Friday, September 17, 2010

KHUTBAH JUMAAT


ADAB BERZIARAH DAN BERTETAMU

Saya berpesan kepada tuan-tuan dan diri saya sendiri marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah SWT dengan memperkukuhkan pengabadian diri kita kepada-Nya dengan melaksanakan segala perintah dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan pada bulan yang penuh kebahagian ini menjadikan kita insan yang berjaya di dunia dan akhirat. Tajuk mimbar Jumaat pada hari ini ialah:

‘ADAB BERZIARAH DAN BERTETAMU’.

Salah satu amalan terpuji yang menjadi budaya besar-besaran umat Islam di negara ini ketika sambutan Idulfitri ialah amalan ziarah atau kunjung mengunjung satu sama lain. Amalan ini memberi manfaat yang amat besar dan faedah yang berguna dalam konteks persaudaraan dan perpaduan ummah.

Amalan ziarah ini membolehkan yang jauh menjadi dekat, yang renggang menjadi rapat, yang bersengketa menjadi damai, yang susah menjadi mudah dan sebagainya. Maka dengan amalan ziarah akan terbentuklah satu ikatan kasih sayang yang dapat mengeratkan sesama insan. Ini disebabkan asal keturunan manusia berpunca daripada ibubapa manusia yang sama iaitu Nabi Adam a.s. dan Hawa. Sebab itulah Islam mengajak manusia saling kenal mengenali antara satu sama lain, hormat-menghormati, saling kerjasama dan faham –memahami sesama insan. Firman Allah SWT dalam surah al-Hujuraat ayat 10:

Sebenarnya orang yang beriman itu bersaudara maka damaikanlah di antara dua saudara kamu itu; dan bertakwalah kepada Allah agar kamu beroleh rahmat.

Islam adalah satu agama yang mempunyai sistem cara hidup yang sempurna merangkumi bidang politik, ekonomi dan kemasyarakatan. Betapa Islam agama yang sempurna maka ketika mengadakan ziarah, bertetamu dan makan pun mempunyai adab-adab tertentu. Adab-adab yang ditetapkan ini melambangkan tamadun, keperibadian dan tama’ninah seseorang.

Berdasarkan ayat al-Quran dan amalan Rasulullah Muhammad s.a.w., antara peraturan dan adab yang perlu diberi perhatian oleh umat Islam ketika berziarah dan bertetamu ialah:

Pertama: Sebagai tetamu mestilah berniat baik di atas

kunjungannya.

Kedua: Jangan dibezakan antara orang kaya dan miskin

ketika membuat jemputan.

ketiga: Hendaklah jangan ditolak sesuatu undangan

hanya semata-mata berpuasa sunat, sebaliknya

terimalah undangan dan hendaklah berbuka

kerana untuk menimbulkan kegembiraan dipihak

yang membuat undangan.

Keempat: Hendaklah menolak undangan di mana

makanan yang dihidangkan itu terdapat syubhat

dan terdapat aktiviti munkar atau orang yang

mengundang itu bersifat fasik, zalim atau suka

membesar diri. Hadith Rasulullah Muhammad

sallallahu alaihi wasallam:

Janganlah engkau makan melainkan makanan orang yang bertakwa dan jangan pula makan makananmu itu melainkan yang membawa kepada takwa.(Riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi)

Kelima: Semasa berkunjung hendaklah memilih waktu yang sesuai. Janganlah berkunjung pada waktu awal pagi, tengah hari dan larut malam kerana kebiasaan pada waktu itu pihak tuan rumah ingin beristirahat atau membuat persiapan keperluan keluarga. Keenam: Perlu memohon izin dan memberi salam sebelum memasuki rumah yang ingin dikunjungi. Ketujuh: Selaku tetamu adalah sangat digalakkan agar berjabat tangan dengan tuan rumah sebagaimana dengan hadith Nabi s.a.w. riwayat dari al Barra’ r.a. yang bermaksud

Tidak ada dua orang muslim yang bertemu,lalu saling berjabat tangan, kecuali kedua-duanya diampuni Allah SWT sebelum berpisah.

Walaubagaimanapun amalan berjabat tangan ini mestilah dilakukan mengikut lunas-lunas Islam. Kelapan: Sebagai tetamu juga tidak sepatutnya bebas melakukan apa sahaja di rumah orang lain kerana perbuatan itu akan mengganggu dan tidak disenangi oleh tuan rumah. Kesembilan: Menjaga mata, jangan mencuri dengar atau mengintai tuan rumah, janganlah mengangkat suara semasa berada di dalam rumah dan jangan duduk lama ketika berziaarah.

Manakala bagi pihak tuan rumah, agama Islam turut menggariskan beberapa adab yang perlu dipelihara dan dihayati oleh tuan rumah antaranya dengan menghormati dan memuliakan tetamunya. Dalam masa yang sama,tuan rumah juga disarankan agar menghidangkan jamuan yang terbaik mengikut kadar kemampuan. Janganlah ada maksud untuk berbangga-bangga tetapi tujuannya adalah untuk merapatkan seluruh kawan serta memberikan kegembiraan dalam jiwa tetamu. Memuliakan dan melayan tetamu dengan baik adalah amalan para Nabi dan Rasul terdahulu.

Satu lagi adab penting yang ada kaitan dengan ziarah ialah menjaga adab makan-minum. Adab-adab makan yang diajar oleh Rasulullah s.a.w. ialah:

Pertama: Memulakan makan dengan membaca Bismillah. Kedua: Mengakhiri makan dengan bacaan Alhamdulillah.

ketiga: Makan dengan menggunakan tiga jari kanan

keempat: Menjilat jari jemari sebelum mencuci tangan

kelima: Tidak meniup makanan yang masih panas,

keenam: Menghindari diri dari kenyang yang melampau batas. Ketujuh: Memulakan makan dengan mengambil makanan yang dekat dengan kita.

Kelapan: Sewaktu makan, janganlah berdiam diri sahaja, tetapi bolehlah bercakap perkara yang baik-baik.

Demikian juga apabila kita minum, jangan minum seperti unta minum yang meminum air sekali gus, minumlah seteguk demi seteguk. Cara minum yang terbaik ialah jangan minum air banyak ketika makan kecuali terlalu dahaga atau tercekik, jangan bersendawa atau bernafas dalam gelas ketika minum.

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Sebagai kesimpulan khutbah minggu ini, mimbar menyeru marilah kita membimbing ahli-ahli keluarga kita agar menjaga adab-adab menjemput dan melayan tetamu, adab-adab berziarah, dan adab makan minum supaya kita menjadi insan yang bertamadun, berperibadi tinggi dan memiliki sifat tama’ninah dan tingkahlaku kita tidak menjadi bahan ketawa orang lain serta menjatuhkan maruah. Ambillah kesempatan pada bulan yang mulia ini untuk merapatkan hubungan silaturrahim sesama kita. Sebagai peringatan marilah sama-sama kita merenung firman Allah SwT dalam surah al-Ahzab ayat 53:

Wahai orang yang beriman, janganlah kamu masuk ke rumah Nabi, kecuali kamu diizin untuk menghadiri jamuan, bukan dengan menunggu masa sajiannya; tetapi apabila kamu dijemput maka masuklah; kemudian setelah kamu makan maka hendaklah kamu bersurai dan janganlah dengan berbual-bual. Sesungguhnya yang demikian itu mengganggu Nabi sehingga ia merasa malu kepada kamu, sedang Allah tidak malu daripada menyatakan kebenaran.

(Khutbah Jumaat ini disediakan oleh JAKIM, pada 17 September 2010 Syawal 1431H)

No comments: