Tuesday, September 21, 2010

BERITA



Pusat beku 118 projek pembangunan di Kelantan
Harakahdaily

KOTA BHARU, 21 Sept: Sejak Rancangan Malaysia ke-6 diperkenalkan pada tahun 1991, sejumlah 118 projek pembangunan telah dibekukan kerajaan pusat di negeri Kelantan.

Jumlah itu meliputi 1,086.278 hektar atau melebihi 2500 ekar tanah dari sepuluh jajahan di negeri ini.

Pendedahan itu dibuat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Mohd Aiseri Alias pada sidang media selepas menghadiri perasmian Forum Model Baru Ekonomi Kelantan di Dewan Teratai Kota Darulnaim, pagi ini.

Menurutnya lagi, tindakan tersebut telah membantutkan pembangunan negeri dan dipandang serong oleh rakyat yang terlibat dengan pengambilan tanah tersebut.

“Kita berharaplah kerajaan pusat dapat menyegerakan penggunaan tanah yang diambil ini dalam sambungan RMK 9 dan ke10 nanti.

“Maklumlah tanah tersebut adalah kebanyakannya milik rakyat dan rakyat melihat ia masih belum dibangunkan dan mungkin ada kekangan dalam hal ini, tetapi ia seharusnya tanah ini tidak dibiarkan lama untuk dibangunkan,” katanya seperti lapor web gegarkelantan.net.

Menurut Aiseri lagi, pengambilan tanah tersebut melibatkan 16 kementerian dan perkara tersebut akan dimaklumkan segera kepada Unit Perancangan Ekonomi Jabatan Perdana Menteri untuk diambil tindakan.

Ditanya kerjasama antara kerajaan negeri dengan pusat berhubung pengambilan tanah di negeri ini, beliau memberitahu kerajaan negeri memberi kerjasama sebaiknya.

“Kerjasama yang kita berikan kepada Pusat dalam hal ini amat memberangsangkan dan amat mudah dan ia tidak timbul soal kelewatan kelulusan tanah untuk pembangunan di negeri ini," katanya lagi.

Beliau juga berkata sehingga kini tidak ada sebarang permohonan dari kerajaan pusat untuk mengambil tanah bagi pembangunan negeri ini dihalang.

Tambahnya bermula dengan RMK9, sebarang kelulusan tidak perlu lagi dibuat dalam Mesyuarat Exco negeri kerana Pejabat Tanah dan Galian hanya perlu berurusan dengan Timbalan Menteri Besar untuk disegerakannya.

PAS mula megambil alih pemerintahan negeri itu selepas Pilihan Raya Umum 1990 setelah mendapat majoriti kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun).

Sejak mentadbir negeri itu, PAS mendakwa Kelantan sering dianaktiri oleh kerajaan pusat khususnya dalam meyalurkan peruntukan.

Manakala terbaru, Kelantan sedang berdepan kerajaan pusat dalam usaha mendapatkan hak royalti rakyat negeri itu.

----------------------------


Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 21 Sept: Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) menyeru seluruh mahasiswa turun ke Mahkamah Jalan Duta 24 September ini bagi mendengar keputusan perbicaraan kes "bini puaka" melibatkan lima pelajar Universiti Malaya (UM).

Setiausaha SMM, Mohd Ridzuan Othman berkata, himpunan itu sebagai menyatakan harapan keadilan di peringkat seluruh mahasiswa kepada institusi kehakiman di Malaysia.

Ridzuan dalam kenyataannya kepada Harakahdaily berkata, beliau yakin akan kreadibiliti Mahkamah di Malaysia sebagai telus, adil dan bijaksana dalam menilai setiap fakta kes.

"Saya mengharapkan seluruh mahasiswa, aktivis dan masyarakat untuk sama-sama berdoa bagi kemenangan kes ini", kata Ridzuan.

SMM juga meminta seluruh mahasiswa Islam agar mengadakan solat hajat untuk kemenangan kepada mahasiswa yang ditindas di dalam kes tersebut.

Lima mahasiswa iaitu Shazni Munir Mohd Ithnin, Muhammad Aizat Roslan, Muhammad Saufi Jelani, Mohd Izzuddin Hilmi Mohd Zaini dan Mohd Syahriuldeen Ahmad Rosli yang didakwa dibawah Seksyen 427, 436 dan 447 Kanun Keseksaan.

Perbicaraan kes kelima-lima tertuduh berlangsung sejak bermula Julai tahun lalu.

Mereka dituduh menconteng "bini puaka" dan "pembunuh Altantuya" yang ditujukan kepada isteri perdana menteri Rosmah Mansor.

Kesalahan itu didakwa berlaku pada 4 pagi 24 Jun lalu di dewan kuliah utama API, beberapa jam sebelum Rosmah hadir untuk melancarkan kempen mengutip derma bagi kanak-kanak Palestin.

Bagi Seksyen 427, mereka dituduh menyimbah petrol di atas permaidani yang bakal dilalui Rosmah dan menconteng di sebuah dewan akademi pengajian itu.

Manakala bagi Seksyen 436, ketiga-tiga dituduh melakukan perbuatan khianat dengan menggunakan api di tempat dan waktu yang sama.

Bagi Seksyen 447 pula, mereka dituduh melakukan pencerobohan jenayah pada tarikh dan masa yang sama.

(Harakah Daily online)


No comments: