TERKENANG
Thursday, June 28, 2012
TERKENANG
PENJUAL UBAT
Pada tahun 1954.
Di pekan Rabu, Alor Setar, aku telah berjumpa dengan kawanku, Fuad. Dia menolong bapa saudaranya menjual ubat tradisional di sebuah gerai di sana. Aku mula berkenalan dengan Fuad pada masa dia menjual ubat di bandar Kuala Kangsar bersama Wak Malaya (berasal dari Teluk Anson) dan Mat Turki (Kuala Kangsar, bapa kepada Datuk Ezzat Emir usahawan Melayu di Selangor) dan Tabib Zakaria (Tanah Liat, Bukit Mertajam) di lembah tepi Sungai Perak, dalam Bandara Diraja Kuala Kangsar, pada tahun 1952.
Fuad telah mengajak aku ke rumah sewanya di belakang Pekan Rabu. Pada sebelah malamnya, pada ketika kami makan malam, kami telah bercakap-cakap mengenai menjual ubat. Fuad telah mengajak aku menjual ubat yang dibuat oleh bapa saudaranya, di pekan-pekan minggu dengan cara mengambil dalal. Setiap ubat yang laku kami akan mendapat 10% hingga 20%. Jika ubat yang kami jual itu banyak yang laku, maka banyaklah dalal untuk kami.
Kebanyakan ubat-ubat bapa saudara Fuad itu, ialah ubat sakit kulit, seperti kurap, panau, lemah tenaga lelaki, angin dan kembung perut, sembelit, semput, darah tinggi dan kencing manis.
SELUAR PUTIH
Aku telah bersetuju dengan ajakan Fuad itu. Pada esok paginya aku dan Fuad telah pergi menjual ubat-ubat dalam pasar minggu, di luar Bandar Alor Setar. Di situ kami menghapar sehelai kain tebal dan ubat-ubat itu kami susun dan ada yang kami serak-serakkan atas kain itu. Aku dengan pakaian seluar putih, baju putih berlengan panjang, kasut kulit hitam (jenama baik buatan England) dan tidak bersongkok. Di situ aku memberi ucapan mempromosikan ubat-ubat itu kepada orang-orang yang hadir dalam pasar minggu itu.
Ramai pengunjung-pengunjung pasar minggu itu datang membeli ubat yang kami jual. Ada di antara mereka bertanyakan julap cacing kerawit. Tiba-tiba aku teringatkan orang-orang di Sungai Limau tidak datang sembahyang berjemaah, di surau, disebabkan cacing kerawit.
Aku boleh membuat julap membasmi cacing kerawit. Pada waktu kami makan malam di warong di Pekan Rabu, aku telah mencadangkan kepada Fuad, iaitu untuk menjual ubat yang kami sendiri membuatnya. Menjual ubat bapa saudaranya sekadar mendapat komisyen atau dalalnya sahaja. Fuad telah setuju dengan cadanganku itu.
Pada pagi besoknya, aku bersama Faud telah pergi ke kawasan Makam Diraja, di Langgar. Di sana kami telah mengambil daun pokok malakian. Pokok ini biasanya di tanam orang dalam kawasan halaman rumah atau dalam kawasan tanah perkuburan. Jika dimakan daunnya, atau diminum air daunnya boleh menyebabkan ciri birit.
BIJI KACANG
Sekadar satu camca tea air perahan dari sehelai daun malakian boleh digunakan untuk kira-kira seratus biji atau pil julap membasmi kerawit. Aku dan Faud telah membuat julap basmi cacing kerawit berupa biji atau pil dengan menggunakan tepung gandum yang kami telah kami bancuhkan dengan sedikit air perahan daun tersebut. Biji atau pil itu sebesar biji kacang tanah atau sebesar pil ubat demam(paracetamol).
Penawar untuk meredakan cirit birit akibat memakan julap itu, ialah dengan meminum air kelapa mentah atau yang telah dimasak. Kami telah membeli air kelapa dari tukang parut kelapa dalam pasar dalam Bandar Alor Setar.
Aku dan Fuad telah menjual pil-pil basmi cacing kerawit itu bersama botol-botol kecil berisi air kelapa yang telah dimasak, di pekan sehari di sekitar Alor Setar. Fuad menjadi jurujual julap itu dan aku menjadi ’pensyarah jalanan’ memperkenalkan atau julap membasmi cacing kerawit tersebut.
Dalam ucapanku menjaja julap itu, aku telah menggunakan kata-kata berunsurkan ajaran agama Islam. Di antaranya, ”...tuan- tuan jangan sayang duit, beli julap ini, nanti dapat dosa kerana tak sembahyang disebabkan cacing kerawit...”, ”...hidup kita tak berguna kalau tak sembahyang....” dan ” kalau tak nak cacing kerawit beranak pinak dalam perut tuan-tuan, ...nak sembahyang, beli julap ini...”.
”Sesiapa yang beli ubat ini, ...dapat hadiah sebotol penawar cirit,” aku telah menawarkan kepada orang-orang yang mengerumuni kami.
MASUK UMNO
Pada tiap-tiap hari julap yang kami jual itu laku dan laris. Ada yang membeli dua biji ke kali makan dan ada yang membeli sehingga lima kali makan. Dua biji harganya $1.00 bersama sebotol air penawar cirit.
Selama lima hari kami menjual ubat dipasar minggu itu. Pada hari yang ke lima pada waktu aku sedang berucap dan ramai orang mengerumuni kami, tiba-tiba Tunku Abdul Rahman, Senu Abdul Rahman dan Nyak Agam dan ustaz Jamaluddin Amini bersama beberapa orang UMNO telah berdiri melihat aku sedang berucap dan menjual ubat.
Setelah orang-orang yang mengelilingi aku berjabat tangan dengan Tunku Abdul Rahman dan orang-orang yang bersamanya, maka Tunku telah datang kepadaku. Dia senyum dan telah berkata kepadaku, ”...Mokhtar, buat apa hang duk berucap kat sini..., mai kita pi beri ucapan di tempat lain, ... biak depa masuk UMNO....”
Pada ketika itu, perasaanku bercampur aduk, malu ada, gembira ada, rasa dihargai oleh pemimpin Melayu pun ada. Hatiku telah berkata, ”....pak Ungku mana tau ibu bapa saya miskin...”
Aku telah tertarik hati dengan kata-kata Tunku itu, lebih-lebih lagi dia telah mengajak aku berucap untuk menarik orang Melayu masuk UMNO. Pada masa itu akulah di antara pemuda-pemuda Melayu yang kuat menyokong parti kebangsaan Melayu itu.
Sekembalinya kami di bilik sewa Fuad, aku telah memberitahu Fuad yang aku akan pulang ke Kepala Batas. Seperti yang dia juga tahu, Tunku Abdul Rahman telah mengajak aku memberi penerangan mengenai UMNO kepada orang-orang Melayu.
CACING KERAWIT
Aku telah berpesan kepada Fuad agar dia meneruskan usahanya membuat julap cacing kerawit. Aku menggalakkan Fuad dengan kata-kata, ”...kita jual julap kebajikan kerana kita tolong orang dapat sembahyang, tak ada cacing kerawit.” Fuad telah mengaku akan meneruskan usaha tersebut.
Pada malam itu, aku dan Fuad telah membahagikan wang hasil dari kami menjual julap cacing kerawit selama lima hari. Setelah kami menolak sewa kereta, sewa rumah dan belanja-belanja lain, maka kami telah mendapat wang sama banyak, iaitu $423.70 sen seorang.
Aku telah memasukkan wangku sebanyak $380 ke dalam akaun simpananku di pejabat pos Alor Setar kira-kia jam 10.40 pagi esoknya. Pada waktu kami sedang minum kopi ’o’ di gerai Pekan Rabu, tiba-tiba datang dua orang rakanku, Salim Pardi dari Batu Pahat, Johor dan Munawwir Abdul Aziz dari Aceh, Indonesia. Mereka telah mengajak aku dan Fuad pergi menuntut ilmu dari seorang petapa, di atas Gunung Jerai. Petapa itu murid kepada Tuanku Imam Bonjol yang terkenal di Indonesia.
Aku telah sanggup mengikut mereka menuntut ilmu di Gunung Jerai, tetapi sekadar selama tiga empat hari sahaja. Tujuanku ke sana sekadar kerana mencari pengalaman sahaja. Aku mahu dalam sejarah hidupku ’ada catatan’ yang aku telah pernah bertapa. Salim Pardi dan Munawwir Abdul Aziz setuju denganku. Tetapi Fuad tidak dapat menyertai kami kerana dia hendak meneruskan perniagaannya.*
* Dari manuskrip buku, memoir, Patah Sayap Bertongkatkan Paruh,
(belum terbit), oleh: Mokhtar Petah.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment