Tuesday, September 28, 2010

BERITA


4 anggota PGA maut




SANDAKAN 27 Sept. – Empat anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) maut manakala, tiga lagi parah selepas trak polis yang mereka naiki bertembung dengan sebuah treler di Batu 19, Jalan Labuk, di sini awal pagi ini.

Dalam kejadian pukul 4.20 pagi, trak yang membawa tujuh anggota PGA itu dalam perjalanan secara konvoi bersama dua lagi kenderaan ke Kem Batalion Ke-15 PGA, di Bandar Karamunting, dekat sini.

Kemalangan ngeri yang turut mengakibatkan seorang anggota PGA hancur kedua-dua kakinya itu, difahamkan berlaku selepas trak berkenaan gagal memotong sebuah kenderaan lain di hadapannya.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Rosli Mohd. Isa berkata, keempat-empat mangsa terbabit meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian badan dan kepala.

Katanya, mangsa yang terbunuh ialah pemandu, Lans Koperal Sapieh Jalhani, 32; Sarjan Hashamdi Abdullah, 52; Lans Koperal Augustine Lee, 31, dan Lans Koperal Sylvester Assin, 36.

“Tiga lagi yang cedera parah ialah Lans Koperal Dixson Mamat, 28; Lans Koperal Mohd. Asri Sabani, 39, dan Lans Koperal Francis Joseph, 37.

“Ketiga-tiga mangsa sedang menerima rawatan di Hospital Duchess of Kent termasuk Francis yang masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU),” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurutnya, kesemua mayat mangsa juga telah dihantar ke hospital sama untuk tujuan dibedah siasat.

Beliau memberitahu, Sapieh berasal dari Semporna, Sabah; Hashamdi dan Sylvester dari Tambunan, Sabah manakala Augustine (Sarawak).

Rosli berkata, polis masih menyiasat punca kejadian dan telah merekodkan keterangan daripada pemandu treler berkenaan yang terselamat.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, Mohd Razali Awang Ahmad berkata, bomba terpaksa mengambil masa kira-kira sejam untuk mengeluarkan kesemua mangsa.

“Keadaan trak yang remuk menyebabkan proses mengeluarkan mangsa tersepit memakan masa yang agak lama,” ujarnya.

(Berita ini diambil dari Utusan online, pada hari ini)

No comments: