Saturday, September 25, 2010

CATATAN SEJARAH (Ulangan)



ULAMA PENYEDAR BANGSA MELAYU

Perjuangan Bangsa Melayu menuntut kemerdekaan tanah air mereka, iaitu Semenanjung Tanah Melayu dan Pulau Singapura, telah dimulakan oleh tiga golongan orang Melayu, iaitu para ulama, guru Melayu dan kaum tani bersama kakitangan kerajaan berjawatan rendah termasuk buruh.
Manakala kebanyakan pegawai tinggi kerajaan dan mereka yang menyandang ijazah atau diploma dari institusi pengajian tinggi di England dan negara-negara di bawah kedaulatan King atau Queen British tidak berminat menuntut kemerdekaan diri dan negara mereka sendiri. Ramai dari mereka merendah-rendahkan bangsa Melayu dengan berkata, “Macam mana orang Melayu hendak merdeka, sedangkan mereka tidak pandai membuat jarum” dan “kalau British beri merdeka orang Melayu mati kebuluran”.
Ada pula sebilangan kecil orang Melayu lepasan institusi pengajian tinggi di England yang berjuang menuntut kemerdekaan, tetapi mereka mahu Semenanjung Tanah Melayu yang merdeka ‘terus berada di bawah naungan Kerajaan British’, kerana kalau Kerajaan British tidak menjadi payung kepada bangsa Melayu, maka semua orang Melayu akan kebuluran.
Ada pula sebilangan kecil langsung tidak mahu menjadi rakyat negara. Mereka berhijrah ke England dan hingga kini mereka dan anak dan cucu cicit mereka ada di suatu tempat di London.
INSTITUSI PONDOK
Sheikh Abdullah Fahim adalah seorang dari beberapa orang ulama di Semenanjung Tanah Melayu ini yang memulakan perjuangan menuntut kemerdekaan tanah air dari penjajah Inggeris. Mereka mendakwahkan orang Melayu supaya membebaskan diri dari penjajah Inggeris. Bebas mengikut ajaran Islam, bahawa setiap manusia dilahirkan ke dunia ini dalam keadaan merdeka.
“Setiap manusia dilahirkan ke dunia dalam keadaan merdeka, tetapi mengapa pula orang Melayu mesti duduk di bawah penjajah British?” Demikian pertanyaan setiap diri ulama, pada masa itu; bertanya kepada diri mereka sendiri atau rakan-rakan dan pelajar-pelajar mereka.
Sebuah pusat membuka minda – kesedaran -, umat Islam menuntut kebebasan dari penjajah Inggeris, telah diwujudkan di Kepala Batas, iaitu institusi pondok – , kemudian bersistem sekolah – Daeratul Maariful Wataniah (Institusi Mengenali Tanah Air). Pusat ini adalah salah satu dari beberapa pusat kesedaran ummah untuk membebaskan diri mereka dari terus menjadi hamba manusia. Pada masa itu hampir 70 tahun bangsa Melayu dijajah. Di antara pusat-pusat lain, ialah Madrasah Al Junid, Singapura, Madrasah Al Attas, Johor Bahru, Madrasah Ad Diniah, Padang Rengas, Maahad AL Ehya Usya Syarif, Gunung Semanggol, Perak, Madrasah Ad Diniah, Pulau Pisang, Jitra, Kedah dan Madrasah Al Huda, Pulau Pinang.
AGAMA ISLAM
Sekitar tahun 1951 hingga tahun di ambang kemerdekaan negara, Kepala Batas menjadi pusat kesedaran politik orang Melayu. Daeratul Maariful Wataniah menjadi seperti markas perjuangan menuntut kemerdekaan dari Inggeris. Manakala rumah Sheikh Abdullah Fahim di hadapan bangunan lama Daeratul Maariful Wataniah, iaitu di sebarang jalan raya Kepala Batas - Bukit Mertajam, telah menjadi sebuah rumah yang terbilang dalam sejarah, kerana rumah itu tempat Tunku Abdul Rahman, Yang Dipertua UMNO meminta kepada Sheikh Abdullah Fahim menentukan tarikh kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu.
Pada tahun 1951, Haji Ahmd Fuad bin Hassan, Haji Ahmad Abdul Malik atau Ahmad Maliki yang duduk dalam ‘Jawatankuasa Khas Agama Islam’ UMNO bersama sebilangan besar orang Melayu telah keluar dari UMNO dan menubuhkan Persatuan Islam Se Tanah Melayu (PAS), dalam satu Kongres alim ulama yang ketiga di Kelab Melayu, Butterworth. Kongres anjuran UMNO itu telah diadakan peringkat pertama di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru Kuala Lumur dan kongres yang kedua di Kota Tinggi, Johor.
Pada masa itu, walaupun PAS berdiri sebagai parti pembangkang, tetapi ia masih berperasaan saudara kandung UMNO dan begitu juga UMNO terhadap PAS. Pejabat PAS – , Setiausaha Agungnya, Cikgu Ahmad Awang, guru Sekolah Melayu, Paya Keladi -, berpejabat di sebelah pejabat Naib Ketua Pemuda UMNO Malaya, Haji Ahmad Badawi dalam bahagian hadapan bangunan (kayu) Daeratul Maariful Wataniah.
Haji Ahmad Badawi dan Haji Ahmad Fuad bin Hassan telah berkata kepada saya pada tahun 1954, bahawa UMNO dan PAS adalah saudara kandung. Walaupun antara kedua parti itu ada perbezaan politik, tetapi kedua-duanya ibarat ‘carik-carik bulu ayam bercantum juga’ atau ‘ sebusuk-busuk daging dikincah-kincah di makan jua’.
MESIN TULIS
Pada tahun itu, saya telah berkhidmat sukarela di pejabat Naib Ketua Pemuda UMNO, pejabat PAS dan pejabat sekolah tersebut. Saya menulis menggunakan mesin tulis (type writer) yang telah tua.
Hubungan saya dengan Haji Ahmad Badawi lebih dari hubungan murid dengan guru, kerana kami sama-sama berjuang menuntut kemerdekaan menurut sebesar mana sumbangan masing-masing. Haji Ahmad Badawi dan saya sering menjelajah ke kampung-kampung dan permatang-permatang untuk memberi ucapan mengembangkan UMNO dan pentingnya merdeka bagi orang Melayu.
Saya masih ingat, bahawa saya pernah berucap depan khalayak di Permatang Sungai Dua, Kubang Menerung, Air Gemuruh, Lahar Yoi, Penaga, Matang Bendahari, Pongsu Seribu, permatang Janggus, Bumbung :Lima dan Tikam Batu, Kedah.
Hasil perjuangan orang-orang yang lalu, Kepala Batas telah dikurniakan oleh Allah seorang tokoh politikus negara – negarawan, Dato’ Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia.
Kepala Batas sepatutnya menjadi pusat penyelidikan perjuangan orang Melayu. Diwujudkan sebuah muzium khas bagi mengenangkan perjuangan alim ulama menuntut kemerdekaan, perjuangan orang Melayu menentang Inggeris dan kewujudan pemimpin negara Malaysia kini.
Catatan atau rakaman yang boleh mendorong golongan muda hari ini meneruskan pengkajian dan penyelidikan mengenai perjuangan orang Melayu, ulama, guru Melayu, petani dan mereka yang terlibat alam perjuangan memerdekakan tanah air yang dulunya bernama Malaya, kemudian Persekutuan Tanah Melayu dan kini Malaysia. – mokhtar petah.

No comments: