Ucapan sulung Najib di PBB Isnin
Oleh Ahmad Zaini Kamaruzzaman di New York
Ketika menyampaikan pernyataan negara pada persidangan bertema Memperkukuhkan Peranan Utama PBB Dalam Tadbir Urus Global itu, Perdana Menteri dijangka menyampaikan pandangan dan saranan negara bagi menangani pelbagai isu antarabangsa dan global.
Selain ucapan pada persidangan itu, Najib mempunyai jadual kerja yang padat, termasuk pertemuan dengan Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon dan pertemuan dua hala bersama pemimpin lain.
Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman ketika taklimat kepada media Malaysia, berkata Duta Malaysia di Amerika Syarikat (AS), Datuk Seri Jamaludin Jarjis menerima banyak permintaan daripada pemimpin dunia untuk menemui Perdana Menteri kerana memandang tinggi pencapaian negara dan mahu bertukar pandangan dengan Najib mengenai pelbagai isu dan kejayaan negara.
Selain acara di PBB, penyertaan Perdana Menteri bersama pemimpin negara ASEAN pada Sidang Kemuncak Kedua ASEAN-AS, di Hotel Waldorf-Astoria esok yang turut dihadiri Presiden Barack Obama, amat penting kerana perhatian utama diberikan pentadbiran Obama terhadap rantau ASEAN.
Pertemuan dengan Obama kali ini adalah yang kedua bagi Najib selepas pertemuan dua hala di Washington April lalu yang disifatkan sebagai permulaan baru dalam hubungan Malaysia-AS.
Sebelum pertemuan itu, Perdana Menteri dan Datin Seri Rosmah Mansor akan menghadiri majlis yang dihoskan Obama dan isterinya, Michelle untuk pemimpin ASEAN di American Museum of Natural History.
Dalam lawatan kali ini, Najib juga akan mengadakan pertemuan dengan pemimpin perniagaan, termasuk Ketua Eksekutif ACE Group, Evan Greenberg; pengasas Wikipedia, Jimmy Wales; Presiden Global Ventures, Johns Hopkins dan Presiden Akademi Sains New York, Ellis Rubinstein.
Perdana Menteri akan turut melawat Bursa Saham New York (NYSE) serta sesi wawancara dengan akhbar New York Times, Wall Street Journal dan stesen televisyen CNN.
Najib dan Rosmah juga akan mengadakan majlis Aidilfitri yang dihadiri pelajar Malaysia di New York dan wakil rakyat Malaysia, di pejabat Wakil Tetap Malaysia di PBB esok serta bercakap dengan pelajar Malaysia di tempat lain di AS menerusi persidangan video.
(Berita ini diambil dari Berita Harian Online pada hari ini)
No comments:
Post a Comment