Tidak mungkin sogok ahli
Azmin Ali
SHAH ALAM – Penglibatan secara langsung ribuan ahli dalam memilih calon pada pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan datang tidak memungkinkan berlakunya sebarang sogokan wang atau kata lain, politik wang.
Naib Presiden PKR, Azmin Ali semalam berkata, pihaknya percaya tiada seorang pun calon yang mampu untuk berbuat demikian bagi meraih kemenangan.
Menurutnya, tujuan parti meminda perlembagaan adalah untuk mengelakkan berlakunya perkara berkenaan sekali gus menyuburkan amalan demokrasi.
“Tidak mungkin berlaku (politik wang) kerana tujuan kita meminda perlembagaan parti agar pemilihan dapat dijalankan secara langsung sekali gus mengelakkan politik wang.
“Dalam PKR, setiap orang (ahli) diberi peluang untuk memilih dan adalah tidak mungkin untuk seseorang itu mampu menyogok lima ribu orang untuk satu cabang sebagai contoh bagi meraih kemenangan,” kata Pengerusi PKR Selangor itu.
Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas berhubung dakwaan wujudnya unsur politik wang pada pemilihan parti kali ini.
Katanya, sistem pemilihan yang dibuat PKR berbeza berbanding UMNO yang menghantar perwakilan untuk memilih dan pastinya bilangan perwakilan yang sedikit memudahkan wujudnya unsur sogokan.
Ketika ditanya berhubung penyebaran melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) memburukkan calon yang bertanding, Azmin bagaimanapun mendakwa ia merupakan tindakan parti lawan untuk mengganggu gugat proses perjalanan pemilihan.
“Saya tidak percaya ia boleh berlaku kerana kita sentiasa berpegang kepada prinsip dan idealisme perjuangan.
“Saya tidak menerima sebarang aduan dan juga SMS berhubung perkara tersebut serta meminta anggota parti yang diberi kuasa untuk memilih barisan kepimpinan parti supaya menggunakan kuasa ini dengan bijaksana dan buat pilihan berdasarkan rekod kerja seseorang pemimpin itu," katanya. (Dari Sinar Harian).
No comments:
Post a Comment