Friday, September 10, 2010

BERITA





JANGAN KERUHKAN HUBUNGAN MALAYSIA - INDONESIA

Harakahdaily


KUALA LUMPUR, 9 Sept: PAS menyeru semua pihak menghentikan segala kenyataan yang boleh mengeruhkan lagi hubungan Malaysia-Indonesia yang agak tegang buat masa ini.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataan berkata, isu kedua-dua negara ini perlu diselesaikan atas semangat ukhwah sempena Aidil Fitri, bukan dengan keegoan dan emosi semata-mata.

Tindakan yang tidak cermat ujarnya, bakal mengundang campurtangan pihak ketiga dan akan lebih mengeruhkan lagi keadaan.

Kenyataan penuh beliau seperti berikut:

Parti Islam SeMalaysia (PAS) memandang serius perkembangan isu sempadan dan tindakan agresif serta beremosi yang dilakukan oleh pihak tertentu dalam isu hubungan dua hala Malaysia-Indonesia akhir-akhir ini.

PAS menyeru semua pihak agar dapat melihat hubungan ini dalam konteks hubungan erat selama ratusan tahun yang banyak menyumbang kepada keamanan serantau. Sikap saling hormat menghormati, dan bertindak dengan jiwa yang besar serta berlapang dada adalah antara teras yang boleh memperkukuhkan ikatan persaudaraan Islam yang dibentuk oleh Al Quran dan As Sunnah.

Sehubungan dengan itu semua pihak wajar menghentikan sebarang kenyataan dan tindakan yang boleh mengeruhkan suasana dan mengguris hati jiran serantau ini, yang bukan sahaja wujud dalam satu rumpun tetapi mempunyai hubungan kekeluargaan dan persaudaraan sesama Islam. Tindakan beremosi sebenarnya tidak menyumbang kepada suasana yang lebih aman dan tenteram dalam hubungan dua hala kedua-dua negara ini.

Kami menyeru agar mana-mana pihak yang mungkin telah terkhilaf dan silap dalam tindakan mereka, walaupun dilakukan oleh kerajaan dan agensi penguatkuasaan Malaysia atau Indonesia, agar dapat berbincang dengan semangat ukhuwwah dan saling bermaafan dengan membuka lembaran baru di bulan Syawal yang mulia ini. Sikap ego dan berkeras tanpa bertempat akan hanya mengundang campurtangan pihak ketiga yang senantiasa menanti untuk mengambil kesempatan bagi melebarkan perselisihan pendapat saudara seagama ini. Apa yang sepatutnya kita sama-sama laksanakan ialah memanfaatkan hubungan ini untuk memperkasakan Islam di rantau Nusantara ini.

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden PAS



No comments: