Tuesday, September 28, 2010

BERITA



Anasir luar sabotaj PKR


PETALING JAYA – Kekecohan yang berlaku pada mesyuarat agung dan proses pemilihan peringkat Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) di beberapa kawasan kelmarin terpaksa ditangguhkan kerana beberapa isu termasuk merosakkan kotak undi oleh orang luar.

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail berkata, Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) telah mengenal pasti beberapa individu melalui rakaman video dan foto yang terlibat, yang didakwa terbabit dalam perbuatan vandalisme.


“Melalui rakaman foto, petugas kami mengesahkan individu yang dikenal pasti bukan ahli parti cuba mencemarkan imej PKR. Kami boleh mengesahkan wujudnya elemen provokasi, kerana apa yang berlaku sama sahaja caranya iaitu kotak undi dipecahkan, kertas undi diselerakkan dan selepas itu (mereka yang terlibat) beredar,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini semalam.

Tujuh cabang terlibat dalam kekecohan kelmarin ialah Klang, Kapar, Petaling Jaya Selatan dan Kuala Langat di Selangor, Jerai dan Merbok di Kedah dan Kuala Nerus, Terengganu.

Ahli Parlimen Machang itu berkata, ekoran daripada kekecohan itu, JPP memutuskan untuk menangguhkan proses pemilihan di tiga cabang terbabit.

Saiffudin berkata, empat lagi pemilihan peringkat cabang yang turut ditangguhkan adalah Petaling Jaya Selatan, Jerai, Merbok dan Kuala Nerus kerana mempunyai masalah tadbir dan teknikal.

“Tujuh daripada 166 cabang di seluruh negara yang sudah menyempurnakan mesyuarat agung masing-masing ditangguhkan ke satu tarikh yang akan ditentukan oleh JPP,” katanya.

Menurutnya, keputusan di 159 daripada 166 cabang yang selesai bermesyuarat sejak 17 September adalah mengikut peraturan walaupun berdepan dengan isu-isu seperti tidak cukup kotak undi.

“Di samping itu, terdapat keghairahan luar biasa di kalangan anggota parti untuk mengambil bahagian aktif dalam proses pemilihan parti yang memperkenalkan sistem pemilihan langsung tahun ini,” katanya.

Sehingga kelmarin, 166 daripada 205 cabang telah menyempurnakan mesyuarat agung tahunan dan pemilihan pimpinan cabang masing-masing.

Sebanyak 39 cabang lagi bakal melengkapkan jadual mesyuarat agung hujung minggu ini.

(Berita ini diambil dari Sinar Harian online, pada hari ini)

No comments: