Saturday, September 25, 2010

BERITA


Malaysia atasi negara maju

KOTA MARUDU 24 Sept. - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, asas yang kukuh telah berjaya meletakkan Malaysia sebagai antara negara yang paling kompetitif di dunia dari segi keselamatan siber.

Katanya, berdasarkan data Institut Pembangunan Pengurusan yang berpangkalan di Switzerland, Malaysia berada pada kedudukan ke-19 dari segi keselamatan siber mengatasi negara maju lain seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Korea, India dan China.

Beliau berkata, di Asia Tenggara, Malaysia berada pada kedudukan kedua, manakala keempat di benua Asia.

Lebih memberangsangkan lagi, ujarnya, Malaysia secara amnya masih mempunyai kedudukan kompetitif dari segi kos jika dibandingkan dengan negara maju lain yang terlibat dalam pembangunan industri keselamatan siber itu.

''Adalah jelas asas yang telah kita bina dan pencapaian yang kita kecapi menyediakan ramuan bagi membangunkan industri keselamatan siber yang berpotensi besar untuk menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

''Inisiatif-inisiatif keselamatan siber memenuhi ciri-ciri sektor yang boleh menjadi tumpuan di bawah Model Baru Ekonomi (MBE)," katanya ketika melancarkan Program Kesejahteraan Siber di Sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tandek di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili dan Timbalannya, Fadilah Yusof.

Muhyiddin berkata, industri keselamatan siber tempatan mempunyai potensi besar untuk berkembang dengan pertumbuhan yang melangkaui purata pertumbuhan rantau Asia Pasifik.

Katanya, berdasarkan data Frost & Sullivan, pasaran keselamatan rangkaian Malaysia dijangka tumbuh sebanyak 19 peratus setahun dan mencecah RM856 juta pada tahun 2015.

Mengulas mengenai program hari ini, Muhyiddin berharap inisiatif itu akan dapat membantu dan membimbing guru serta murid sekolah mengenal pasti ancaman siber dan menggunakan Internet secara berhemah.

Dengan ini, katanya, program pembestarian yang menyasarkan 10,000 sekolah dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Sementara itu, Ongkili dalam ucapannya berkata, jumlah gangguan siber yang dilaporkan ke Pusat Bantuan Cyber999 meningkat sebanyak 92 peratus kepada 4,390 kes sepanjang lapan bulan pertama tahun ini berbanding 2,289 kes bagi tempoh yang sama tahun lalu.

Beliau menjelaskan, gangguan itu melibatkan kes penipuan, cubaan pencerobohan, pencerobohan, kod berbahaya, spam dan gangguan perkhidmatan.

''Jumlah kes melibatkan bukti data digital yang dikendalikan oleh Jabatan Forensik Digital Cybersecurity Malaysia turut meningkat sebanyak 58.17 peratus kepada 329 kes berbanding 208 kes pada tempoh yang sama," katanya.

(Berita ini diambil dari Utusan Malaysia online, pada hari ini)

No comments: