Wednesday, September 22, 2010

BERITA

Ekonomi domestik diperkukuh
Oleh Azli Ayob

NAJIB  melihat reka bentuk Greater  Kuala Lumpur  ketika menghadiri hari terbuka NKEA di Pusat Dagangan Dunia Putra, semalam.

NAJIB melihat reka bentuk Greater Kuala Lumpur ketika menghadiri hari terbuka NKEA di Pusat Dagangan Dunia Putra, semalam.


Langkah bersesuaian elak kesan negatif kelembapan negara maju

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memperkenalkan beberapa langkah bersesuaian bagi mengukuhkan ekonomi domestik dalam pembentangan Bajet 2011 untuk mengelak ekonomi Malaysia menerima kesan negatif daripada kelembapan ekonomi yang berlaku di negara maju.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata langkah mengukuhkan ekonomi domestik perlu kerana sebagai sebuah ekonomi terbuka, Malaysia terdedah kepada faktor luaran yang boleh menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara. Ekonomi negara masih berada dalam kedudukan yang kukuh. Namun, sebagai sebuah ekonomi terbuka, tinjauan ekonomi yang lebih lemah di kalangan negara maju sedikit sebanyak akan memberi kesan kepada prospek pertumbuhan ekonomi negara. Justeru, langkah bersesuaian akan diambil bagi meningkatkan permintaan dan perbelanjaan domestik, katanya.


Beliau berkata demikian selepas mendengar taklimat mengenai keadaan ekonomi negara yang disampaikan Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz di sini, semalam.


Hadir sama, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.


Najib berkata, berikutan jangkaan pertumbuhan ekonomi yang lebih perlahan di kalangan negara maju itu, Malaysia dijangka mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang lebih sederhana tahun ini tetapi ia dijangka masih mampu melebihi enam peratus.

Unjuran pertumbuhan ekonomi untuk keseluruhan tahun ini akan diumumkan pada pembentangan Bajet di Parlimen pada 15 Oktober ini, katanya.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, langkah pengukuhan ekonomi yang dilaksanakan kerajaan membolehkan Malaysia terus mencatatkan pertumbuhan yang kukuh di sebalik krisis ekonomi global, baru-baru ini.


Sistem perbankan negara tidak terjejas ketika krisis ekonomi global bagi membolehkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dari segenap sektor ekonomi terus mendapat pembiayaan manakala sistem kewangan Islam terus berkembang kukuh, katanya.


Sementara itu, Datuk Seri Najib meluangkan masa kira-kira 30 minit melawat 12 gerai pameran Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) sempena hari terbuka Program Transformasi Ekonomi (ETP) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, semalam.


Hari terbuka ETP yang berlangsung semalam itu mempamerkan hasil makmal NKEA bagi mengenal pasti bidang kerja dalam usaha untuk mengembangkan agenda ekonomi kerajaan merangkumi Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10), Model Baru Ekonomi dan prinsip gagasan 1Malaysia.


ETP menyasarkan pendapatan negara kasar (GNI) perkapita daripada kira-kira AS$6,700 (RM23,700) pada 2009 kepada lebih AS$15,000 RM48,000) pada 2020.

(Berita ini diambi dari Berita Harian online pada hari ini)

No comments: