Thursday, September 16, 2010

BERITA


Najib tentang keras pelampau


Najib Tun Razak disambut oleh para peserta setibanya pada pelancaran Festival Muzik, Seni dan Gaya Antarabangsa (MASiF 2010) di Kuala Lumpur, malam tadi.


KUALA LUMPUR 15 Sept. - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menentang sekeras-kerasnya perlakuan puak-puak pelampau yang terdiri daripada kumpulan atau individu yang mempercayai pada pandangan dan tindakan radikal terhadap pihak lain.

"Saya berasa sungguh sedih apabila di sebalik tinggal dalam sebuah negara yang berbilang kaum dan merdeka lebih dari 50 tahun, masih ada di kalangan kita ini yang tidak boleh bertoleransi.

"Apatah lagi menerima kebaikan masyarakat yang berbeza-beza ini," katanya di dalam entri terbaru bertajuk Perjuangan Kita Terhadap Faham Pelampau dalam blognya www.1malaysia.com.my di sini.

Najib berkata, kesedihan yang beliau rasakan itu adalah disebabkan golongan tersebut menolak cara hidup masyarakat di negara ini yang berbeza-beza serta menolak gagasan 1Malaysia.

Menurutnya, ketika negara menyambut satu peristiwa penting dalam sejarah Malaysia esok (pembentukan Malaysia pada 16 September 1963), terlalu banyak yang perlu dibanggakan kerana Malaysia kini sebuah negara yang sedang membangun dan cemerlang dalam banyak bidang seperti pelancongan, perbankan dan kewangan, hab halal dan perubatan.

Beliau berkata, Malaysia bertuah kerana berupaya melalui pengalaman dalam pelbagai budaya, beraneka makanan dan kepercayaan agama yang berbeza tanpa perlu pergi lebih jauh ke luar negara.

"Sungguhpun kita telah mencapai sekian banyak kejayaan, namun ianya menggusarkan hati saya apabila melihat kemunculan isu-isu yang berpunca daripada faham pelampau di negara kita.

"Ia bukan terhad kepada fahaman bersifat perkauman sahaja. Mereka menganggap pihak yang bertentangan fahaman dengan mereka sebagai musuh dan berusaha menakut-nakutkan pihak yang tidak menerima pemikiran atau ideologi mereka dan dalam keadaan tertentu pada orang-orang yang hanya kelihatan berbeza daripada mereka," katanya.

Najib berkata, oleh sebab itu, faham pelampau di negara ini terangkum kepada segala macam faktor, termasuk pertentangan kaum, seni, budaya, cara hidup dan sebagainya.

Beliau berkata, sungguhpun bilangan kumpulan ini agak kecil, namun kehadiran mereka diperbesar-besarkan melalui sentimen dan tindakan melampau mereka, bagaimanapun kerajaan akan terus mengawasi kumpulan-kumpulan seperti ini.

"Kita telah menangani beberapa kejadian ekstrem dengan berkesannya di Malaysia, umpamanya kumpulan militan yang cuba membangkitkan konflik dan ternyata benar-benar merupakan ancaman kepada keselamatan negara.

"Kami akan terus melindungi rakyat dan negara daripada ancaman dari dalam ataupun luar, melalui darat, laut, udara mahupun ruang siber," katanya.

Najib berkata, beliau juga bersyukur kerana rakyat Malaysia telah menahan diri daripada bertindak balas terhadap contoh perbuatan pelampau di rantau ini juga di seluruh dunia, malah sebaliknya mempamerkan kematangan sebagai satu bangsa dan sebagai 1Malaysia.

"Saya menyeru semua rakyat Malaysia supaya terus tenang dan berfikiran rasional dalam menghadapi kenyataan sedemikian. Dengan memberikan respons sepertimana yang mereka lakukan hanya akan menyemarakkan lagi ketegangan antara dua negara dan akan menjadi halangan kepada kemajuan kita sendiri," katanya.

Beliau berkata, keadaan ekonomi telah terjejas oleh tindakan-tindakan ekstrem itu dan selalunya jalan ke arah pemulihan itu sering kali panjang dan menyulitkan.

"Sebagai rakyat Malaysia, kita mampu berperanan mengekang faham pelampau di tanah air kita dengan mendidik diri kita sendiri dan menyertai dialog yang sempurna dari segi pemikiran dan rasional.

"Maka kefahaman yang lebih mendalam mampu dicapai antara dua pihak yang berpandangan berbeza. Kita mesti memupuk kebijaksanaan kita untuk lebih terbuka kepada pandangan dan idea yang berbeza," katanya.

Perdana Menteri berkata, rakyat Malaysia mesti melatih diri untuk mengaplikasikan diplomasi dalam interaksi harian dengan orang lain dan perlu menerima 1Malaysia sebagai falsafah dalam menyelesaikan konflik kerana ia tentu akan memanfaatkan rakyat sebagai satu bangsa.

(Berita ini dari Utusan Malaysia online pada pagi ini)

No comments: