Wednesday, June 6, 2012
MENGENANG
PENDATANG SEBAGAI
CHAUVINIST
Mungkin ada
orang yang dapat mengakui, bahawa setelah Persekutuan Tanah Melayu mencapai
kemerdekaan pada tahun 1957, telah wujud perbedaan menerima kemerdekaan itu di
kalangan orang Melayu. OrangMelayu golongan kanan, iaitu memihak di sebelah UMNO telah menganggap
kemerdekaan yang telah dicapai itu sebagai satu ’nikmat’ yang tidak ada
mudaratnya. Manakala golongan kiri telah berpendapat, kemerdekaan akan menjadi
batas waktu merosotnya nilai bangsa Melayu, kehakisan daulat Raja-Raja Melayu
dan orang Melayu akan hanya berjaya seperti penyabung ayam, ’ memang sorak
kampung tergadai’.
Tetapi kerana Tunku Abdul Rahman bersama golongannya dengan kekuatan dan kekuasaan, telah mewujudkan
berbagai-bagai ’nikmat baru’, maka golongan
kiri menjadi tersisih dan pendapat mereka tidak berguna lagi.
Tunku Abdul Rahman dan golongannya, secara terang menyifat dan menuduh
orang Melayu golongan Kiri, sebagai ’makhluk perosak’ kepada kerajaan dan
rakyat Persekutuan Tanah Melayu yang kemudian dinamakan Malaysia.
Contoh–contoh yang nyatakan, Tunku Abdul Rahman telah membelakangi
pejuang-pejuang Melayu seperti Ishak Haji Muhammad, Dr Burhanuddin Helmy, Ahmad
Boestamam dan ramai lagi, sebaliknya dia telah menerima pendapat golongan
keturunan pendatang – mereka golongan kapitalis -, sebagai rakan membina negara
baru, Persekutuan Tanah Melayu (Malaysia).
Manakala cita-cita dan perjuangan
orang Melayu yang tidak menyebelahi Tunku Abdul Rahman, telah dianggap oleh
orang-orang keturunan pendatang sebagai
chauvinist (orang yang telalu mencintai tanahair) yang mesti dikuburkan.
’Biar saya akui, bahawa dalam masyarakat berbilang – bangsa- keturunan di
Malaysia juga terdaspat bahaya kemusnahannya sendiri. Kalau dibawah tekanan
luar konfrantasi Indonesia, pemimpin-pemimpin bagi berbagai-bagai kaum di
Malaysia menyahut seruan bukan dengan sifatnya sebagai bangsa Malaysia, tetapi
sebagai sekian ramai orang-orang Melayu, Cina, India dan lain-lain, maka akhirnya
mestilah berlaku perpecahan. Misalnya, kalau pucuk pimpinan di Malaysia yang
berhadapan dengan seruan-seruan Indonesia supaya berpegang kepada fahaman
chauvinis(orang yang terlampau cintakan tanahair) Melayu cuba menandingi atau
membenci orang-orang Indonesia itu, maka tekanan akan dikenakan yang akan
membahagikan bangsa kepada bandar dengan luar bandar, kepada orang-orang dagang
dengan kanak-kanak Bumiputera, antara orang-orang yang maju ekonominya dengan
orang-orang yang mundur ekonominya.
Bahaya yang sebenarnya ialah kelemahan dalam negeri Malaysia sendiri. Iaitu
tindakan-tindakan subversiv Indonesia
yang ditujukan untuk memikat orang-orang Melayu dalam Malaysia. Kalau
pemimpin-pemimpin Malaysia menyahut
dengan sekian ramai orang-orang Melayu, Cina dan India dan lain-lain, dan tidak
sebagai bangsa Malaysia, maka timbul kerumitan. Kerana semakin kuat pucuk
pimpinan Melayu di Malaysia menyuarakan faham kebangsaan Melayu, akan semakin
bertambah kuat pula orang-orang bukan Melayu di Malaysia meragukan masa depan
mereka. Apa akan terjadi bila perpecahan berlaku terlampau buruk benar untuk
difikirkan. Cukuplah dengan mengatakan bahawa dari segi theory ada tiga
kemungkinan: pertama. Malaysia akan disedut atau ditaklukkan oleh sebuah kuasa
yang ketiga, kedua, satu kaum menguasai kaum-kaum yang lain di Malaysia, dan
ketiga, satu pengaliran ke arah pengasingan kaum-kaum akhirnya
pembelahan-bahagi Malaysia. Ketiga-tiganya mempunyai pengertian yang
mengerikan.[1]
Pada masa itulah, di mana-mana sahaja, terdengar bisikan di kalangan
orang-orang Melayu, bahawa Tunku Abdul Rahman ’lembut telinga’ dengan
orang-orang golongan tersebut. Manakala kalangan ahli-ahli UMNO yang kuat
berpegang kepada cita-cita nasionalis Melayu dan agama Islam, telah memandang
serong kepada Tunku Abdul Rahman, lebih-lebih lagi setelah Tunku Abdul Rahman
mengisytiharkan gagasan Malaysia dalam jamuan makan tengahari anjuran
wartawan-wartawan Tenggara Asia, di Adelphi hotel Singapura. Tunku tidak
berundinng lebih dahulu dengan Majlis Tertinggi UMNO dan ahli-ahli parlimen
serta kabinet sebelumnya.
Tidak ramai orang yang mengetahui, bahawa kerana hendak melembutkan hati
orang-orang UMNO dan orang-orang dari keturunan pendatang, Tunku Abdul Rahman
telah mewujudkan satu gelaran besar kebesaran, iaitu Tan Sri. Gelaran itu tidak
ada dalam ’Institusi Istana’ orang Melayu. Yang telah wujud dalam’Institusi
Istana’ Melayu ialah, gelaran ’Tun’, iaitu gelaran yang paling tinggi.
Setelah gelaran ’Tan Sri’ diwujudkan oleh Tunku Abdul Rahaman, aku telah
bertanya kepadanya. Jawapannya mudah dan melucukan, katanaya, ”...depa duk nak
minta gelaran Tun, ...mana ada banyak, yang duk nak ghamai.”
”...apa salahnya, kita ambik Tan dari nama Tan Cheng Lock, ambil pulak Sri
dari nama Sri V.T. Sambanthan, ...Tan
Sri...,” kata Tunku sambil ketawa.
Aku mendapati pada sekitar Persekutuan Tanah Melayu di ambang kemerdekaan,
kalangan keturunan pendatang di Singapura dan terdapat juga di Semenanjung,
mempunyai rancangan yang tidak terfikir oleh semua orang Melayu, iaitu mahu
menjadikan Singapura sebuah kerajaan yang tidak diperintah oleh orang Melayu.
Usaha mengenepikan para politikus dan pemimpin Melayu pada masa itu telah
menjadi ’bisik penjajah bentuk baru’ di Singapura.*
* Dari manuskrip buku, Memoir, Patah Sayap Bertongkatkan Paruh (Belum
terbit) oleh: Mokhtar Petah.
[1] Sedutan ucapan Perdana
Menteri Singapura, Lee Kuan Yew, kepada Kelab Wartawan
Kebangsaan,Canberra ,
pada 16 MaC 1965( dari buku:Malaysia
Dalam Zaman Revolusi –
Penerbitan Kementerian Kebudayaan).
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment