Friday, September 10, 2010

KHUTBAH JUMAAT

HUTANG RAMADHAN

(10 SEPTEMBER 2010 / 1 SHAWAL 1431H)

Saya berpesan kepada tuan-tuan dan diri saya sendiri marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah SWT dengan memperkukuhkan pengabadian diri kita kepada-Nya dengan melaksanakan segala perintah dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan pada hari yang penuh kebahagian ini menjadikan kita insan yang berjaya di dunia dan akhirat. Tajuk mimbar Jumaat pada hari ini ialah “HUTANG RAMADHAN ”.
Ramadhan baru sahaja berlalu dan meninggalkan kita pelbagai pengajaran. Perayaan Idulfitri yang kita sambut pada ketika ini dijangka berlarutan sepanjang bulan Syawal sebagai tanda kita berjaya menunaikan amanah melaksanakan latihan kerohanian selama sebulan. Ramadhan telah melatih kita membentuk pengurusan hidup yang terbaik, kekuatan takwa yang mantap, mewujudkan manusia yang baru, bersih dari dosa. Hanya orang-orang yang beramal soleh dapat menghasilkan ketakwaan, merasai nikmat puasa dan dapat mengalami perubahan. Mimbar amat yakin jika kita mampu meneruskan kesinambungan cahaya keberkatan Ramadhan dalam tempoh sebelas bulan yang akan datang menandakan kita telah bertanggungjawab melahirkan insan yang bertakwa.
Berdasarkan kejayaan ini maka setiap muslim berhak merayakan hari Idulfitri. Kemeriahannya dapat dirasakan dengan rumah-rumah kita dibersihkan, hiasan dalaman dan luaran rumah juga penuh keceriaan, sanak saudara, sahabat handai berkumpul beramai-ramai menikmati juadah makanan yang disediakan. Kemeriahan menyambut Idulfitri adakalanya tidak dapat dipisahkan dengan hiburan sebagai tanda keseronokan. Pada dasarnya Islam tidak melarang kita berhibur dan bersukaria semasa sambutan hari raya namun janganlah ia berlebih-lebihan dan melampau batas keagamaan serta ada unsur-unsur kemaksiatan.
Nabi Muhammad SAW mengharuskan beberapa jenis hiburan seperti nyanyian yang tidak memberahikan, syair, nasyid, dan jenis-jenis permainan ringan. Bagaimana pun dalam suasana kemeriahan dan ceria ini, mimbar mengingatkan bahawa Islam mengajar kita melakukan sesuatu perkara bersederhana. Dalam keghairahan meraikan Idulfitri, janganlah sampai kita melakukan pembaziran. Berbelanjalah dengan mengikut kemampuan, jangan sampai berhutang dan bergolak bergadai sehingga ada yang sanggup mengeluarkan wang simpanan atau tabungan semata-mata memenuhi kehendak nafsu berbelanja. Raikan Idulfitri dengan berpada-pada dan tidak membazir kerana ia dibenci oleh Allah SWT. Firman Allah SWT di dalam surah al-Israk ayat 27:
Maksudnya: Sesungguhnya orang yang boros itu adalah saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya”.
Sebaik sahaja kita selesai berpuasa Ramadhan dan meraikan Idulfitri kadangkala timbul kesedaran yang kuat dikalangan muslimin bagaimana meneruskan sinaran cahaya Ramadhan ini. Ada yang ingin mendapat maklumat lanjut tentang puasa enam, puasa sunat yang lain, puasa nazar, fidyah puasa dan sebagainya.
Ternyata kepada kita Islam adalah agama rahmat yang sentiasa menggalakan umatnya berdamping rapat dengan Allah SWT. Islam menyediakan pilihan-pilihan amalan puasa dalam pelbagai jenis. Sebagai langkah tambah nilai untuk mengukuhkan dan menguatkan cahaya Ramadhan Allah SWT telah memperuntukkan amalan puasa enam dalam bulan Syawal. Puasa enam ini hukumnya sunat. Abu Ayub RA meriwayatkan sebuah hadith sahih, sabda Rasulullah SAW:
Barangsiapa berpuasa Ramadhan, kemudian ia mengiringinya dengan puasa enam hari dari bulan Shawal, adalah puasanya itu seperti puasa sepanjang masa”.(Riwayat Muslim)
Berdasarkan hadith ini melaksanakan puasa wajib Ramadhan dan disambung pula dengan puasa enam hari dalam bulan Syawal, maka ganjaran pahalanya seolah-olah berpuasa sepanjang tahun. Terdapat beberapa persoalan tentang puasa enam iaitu bilakah masa sesuai untuk melaksanakaan puasa enam. Para ulama telah menentukan puasa enam ini boleh dilaksanakan dalam dua bentuk, Pertama: Menunaikan puasa terus menerus selama enam hari mulai dari 2 Syawal dan Kedua : Boleh dikerjakan berselang seli mengikut keupayaan dalam bulan Syawal. Bagaimanapun puasa enam ini lebih afdhal dilaksanakan enam hari berturut-turut mulai 2 Syawal selepas hari raya yang pertama.
Antara fadhilat puasa enam ini ialah Pertama: Memberi pahala sepanjang masa. Kedua: Sebagai langkah tambahan menampung kelemahan puasa wajib Ramadhan. Ketiga: Mengulangi puasa sesudah Ramadhan sebagai tanda keyakinan puasa kita diterima Allah SWT. Keempat: Sebagai tanda kesyukuran kepada Allah SWT dan Kelima: Sebagai tanda kekal mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Terdapat beberapa persoalan dari segi pelaksanaannya, adakah dibolehkan jika seseorang itu berniat puasa qadha tetapi pada masa yang sama berniat serentak puasa enam?. Menurut Syeikh al-Marhum Atiyyah Saqar, salah seorang ulama terkenal al- Azhar didalam kitab himpunan fatwanya menyatakan:
hukumnya dibolehkan seseorang berpuasa enam dan niat serentak untuk qadha puasanya. Niat ini terhasillah baginya pahala qadha dan pahala puasa 6 Syawal. Bagaimana pun yang afdhalnya ialah dipisahkan antara puasa qadha dan puasa 6 Syawal kerana puasa qadha hukumnya wajib dan puasa Syawal itu hukumnya sunat, maka adalah lebih baik tidak disatukan niat kerana antara yang sunat dan wajib itu tidak boleh disatukan.
Selain puasa enam para jemaah dan umat Islam sekalian boleh juga mengamalkan puasa-puasa sunat hari isnin dan khamis, Puasa hari Arafah musim Haji, Puasa hari Asyura 10 Muharram dan beberapa jenis puasa sunat yang lain. Mimbar ingin mengingatkan bahawa puasa-puasa sunat ini diamalkan adalah untuk kita mendekatkan diri kepada Allah SWT. Oleh itu adab-adab puasa sunat hendaklah dijaga sepertimana kita menjaga adab puasa wajib Ramadhan. Puasa-puasa sunat juga memberi fadhilat yang besar kepada kaum Muslimin. Abu Said al-Khudri meriwayatkan Sabda Rasulullah SAW:
Sesiapa yang berpuasa sehari pada jalan Allah nescaya
Allah akan menjauhkan mukanya dari api neraka sejauh
perjalanan 70 tahun” (Riwayat:al- Bukhari).
Dalam keghairahan kita melaksanakan puasa sunat kita perlu juga membayar hutang-hutang puasa yang kita tinggalkan atau puasa nazar yang tidak dilaksanakan. Jika puasa Ramadhan yang lalu, terdapat beberapa hari ditinggalkan maka kita hendaklah menqadhakan puasa mengikut jumlah hari yang ditinggalkan. Bagi mereka yang tidak mampu menqadhakan kerana tua maka dia hendaklah membayar fidyah. Sekiranya dia masih ada tunggakkan hutang Ramadhan yang lampau, dia hendaklah juga membayar fidyah mengikut jumlah hari disamping melaksanakan qadha puasa yang ditinggalkan pada tahun semasa. Mimbar juga mengingatkan bahawa menjadi tanggungjawab anak-anak untuk membayar segala hutang puasa dengan membayar fidyah ibu bapa yang telah meninggal dunia, mudah-mudahan dengan cara ini mereka akan terlepas dari seksaan dan dirahmati Allah SWT di akhirat kelak.
Bagi mereka yang merosakkan puasanya dengan melakukan persetubuhan dengan sengaja di siang hari pada bulan Ramadhan, maka hukum baginya wajib membayar kafarah iaitu berpuasa dua bulan berturut-turut. Jika tidak mampu hendaklah memberi makan kepada 60 orang fakir miskin.
Satu lagi yang menjadi isu selepas Ramadhan ialah puasa Nazar. Puasa nazar wajib dilaksanakan jika kita bernazar kerana atas pencapaian sesuatu. Jika kita gagal melaksanakan puasa nazar, kita diwajibkan membayar denda atau kafarat iaitu memberi makan 10 orang miskin atau memberi pakaian yang sewajarnya kepada orang miskin.
Sebagai kesimpulan khutbah minggu ini mimbar menyeru marilah kita mempertahankan cahaya Ramadhan dengan meneruskan amalan puasa-puasa sunat kerana telah diakui oleh Allah SWT dan pakar perubatan bahawa puasa adalah amalan mujarab menjaga kesejahteraan manusia serta meningkatkan ketakwaan. Sebagai peringatan marilah kita merenungi firman Allah dalam surah al-A’raaf ayat 26:
Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian takwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (kurnia) Allah supaya mereka beringat..
(Khutbah Jumaat ini disediakan oleh JAKIM)

No comments: