Monday, September 20, 2010

BERITA

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 19 Sept: PAS menganggap ucapan Datuk Seri Najib Tun Razak di Pekan supaya pemimpin perlu merasai derita rakyat, hanya retorik sahaja kerana ia menyimpang daripada tindakan.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata, realiti yang berlaku pada hari ini pemimpin negara yang memerintah 57 tahun setelah merdeka bukan memikirkan supaya rakyat miskin terbela dan kualiti hidup ditingkatkan.

Bahkan, katanya kemiskinan dan penderitaan rakyat ini telah menjadi umpan untuk memancing undi setiap kali pilihanraya.

“Nampaknya apabila selepas rakyat Malaysia mengajar pemimpin Barisan Nasional dalam pilihanraya 2008, baru mereka tahu tanggungjawab pemimpin mesti menyelami penderitaan rakyat,” ujarnya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Sebelum ini, katanya mereka tidak pernah menyebut hal itu kerana mereka anggap apa sahaja mereka buat rakyat tetap undi mereka.

Semalam, katanya Datuk Seri Khir Toyo, bekas Menteri Besar Selangor juga bercakap lebih kurang bahasa yang sama.

“Beliau mengingatkan kepada kerajaan supaya mengambil tahu penderitaan rakyat. Bimbang rakyat sudah merungut kos hidup semakin tinggi, beliau pun terasa dengan kenaikan harga beras RM18 ke RM25 sekampit,” katanya lagi.

Sedangkan, kata Idris PAS bersama dengan Pakatan Rakyat daripada awal lagi sudah memikirkan bagaimana untuk melaksanakan tanggungjawab ini.

Ini, katanya kerana PAS menyedari bahawa menjadi pemimpin bukan untuk bermegah, tetapi satu tanggungjawab yang akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT.

Buktinya, ujar beliau PAS dan Pakatan Rakyat di Kelantan begitu prihatin dengan penderitaan rakyat telah melaksanakan program kifalah untuk warga emas yang meninggal dunia.

Selain itu, tambahnya program ladang rakyat untuk diberikan deviden kepada mereka yang susah, begitu juga di Kedah dan Pulau Pinang melaksanakan program yang mengambil kira penderitaan rakyat.

Selangor, ujarnya negeri yang kaya dengan hasil ekonominya yang melimpah ruah telah memberi air percuma kepada semua rakyat dan merakyatkan limpahan ekonomi kepada mereka yang susah.

Menurutnya, program-program itu yang tidak pernah terfikir oleh pemimpin BN walaupun selepas negara mencapai kemerdekaan selama 53 tahun.

“Pada hal kerajaan PAS dan Pakatan Rakyat yang mempunyai sumber kewangan yang terhad, tetapi mampu menyelami derita rakyat.

“Sepatutnya pemimpin BN sudah boleh menyelami dan menyelesaikan masalah rakyat kalau mereka mahu sedangkan banyak program yang boleh mengangkat taraf hidup rakyat, telah dikhianati,” ujarnya lgi. (Harakah Daily).

No comments: