Wednesday, January 7, 2009

KEJAM

Hamas, Israel bertempur di darat



ANGGOTA penyelamat memeriksa keadaan mayat kanak-kanak perempuan yang ditemui tertimbus dalam runtuhan rumahnya selepas serangan tentera Yahudi ke atas rumah ahli Hamas di Zeitun, semalam.

Sembilan anggota tentera Yahudi maut, tetapi kerajaan enggan mengesahkan

BANDAR RAYA GAZA: Kira-kira sembilan askar Israel dilaporkan maut atau cedera parah dalam pertempuran di Gaza, namun Kerajaan Israel enggan mengesahkan laporan berkenaan dan mendakwa hanya lapan askar cedera dalam kejadian itu.

Bagaimanapun, tentera Israel mendakwa kononnya setakat ini hanya lima askarnya terbunuh dalam pertempuran sejak Sabtu lalu, termasuk seorang pegawai payung terjunnya, semalam.


"Seorang pegawai Israel terbunuh dalam pertempuran di utara Gaza, malam Isnin lalu," kata jurucakap tentera yang dipetik AFP di Baitulmaqdis, sambil mendakwa kematian itu mungkin berpunca daripada tembakan anggotanya sendiri tanpa sengaja.


"Kematiannya menjadikan lima askar Israel terbunuh sejak tentera berkenaan melancarkan serangan ke atas Hamas sejak 27 Disember lalu. Tiga daripadanya mati akibat terkena 'tembakan rakan sendiri' dalam pertempuran di Gaza.

Hamas, yang melancarkan berpuluh-puluh tembakan roket kepada Israel, berikrar akan menanti askar Israel 'di setiap penjuru jalan dan lorong' di bandar ini.

SEORANG pejuang Palestin memeriksa kawasan runtuhan yang musnah dalam serangan udara Israel di Gaza, malam semalam.

Menteri Pertahanan Israel, Ehud Barak menyatakan negaranya akan terus memerangi Hamas � yang masuk hari ke-11 sehingga keadaan menjadi 'tenang dan aman' di selatan negara berkenaan.

Penduduk di bandar utama wilayah berkenaan melaporkan pengeboman dari arah darat dan udara, menyebabkan asap tebal menyelubungi ruang udaranya dan api menerangi kegelapan malam di daerah utara Zeitoun, tempat pertempuran paling sengit.

Dalam kenyataan pertamanya bagi mengakui pertempuran di jalan raya Gaza di antara Israel dan Hamas, pihak tentera menyatakan pasukan udara dan artilerinya turut 'membantu pasukan darat dengan melancarkan serangan ke atas kawasan Hamas yang digunakan sebagai tapak pelancaran roket.'

Laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kelmarin, menyatakan jumlah kematian setakat ini sudah meningkat kepada 534 orang dan sekurang-kurangnya 2,470 orang tercedera. PBB juga mengakui bahawa 'keadaan yang membahayakan kakitangan perubatan serta keadaan sukar untuk mengeluarkan mangsa yang tercedera daripada kesan runtuhan' itu, menyebabkan pengiraan mangsa menjadi bertambah sulit.

Reuters memetik pegawai perubatan tempatan sebagai berkata, semua 13 anggota sebuah keluarga terkorban dalam letupan yang berlaku di sebuah rumah di timur Gaza. Menjelang jam 3 petang, 25 rakyat Palestin terkorban sejak awal pagi saja, sekurang-kurangnya 10 daripada mereka adalah kanak-kanak.

Sesetengah penduduk diberi amaran oleh askar Israel menerusi mesej yang dirakam dalam bahasa Arab bahawa mereka akan memusnahkan Hamas dan 'kami akan menggunakan apa juga cara untuk melakukannya.' � Agensi

(Berita ini diambil dari Berita Harian, 7 Januari 2009)

No comments: