Tuesday, September 21, 2010

BERITA



Najib Ketuai Delegasi Malaysia Ke Perhimpunan PBB Khamis Ini

KUALA LUMPUR, 21 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengetuai delegasi Malaysia ke sesi ke-65 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York selama enam hari bermula Khamis ini.

Menurut Wisma Putra dalam satu kenyataan di sini Selasa, Najib akan diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman serta para pegawai Kementerian Luar Negeri dan Jabatan Perdana Menteri.

"Malaysia yang telah mengganggotai PBB sejak September 1957 sejurus selepas mencapai kemerdekaan, menganggap PBB sebagai satu wadah utama untuk mempamerkan komitmen dan memperkukuhkan kerjasama dengan masyarakat dunia dalam usaha untuk mengekalkan keamanan dan keselamatan dunia," menurut kenyataan itu.

Sesi ke-65 Perhimpunan Agung PBB, yang bertemakan "Reaffirming the Central Role of The United Nations in Global Governance" (Memperkukuhkan Peranan Utama Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dalam Tadbir Urus Global) bermula pada 15 Sept lepas dan Najib dijadualkan menyampaikan ucaptama beliau di sesi Debat Umum Perhimpunan Agung pada 27 Sept ini.

Selain itu, Perdana Menteri turut dijadual menghadiri Mesyuarat Kedua Pemimpin-pemimpin Asean-Amerika Syarikat pada Jumaat di New York.

Mesyuarat akan dipengerusikan bersama oleh Presiden Vietnam Nguyen Minh Triet, yang juga merupakan Pengerusi Asean dan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama.

Menurut Wisma Putra, mesyuarat berkenaan merupakan satu platform bagi para pemimpin Asean dan Obama untuk membincangkan hala tuju masa depan hubungan Asean-Amerika Syarikat serta bertukar-tukar pendapat mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.

Najib dan Anifah juga akan menghadiri mesyuarat dua hala dengan rakan-rakan sejawatan mereka sewaktu lawatan kerja berkenaan.

Perdana Menteri turut dijadual menganjurkan majlis Rumah Terbuka Hari Raya bagi penuntut dan komuniti Malaysia di New York pada Sabtu ini.

(Berita ini diambil dari BERNAMA online)

No comments: