Saturday, September 25, 2010

BERITA


Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 24 Sept: Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Muihamad Nizar Jamaludin mendakwa Tun Dr Mahathir dikuasai otak perkauman manakala Nuzul Izzah Anwar pula mencabarnya berdebat ekoran dakwaan beliau Melayu akan hilang kuasa jika Pakatan Rakyat memerintah.

"Oleh itu, dengan matlamat untuk bertukar pendapat, demi mewujudkan 'Malaysia Yang Lebih Baik Untuk Semua Rakyat', saya dengan rendah hati membuat tawaran untuk berdebat dengan Tun Dr Mahathir supaya 'kebimbangan' Melayu - yang pastinya tidak melibatkan keseluruhan masyarakat - yang disebut itu dapat dijelaskan, sama ada kerana Takut Melayu Hilang Kuasa atau Hilang Harta?" kata Nurul Izzah dalam satu kenyataannya.

Bagi bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Muhamad Nizar Jamaludin (gambar), kenyataan Mahathir itu satu kenyataan bersifat perkauman.

Beliau memberi jaminan, yang akan hilang kuasa jika Pakatan Rakyat menang adalah Umno bukannya Melayu.

"Umno pasti hilang kuasa dan suara jika PR memerintah negeri-negeri dan pusat. Tun Mahathir kata Melayu hilang kuasa dan suara. Ini kenyataan rasis dan hasutan," kata beliau dalam twitternya.

Media hari ini menyiarkan kenyataan Mahathir yang mendakwa kuasa politik Melayu akan hilang sekiranya Pakatan Rakyat yang digelarnya parti pembangkang mendapat kuasa sebagai di Perak sebelum dirampas oleh Barisan Nasional.

Beliau mendakwa, walaupun menteri besarnya Melayu dari PAS iaitu Muhamad Nizar tetapi kerajaan itu dikuasai oleh DAP.

Nizar berkata, kenyataan sebegini adalah jelas dari otak perkauman Mahathir.

"PAS bertindak secara Islam untuk mendapatkan dari Umno yang perkauman untuk menyelematkan Malaysia," kata Nizar.

Bagi Nurul Izzah pula, kenyataan Mahathir itu tidak bertanggungjawab dan merupakan sebahagian usaha terdesak untuk menjejaskan kestabilan negara.

Selain penggunaan isu perkauman, Umno juga memakai satu-satunya pendekatan yang mereka mahir, iaitu 'Politik Ketakutan'. 'Politik ketakutan' menggunakan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan sebagai alat untuk penipuan yang penuh terdesak, katanya.

Menurut Nurul Izzah (gambar), masyarakat Melayu diindoktrinasi melalui pelbagai cara termasuk penggunaan NGO untuk berlakon sebagai mangsa dengan tujuan untuk mengeliru dan membantutkan seluruh anggota masyarakat supaya kekal terpasung fikirannya dan emosinya baik oleh kerajaan penjajah dan kini melalui penggantinya, Umno.

Beliau dipercayai merujuk kepada Pergerakan Pribumi Perkasa (Perkasa) yang dipimpin oleh Datuk Ibrahim Ali yang mana Mahathir adalah penasihatnya.

"Matlamat ini tidak lain dan tidak bukan untuk mengekalkan dominasi politik oleh sekelompok kecil elit Melayu yang rapat dengan pusat kuasa, melalui rasuah, salah guna kuasa dan secara berterusan mengabaikan perlembagaan.

"Malang sekali kerana tindakan mereka ini dibantu oleh MCA, MIC, Gerakan dan parti komponen BN lain yang terus membisu dan membuang tanggungjawab yang sepatutnya digalas.

"Kita perlu melawan usaha-usaha ini dengan menekankan 'Politik Berlandaskan Harapan dan Kebebasan' yang akan mengubah Minda Melayu daripada kebimbangan palsu tentang kehilangan identiti dan pembangunan ekonomi kepada daya positif yang akhirnya mencipta masyarakat yang penuh keyakinan dan tidak lagi terkongkong," kata beliau dalam kenyataannya.


------------------------

Polis serbu Gedung Kartun Zunar
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 24 Sept: Polis menyerbu pejabat kartunis Zunar iaitu Gedung Kartun di Brickfield dipercayai ada kaitan dengan keluaran karya terbaru mereka Cartoon O-Phobia.

Perkara itu dimaklumkan Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee SM Anwar Ulhaque yang kini duitahan di balai polis Brickfield.

Beliau juga memaklumkan akan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya.

"Saya sekarang sedang ditahan di balai Brickfeild untuk soal siasat dan akan dibawa ke IPD PJ," katanya melalui sistem khidmat pesanan ringkas SMS sebentar tadi.

Menurutnya pejabatnya yang juga menempatkan Gedung Kartun diserbu oleh sepuluh anggota polis yang diketuai oleh ASP Ari Krishna daripada balai polis Brickfields.

Peguam Latheefa Koya juga difahamkan sudah berada di sana.

Selain digeledah, web Malaysiakini melaporkan sebanyak 70 naskah buku terbaru tersebut juga dirampas.

Menurutnya lagi program pelancaran buku Cartoon O-Phobia malam ini di Dewan Perhimpunan Cina-Selangor (KLSCAH) tetap diteruskan dan akan dirasmikan oleh bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Cartoon-O-Phobia mengandungi 100 muka surat dan semua lukisan di dalamnya adalah berwarna penuh dengan memuatkan isi yang lebih pedas dan tajam berbanding buku-buku sebelumnya.

Buku ini dijual dengan harga pasaran RM25 dan juga boleh dibeli secara online di web tersebut.

Menurutnya, idea untuk menghasilkan Cartoon-O-Phobia diilhamkan apabila Kementerian Dalam Negeri mengharamkan buku-buku kartunnya iaitu 1 Funny Malaysia, Perak Darul Kartun dan Isu Dalam Kartun.

Secara peribadi jelasnya, buku ini adalah lebih pedas, tajam dan padat berbanding dengan buku-buku beliau.

------------------------

Cek RM4b: Dalang, motif pemberian makin terdedah

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 24 Sept: Dalam keadaan kerajaan PAS Kelantan diasak dengan isu cek RM4 bilion, wajah dan motif sebebanr syarikat I'Da World Group Sdn Bhd dan hubungannya dengan Umno semakin jelas terdedah.

Keratan akhbar Utusan Borneo dengan tajuk "I'Da World Group menjayakan 1Malaysia" Khamis, 8 April 2010 cukup membuktikan siapa mereka dan dalang di belakang mereka.

Dalam satu majlis di Kota Kinabalu, keakraban syarikat itu dengan Umno terserlah apabila syarikat tersebut diberi projek dalam usaha membantu Sabah dengan dakwaan menjayakan 1Malaysia gagasan Datuk Seri Najib Razak.

Ekoran penyerahan replika cek RM4 bilion baru-baru ini yang didakwa untuk PAS negeri itu, media milik Umno dan pemimpin parti itu melakukan serangan bertubi-tubi terhadap kepimpinan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Tidak cukup dengan pelbagai tohmahan jahat terhadap kerajaan negeri, mereka turut menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) menyiasat.

Di pihak kerajaan negeri dan masyarakat Kelantan pula, timbul persoalan apa sebenarnya motif di sebalik gimik penyerahan replika cek tersebut.

Lebih menimbulkan tanda tanya, ianya dilakukan tanpa kehadiran mana-mana pemimpin PAS negeri itu mahupun Exco kerajaan negeri sendiri.

Badan Perhubungan PAS Kelantan juga tidak dijemput sedangkan mereka mendakwa cek RM4 bilion tersebut untuk PAS Kelantan bagi membantu melaksanakan prasarana di beberapa jajahan di negeri ini.

Replika cek tersebut sebelum ini diserahkan kepada adinda Menteri Besar Kelantan, Nik Din Nik Mat dalam satu majlis makan malam di sebuah hotel di sini.

Nik Din bagaimanapun tampil menjelaskan beliau ke majlis itu atas kapasiti peribadi dan menafikan beliau mewakili mana-mana pihak.

Dalam pada itu Tuan Guru Nik Aziz juga mengumumkan bahawa kerajan negeri akan menyenaraihitamkan syarikat tersebut yang didakwa mempunyai niat tertentu terhadap negeri itu.

Menurutnya lagi, Syarikat I’DA World Group Sdn Bhd (l’DA World) tidak mempunyai sebarang projek di negeri ini dan kerajaan negeri juga tidak mempunyai sebarang hubungan dengannya.

Dalam pada itu, beberapa blog turut mendedahkan siapakah sebenarnya Pengerusi Eksekutif I'Da World Group, Abdul Rahim Abdul Wahab.

Beberapa keping gambar didedahkan menunjukkan Abdul Wahab dalam majlis perlancanran Misi Perdana de Everest - Tibet 2011 yang berlangsung di Dewan Felda, Jalan Gurney yang dilancarkan Perdana Menteri, Najib Razak pada 25 April lalu.

Pendedahan-pendahan tersebut dijangka mampu merungkai dan menjawab segala persoalan berhubung niat sebenar dan dalang di sebalik pemberian replika cek tersebut.

(Berita - berita ini diambil dari Harakah Daily online, pada pagi ini)





No comments: