

Lebih menarik lagi apabila dia secara terbuka menyatakan sokongan kepada calon PAS.

Zainal berkata, bakal Perdana Menteri terpaksa bekerja lebih keras lagi bagi mempertahankan kerusi Kuala Terengganu kerana petanda awal sudah memihak kepada PAS.

(Brita ini diambil dari Harakah Daily, 6 Januari 2009).



No comments: