Saturday, September 18, 2010

BERITA

AS buktikan keadilan Islam untuk semua
Khairul Azlam Mohamad

KEMAMAN, 17 Sept: Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Harun Taib melahirkan rasa gembira kerana perjuangan parti itu mula diterima oleh semua pihak termasuk di kalangan bukan Islam.

Ini kerana, katanya PAS berjaya membuktikan kepada rakyat di negara ini bahawa keadilan Islam untuk semua tanpa mengira bangsa, agama dan keturunan.

“Sekarang ini, PAS telah mula melangkah selangkah ke depan. Di mana perjuangannya (Islam) diterima bukan sahaja kepada orang-orang Islam tetapi juga di kalangan bukan Islam.

“Islam memberi keadilan kepada semua, tidak kira bangsa Melayu, India, Cina dan sebagainya. Sama ada seseorang itu Islam atau tidak yang pasti Islam tetap akan memberi keadilan,” jelasnya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Dewan Undangan Negeri (Dun) Chukai di perkarangan Pejabat PAS Dun berkenaan, Jalan Air Putih, di sini hari ini.

Justeru itu, beliau mahukan agar semua rakyat di negara ini bersama-sama dengan PAS serta menyokong perjuangan yang dibawanya.

Katanya, keadilan Islam yang dibawa oleh PAS tidak memihak hanya kepada satu bangsa sahaja tetapi untuk semua kaum di Malaysia.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Terengganu menambah, parti itu membuka ruang bercakap, berbincang serta berunding dengan sesiapa sahaja tanpa menggadai dasar dan prinsip perjuangan Islamnya.

Sempena majlis tersebut, beliau merasmikan pejabat baru Majlis Tindakan Dun (MTD) Chukai serta Pusat Khidmat Masyarakat di Tingkat 1, Taman Mohd Noor, Batu 1, Jalan Air Putih.

Hadir sama ialah Pengarah MTD Chukai, Hanafiah Mat, Naib Yang Dipertua PAS Kemaman, Ustaz Hazri Jusoh, Ketua Muslimat dan Pemuda PAS kawasan, Rohasni Husin dan Megat Suhaimi Megat Idrus.

Hampir 5,000 masyarakat setempat termasuk kaum Tionghua hadir ke majlis rumah terbuka itu yang bermula jam 11.00 pagi hingga 4.00 petang.

(Berita ini diambil dari Harakah Daily pada pagi ini)

No comments: