Tuesday, September 14, 2010

BERITA

Harakahdaily

PETALING JAYA, 14 Sept: “Saya telah berbincang dengan keluarga, beberapa orang pemimpin parti dan juga sahabat rapat. Kini saya mengambil keputusan tidak akan bertanding,” kata Dr Syed Husin Ali (gambar).

Timbalan Presiden PKR itu berkata, sudah sampai waktu untuk beliau menjelaskan sama ada mempertahan kedudukan saya sebagai Timbalan Presiden atau tidak.

Menurutnya, akhir-akhir ini ramai juga pemimpin pusat, negeri, cabang dan anggota biasa yang menghantar sms atau emel dan menelefon meminta bahkan menggesa beliau agar bertanding.

Katanya, macam-macam hujah mereka kemukakan dan beliau mengucapkan berbanyak terima kasih kepada mereka.

“Sebenarnya, saya ingin melihat orang yang lebih muda dan aktif menggantikan saya, walaupun dalam umur tepat 74 tahun minggu depan, Insya Allah, saya terkadang merasa belum tua lagi.

“Saya ingin menumpukan lebih banyak masa kepada menulis. Selain isteri, anak dan cucu ini merupakan cinta utama saya,” ujarnya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Menurut Ahli Dewan Negara itu, beliau sudah lama membayangkan hasrat mahu mengundurkan diri dari jawatan Timbalan Presiden apabila sampai waktunya.

Jelasnya, walaupun tidak akan bertanding jawatan nombor dua dalam parti itu, tidak bererti beliau akan meninggalkan politik ataupun parti sepenuhnya.

Beliau yang menceburkan diri dalam politik dengan memasuki Parti Rakyat Malaysia pada tahun 1958, menyandang jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat semenjak 2003.

Katanya, politik dan perjuangan untuk rakyat sudah menjadi darah dagingnya dan tidak mudah baginya meninggalkannya begitu saja.

Justeru, beliau berharap dan berdoa agar Keadilan Pusat, Wanita dan Angkatan Muda akan dipimpin oleh tokoh-tokoh yang komited kepada asas-asas perjuangan parti seperti termaktub dalam perlembagaan, menghormati disiplin organisasi parti, sudah teruji merentas duri dan ranjau perjuangan, bergerak secara pemain berpasukan (team player), menentang amalan korupsi dalam segala bentuk dan mendukung nilai akhlak yang tinggi.

Beliau menyerahkan kepada anggota-anggota parti bagi menentukan siapakah yang mereka mahu menjadi pemimpin.

Menurutnya, cara pemilihan, yang baru diperkenalkan oleh parti dengan memberi setiap anggota satu undi adalah cara yang demokratik.

“Jikalau tidak silap saya, parti ini merupakan satu-satunya parti politik dalam dunia yang mengamalkan cara ini.

“Adalah penting cara ini dilaksana dan diamalkan oleh setiap calon yang bertanding dan setiap anggota yang mengundi dengan cara yang adil, bersih, telus dan bebas dari korupsi politik wang,” ujarnya lagi.

(Harakah Daily pada hari ini)


No comments: