KIBAT KEJI ULAMAK
“Barang siapa yang berjalan untuk menuntut ilmu,
maka Allah membimbingnya di jalan ke syurga
dan sesungguhnya ulama diminta ampun oleh mereka
di langit dan mereka di bumi, hingga ikan-ikan
di dalam lautan. Sesungguhnya ulama-ulama itu
pewaris para nabi.”
Al-Hadis dari Abi Dzarrin.
Alim ulama adalah menjadi penyambung para Nabi. Mereka memikul amanah untuk memancar dan menyebarkan ilmu pengetahuan kepada umat manusia. Selagi ada alim ulama selama itulah dunia ini seperti terang benderang, iaitu tidak tenggelam dalam kejahilan.
Setiap orang mukmin dan mukminat dituntut oleh Allah supaya menghormati alim ulama dan sesiapa yang menghina dan mencerca atau memusuhi alim ulama lambat laun akan menerima akibat dari perbuatannya itu di dunia, iaitu sebelum dia menerima balasan dosanya di akhirat kelak.
Kita pernah mendengar dari orang-orang yang bebal dan jahil mengeluarkan kata-kata kasar dan keji kepada alim ulama seperti “ulamak tahi kucing”, “ulamak tembolok”, “ulamak setan” dan perkataan-perkataan lain lagi. Sejak zaman kebangkitan Islam lagi, hingga masa kini sering kita mendapat tahu akan orang-orang yang telah menerima akibat dari perbuatan mereka mendurhaka kepada alim ulama atau mencerca atau menghina mereka.
Satu peristiwa yang menjadi bahan sejarah bangsa kita telah berlaku di Pulau Singapura dalam zaman kemegahan kerajaan Melayu dan peristiwa ini dikarang menjadi sebuah pantun :
Telur itik dari Sanggora,
Sayang pandan dilangkahi;
Darah titik di Singapura,
Badan terdampar di Langkawi.
Peristiwa ini satu tragedi yang mengakibatkan kehancuran kerajaan Melayu Temasik. Menurut kisah, seorang ulama datang ke Singapura untuk menjalankan dakwah syariat Islam di pulau itu, tetapi orang Melayu di bawah pengaruh kerajaan Singapura tidak sukakan alim ulama itu menjalankan dakwah, maka waktu ulama itu sedang solat dalam masjid, mereka menikamnya dari belakang.
Setelah melihat ulama itu jatuh ke lantai, orang-orang yang menikamnya itu pulang memberitahu pihak yang menyuruh mereka bahawa ulama itu sudah mati.
Mereka datang ke masjid untuk melihat mayat ulama itu, tetapi mereka dapati mayatnya tidak ada di situ dan yang tinggal hanya beberapa titik darahnya di atas sejadah tempat dia bersolat. Lama kemudian barulah pihak berkuasa Singapura mendapat tahu bahawa mayat ulama itu telah dijumpai di Pulau Langkawi, Kedah.
Menurut khabar-khabar yang dibawa orang, semenjak itu kedudukan kerajaan Melayu Singapura mulai lemah dan akhirnya pulau itu jatuh ke tangan penjajah Inggeris dan kini Singapura menjadi negara milik orang lain. Ini adalah akibat melawan ulama.
Satu peristiwa yang berlaku pada awak 1980-an adalah tragedi yang tidak boleh dilupakan oleh setiap orang yang mengetahui akan peristiwa itu. Peristiwa itu berlaku ke atas seorang kenamaan dan mempunyai kuasa eksekutif dan dia boleh bertindak mengikut kehendak dirinya sendiri. Ada seorang ulama terkenal mempunyai ribuan anak murid yang bekerja dalam jabatan kerajaan, bekerja sendiri dan ahli-ahli parti politik di seluruh tanahair.
Sesuai dengan kebolehannya, maka ulama ini dilantik oleh Majlis Agama Islam Negeri untuk menjadi ahli majlis itu.
Sebagai Majlis Agama Islam, ulama ini tidak mahu mendiamkan diri terhadap apa yang dilihat salah lebih-lebih lagi dia memengang konsep “menyeru orang berbuat baik dan menegah orang melakukan kemungkaran”.
Ulama ini bukan sahaja ahli sebuah parti politik bahkan dia menjadi orang penting dalam parti tersebut. Parti politik itu pula sebuah parti yang ditentang oleh orang yang mempunyai kuasa eksekutif tadi. Suatu hari Khamis, satu perjumpaan jawatankuasa majlis ulama diadakan.
Perjumpaan itu dengan kehendak orang yang mempunyai kuasa eksekutif dengan tujuan untuk membersihkan segala macam kekotoran dalam jawatankuasa itu. Majlis perjumpaan yang diadakan pada sebelah pagi itu, dihadiri oleh ulama tersebut. Dia hadir dengan tidak menyangka dirinya akan menerima kecaman dan kejian dari orang tersebut.
Ulama itu berpegang kepada ‘Qul haqqan walau kana murran” yang bermaksud berkata benar walaupun pahit.
Orang yang berkuasa eksekutif itu ketika berucap dalam perjumpaan itu, ia menunjukkan statusnya sebagai seorang yang berkuasa, lagaknya tidak mengembirakan bagi alim ulama yang warak dan percakapannya berisi sikap hatinya yang takbur. Antara lain kandungan ucapannya yang memakan masa lebih setengah jam itu, ialah mengecam, mengeji dan memerli ulama itu secara terang-terangan.
Oleh kerana yang hadir itu terdiri dari orang-orang yang berpelajaran agama Islam, maka mereka tidak bertepuk tangan mendengar ucapan orang yang berkuasa itu, sebaliknya mereka mengucapkan “istighfar” di dalam hati dan wajah mereka pura-pura senyum.
Ulama yang menjadi mangsa kecaman, kejian dan penghinaan itu tunduk dan hatinya berdoa kepada Allah supaya memberi petunjuk kepada orang-orang yang sesat dan menjadikan dia seorang yang sabar dan taqwa.
“Tidak ada Tuhan kecuali Allah yang Maha Agung, dan tidak daya serta tidak ada kekuatan, kecuali dengan Allah.”
Kalimah-kalimah inilah yang diucapkan dalam hati dengan mulutnya [berbisik] oleh ulamak ini setiap kali perkataan caci, keji dan perli dilemparkan oleh orang yang mempunyai kuasa eksekutif itu.
Majlis perjumpaan itu berakhir sebelah tengahari.
Semua yang hadir pulang. Esok paginya [hari Jumaat] orang yang mempunyai kuasa eksekutif itu berangkat sekali lagi ke tempat di adakan perjumpaan jawatankuasa Majlis Agama Islam itu dan waktunya juga sama. Kali ini dia datang untuk merasmikan mesyuarat agung tahunan sebuah sebuah persatuan orang alim.
Tiba giliran orang yang mempunyai kuasa eksekutif itu berucap, maka dia pun berdiri berucap dan dalam ucapannya diselit-selitkan dengan perkataan mengeji ulama semalam yang telah puas dikejinya.
Kekuatan tidak ada, kecuali kekuatan Allah, tiba-tiba orang yang mempunyai kuasa eksekutif itu jadi huyung hayang dan dia jatuh atas tempat dia berucap.
Dari situ dia dikejarkan ke hospital besar. Di sana dia didapati ‘stroke’ akibat urat saraf dan darahnya. Demikian menurut pendapat doktor pakar perubatan. Bagi mereka yang beriman kepada Allah, terutama alim ulama yang warak berpendapat, kejadian yang menimpa orang yang mempunyai kuasa eksekutif itu akibat dari dia mengeji ulama pagi semalam.
Masa buku ini disusun, ulama berkenaan sudah lama meninggal dunia, tetapi orang yang menerima balasan dari Allah Taala itu masih boleh hidup. Sungguhpun dia masih hidup, tetapi mulutnya tidak dapat bercakap dengan baik kerana lidah dan bibirnya tidak berfungsisepertidulu.
Judul:AKIBATDOSA
Terbitan:PUSTAKAMINDA,JLNTAR
Penulis : MOKHTAR PETAH
No comments:
Post a Comment