Monday, April 5, 2010

NENGENANG MASA SILAM

Mokhtar Petah

Pada 1954.
Aku telah berpindah dari rumah sewaktu, di simpang Permatang Bertam dan tinggal di tingkat satu sebuah rumah kedai buruk, di tepai jalan raya Kepala Batas –Bukit Mertajam. Rumah itu tiada bekalan elektrik. Aku hanya menggunakan pelita minyak tanah. Di situ aku telah tinggal bersama seorang bekas penuntut sebuah kolej Islam di Pakistan, iaitu Abdullah Pak dari Yan. Dia menjadi guru sementara, di sekolah anak yatim, di Mata Kuncing, Butterworth. Kemudian dia menyertai UMNO dan telah menduduki kerusi Majlis Kerja Kerajaan(exco) Negeri Kedah.
Rumah kedai itu di hadapan rumah Kadhi Haji Mansor dan tidak jauh dari sekolahku. Pada masa aku tinggal di rumah kedai itu aku telah berkenalan dengan ketua kumpulan Ghazal Parti, Kepala Batas, Ustaz Idrus Saidi. Kumpulan itu banyak mempopularkan lagu-lagu Arab dan lagu-lagu Melayu yang dinyanyikan mengikut irama lagu-lagu Arab.
Pada satu hari, Idrus Saidi telah memperkenalkan kepada aku seorang pemain boria Pulau Pinang. Aku tidak ingat nama penuhnya, tetapi nama glamornya, ’Din Tanjung’. Sejak perkenalan itu, telah lebih lima kali aku mengikuti kumpulan boria itu mengadakan persembahan dalam majlis-majlis yang telah diadakan di sekitar Pulau Pinang dan Seberang Perai.
POKOK BERAS
Din Tanjung sukakan minyak wangi. Dia sentiasa membawa minyak wangi dalam botol sebesar jari kelingking dalam saku seluarnya. Walaupun dia orang Melayu, tetapi dia tidak pernah menyebut padi. Setiap kali dia bercakap mengenai pokok padi, dia menyebut ’pokok beras’.
Bukan kerana Din Tanjung tidak pandai menyebut ’padi’, tetapi kerana sikap sebilangan kecil orang-orang Melayu Pulau Pinag pada masa itu telah terpengaruh dengan bahasa, mereka rasa bangga kalau mereka tidak pandai mengunakan bahasa Melayu dengan betul di samping ada sikap merendahkan orang-orang Seberang Perai yang terdiri dari petani-petani.
Sikap yang demikian terdapat di kalangan sebilangan orang-orang Melayu yang berpelajaran bahasa Inggeris, mereka rasa tidak berilmu dan tidak mulia kalau mereka tidak menggunakan kata-kata Inggers dalam percakapan mereka walaupun perkataan itu ada dalam bahasa Melayu.
UBI KEMILI
Dari Din Tanjung, aku telah mendapat tahu tentang ramainya gadis-gadis Melayu yang cantik, telah berkahwin dengan lelaki-lelaki India Muslim yang telah tua dan warna kulit mereka gelap. Pada masa itu bila orang Melayu ternampak pasangan suami isteri orang India dengan orang Melayu, mereka menyebut peribahasa ’’gagak dengan telur’.
Menurut Din Tanjung, kebanyakkan orang-orang Melayu di Tanjong – George Town-, terdiri dari orang-orang warga-warga kampung dan buruh kapal atau pelabuhan yang miskin. Ada di antara mereka telah membeli pakaian di kedai-kedai pakaian kepunyaan orang-orang India atau penjaja India yang datang menjual kain ke rumah mereka dengan cara ’hutang dan bayar ansur’. Apabila hutang itu telah banyak dan mereka telah tidak dapat membayarnya, maka jalan mudah bagi mereka, ialah menjodohkan anak gadis mereka dengan pemilik kedai atau penjaja pakaian itu.
Pada masa aku menuntut di Kepala Batas, aku mendapati kebanyakan dari petani-petani di sana dan kampung-kampung sekitarnya menanam ubi kemili. Ubi itu berkeadaan seperti kacang tanah dan kira-kira sebesar ibu jari kaki orang dewasa. Mereka makan ubi itu dengan merebusnya terlebih dahulu atau digulai dengan ikan keli, haruan, pepupu, sepat atau udang.
SULTAN KEDAH
Kadang-kadang aku bersama rakan-rakan telah pergi ke Permatang Bertam dan kampung-kampung sekitarnya untuk makan ubi kemili rebus di rumjah kawan- kawan.
Pada satu hari aku telah pergi ke Bumbung Lima, dekat Sungai Muda yang menjadi sempadan antara negeri Kedah dengan Seberang Perai (Pulau Pinang). Di sana aku telah mendapat cerita mengenai Sultan Kedah, Sultan Badli Shah ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah mempunyai kesaktian atau berdaulat.
Kisah itu telah diceritakan oleh Jurutera, Pak Harun, Permatang Bertam; Cikgu Ahmad bin Awang, guru Sekolah Melayu, Paya Keladi dan Ustaz Haji Ahmad Sore, Pajak Song.
Menurut mereka sebuah jambatan besi dan batu yang telah dibina merentangi Sungai Muda – menghubungkan negeri Kedah dengan Seberang Perai - , di Bumbung Lima, telah roboh setelah dipijak oleh Sultan Badli Shah.
RAJA MELAYU
Sejak zaman berzaman, cerita raja-raja Melayu mempunyai kesaktian seolah-olah telah menjadi satu rukun yang pasti kepada enam rukun iman dalam Islam. Aku telah melakukan kaji selidik atas keprcayaan demikian. Aku telah mendapati memang ada kesaktian di kalangan Raja-Raja Melayu, iaitu Raja Melayu yang benar-benar keturunan yang dikatakan ’anak gahara’, iaitu bapa dan ibunya keturunan Raja Memerintah.
Raja-Raja Melayu yang dilantik, dipilih atau didatangkan dari kalangan bukan keturunan Raja, atau bukan anak gahara, iaitu ibunya tidak dari keturunan Raja Pemerintah ataupun anak luar nikah, maka mereka tidak mempunyai kesaktian.
Aku telah diberitahu oleh tiga orang yang arif tentang adat istiadat Raja Melayu, iaitu Allahyarham Haji Nawawi Muhammad (Perak), Tengku Kasim bin Almarhum Sultan Badli Shah (Kedah), Raja Nik Razman dan Tengku Adlan bin Tengku Adil(Perak), bahawa kesaktian Raja-Raja Melayu adalah dari dua unsur utama, iaitu:
( 1 ) Mereka yang menerima dan mengguna pakai ilmu saka baka atau memuja jin atau syaitan, termasuk ilmu sihir seperti yang diamalkan oleh raja-raja orang beragama Hindu.
( 2 ) Mereka yang mengamalkan ayat-ayat Quran, zikir atau wirid kalimat-kalimat memuji kebesaran Allah dan bersahabat dengan Kerajaan Jin atau jin kerajaan, iaitu jin Islam dan wali Allah.
Menurut Raja Razman dan Tengku Adlan, Istana Iskandariyah, Bukit Chandan, Perak, mempunyai ’jin kerajaan’, iaitu Jin Islam telah menjadi sahabat kepada Almarhum Sultan Alang Iskandar Shah. Kemudian diikuti oleh Almarhum Sultan Abdul Aziz Shah, Sultan Yusuf Izzuddin Shah dan Sultan Idris Shah. Mereka telah dibantu oleh ulama khas atau guru sultan atau pun disebut ’mu’allim istana’.
Kesaktian Sultan Kedah, Almarhum Sultan Badli Shah (1943-1958) - Pemangku Raja semenjak tahun 1937 - , telah berlaku kira-kira seminggu setelah Baginda dinobatkan sebagai Sultan Kedah pada bulan Mei 1943.
Pada hari Al marhum Sultan Badli Shah merasmikan jambatan itu, seorang jurutera bangsa Inggeris, dalam ucapannya telah memberi jaminan yang jambatan baru itu tidak akan roboh, kerana telah dibina dengan sempurna. Kemudian Sultan Badli Shah telah melakukan istiadat merasmikan jambatan itu. Sebaik-baik sahaja Baginda memijak sebelah kakinya atas jambatan tersebut, dengan tidak semena-mena jambatan itu telah roboh dan senget di sebelah tempat Almarhum memijaknya.
Menurut cerita, kejadian yang mengejutkan itu, selain dari telah menggemparkan orang-orang yang hadir di situ, jurutera itu telah mendapat malu dan kemudian- dia telah meletak jawatannya dan pulang ke negaranya.
(Disaring dari manuskrip buku, Memoir, Patah Sayap Bertongkatkan Paruh, oleh: Mokhtar Petah).

No comments: