Wednesday, September 22, 2010

BERITA


Kertas siasatan ke Peguam Negara


Hishammuddin Tun Hussien bercakap pada sidang media berhubung siasatan kes bunuh Sosilawati dan tiga yang lain selepas merasmikan pusat media di Bukit Aman, Kuala Lumpur semalam. Turut sama, Abu Seman Yusop (kanan), Lee Chee Leong (kiri) dan Ismail Omar (dua kiri) serta pegawai-pegawai kanan polis.


KUALA LUMPUR 21 Sept. – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien mengesahkan kertas siasatan awal berhubung kes pembunuhan tragis jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain telah diserahkan kepada Peguam Negara hari ini.

Menurutnya, pihak polis telah menyerahkan kertas siasatan itu ke Pejabat AG di Putrajaya.

Difahamkan, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah hadir ke Pejabat Peguam Negara di Putrajaya tengah hari ini sambil membawa beg bimbit berwarna hitam.

Beliau berkata, pihak polis akan mengadakan perbincangan bersama pihak AG bagi meneliti dan menilai apa yang perlu dilaksanakan berhubung kes terbabit.

Bagaimanapun, katanya, laporan lengkap (termasuk keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) akan hanya dapat diketahui dalam tempoh dua minggu.

“Oleh itu, saya harap dalam tempoh dua minggu ini (pihak media dan masyarakat) jangan mencetuskan apa-apa spekulasi atau berita yang tidak benar yang boleh mengganggu proses di mahkamah.

“Saya turut berbangga kerana polis telah jalankan tugas dengan cukup baik,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran Pusat Media dan Facebook PDRM di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.

Sosilawati bersama pemandu peribadinya, Kamaruddin Shamsuddin, 44; pegawai Bank CIMB, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32, dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting, Selangor untuk urusan pembelian tanah.

Berikutan kehilangan usahawan wanita itu, polis pada 9 dan 10 September lalu, menahan lapan suspek termasuk seorang peguam yang menggunakan gelaran Datuk bagi membantu siasatan kes itu.

Pada 13 September lalu, polis mengesahkan empat daripada lapan suspek mengaku memukul keempat-empat mangsa sehingga mati, membakar mayat mereka sebelum abu mangsa dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong di Banting, Selangor.

Jumaat lalu, polis memaklumkan siasatan berhubung kes pembunuhan Sosilawati dan tiga yang lain kini di peringkat terakhir dan dijangka selesai minggu ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin berkata, pihaknya telah memperoleh bukti yang cukup berdasarkan pengakuan suspek-suspek serta bahan bukti yang ditemui di lokasi kejadian untuk diserahkan kepada AG.

(Berita ini diambil dari Utusan Malaysia online pada hari ini)

No comments: