Monday, June 11, 2012
NASIHAT ORANG ALIM
Kerajaan dan penjajah Jepun telah menerima pengajaran atas kezalimannya terhadap umat manusia; pada 6 Ogos 1945 kapal-kapal terbang perang Amerika Syarikat telah menggugurkan bom atom ke atas bumi Hiroshima. Tiga hari kemudia, iaitu pada 9 Ogos Nagasaki pula telah digugurkan bom Atom. Akibatnya Maharaja Jepun sendiri telah mengaku menyerah kalah kepada pihak Berikat – Amerika Syarikat dan sekutunya.
Pada 2 September 1945 Jepun telah menandatangani surat prjanjian menyerah kalah dengan tidak bersyarat kepeda General Mac Arthur bagi pihak Berikat. Dengan pengakuan yang menjadi catatan sejarah dunia itu, maka Jepun telah menyerahkan semula Semenanjung Tanah Melayu dan Singapura kepada penjajah British.
Pada 12 September 1945 pemerintah tentera Jepun, General Itogaki telah menandatangani surat perjanjian menyerah kalah dengan tidak bersyarat kepada Lord Lois Mountbatten Pemerintah Tertinggi Tentera British bagi pihak Berikat di bangunan Municipal Singapura (Syonanto) dan telah disaksikan oleh pegawai-pegawai tinggi tentera ke dua belah pihak.
Sekali lagi Semenanjung Tanah Melayu dijajah oleh penjajah British. Hasrat orang-orang Melayu untuk memerdekakan Tanah Melayu setelah Jepun menyerah kalah telah tidak berhasil, kerana Allahyarham Tun Abdul Razak dengan Askar Wataniah Force 136 telah mengundang pihak Britisah (Cpt John Davis) supaya kembali segera untuk memerintah semula Tanah Melayu.
Askar Wataniah Force 136 dipimpin oleh Cpt. John Davis bekerjasama dengan dengan kumpulan gerakan bawah tanah, Kuomintang, di tanah Melayu yang dipimpin oleh Lim Bo Seng.
‘Kapten Davis (John Davis) ini masuk menyeludup ke Malaya ketika pendudukan fasis Jepun, melalui laut, iaitu dengan menaiki kapal selam. Dia membuat ikatan kerjasama dengan PKM dan membantu melengkapkan persenjataan gerila Malayan People Anti –Japanese Army (MPAJA). Maka banyaklah kelengkapan ketenteraan yang dihantar melalui udara dan dipayung – terjun ke hutan-hutan tempat gerila bergerak.Ada senjata yang kita serahkan kepda Force 136 yang diketuai oleh Kapten Davis ini, ada pula yang dapat disorok, untuk kegunaan sendiri oleh MPAJA.
Jadi Kapten Davis kenal rapat dengan kawan Chen Ping, lagi pula dia pandai bercakap bahasa China. Jadi beliaulah menjadi pengawal kami dari Kelian Intan ke Baling.’*
*Rashid Maidin, 2005, Memoir Rashid Madin, Petaling Jaya, Strtegic Imformation Research Development, hlm: 74.
Askar Wataniah Force 136, dianggotai oleh orang-orang Melayu berpendidikan Inggeris dan pro British. Manakala gerila-gerilanya terdiri daripada orang-orang Melayu di kampung-kampung yang kurang pelajaran dan tidak faham percaturan politik dan apa tujuan pasukan itu.
Askar Wataniah Force 136 adalah pasukan khas membantu penjajah Inggeris menentang Jepun dan sekali gus menjadi satu tenaga yang membantu penjajah tersebut menjajah semula Semenanjung Tanah Melayu selepas Jepun menyerah diri.
Sebelum Jepun menyerah kalah, IbrahimYaakob, Dr Burhanuddin Helmi dan Ishak Haji Muhammad telah berjanji dengan Pemimpin Revolusi Rakyat Indonesia, Ir Soakrno dan pembantunya Dr Mohd.Hatta di sertai pegawai tentera Jepun dalam satu pertemuan di rumah Free Masonari (rumah hantu) di Taiping, pada 12 Ogos 1945, akan mengistiharkan kemerdekaan Tanah Melayu serentak dengan peristiharan kemerdekaan Indonesia pada 17 Ogos 1945.
’Pada bulan September 1945 Inggeris telah menguat-kuasakan pemerintahan British Military Administration (BMA) ke seluruh Semenanjung dan pulau-pulau Negeri Melayu. Teraju pentadbiran ini pada waktu itu berpejabat di Singapura.
Encik Ibrahim Yaakob dalam tahun 1945 juga telah meninggalkan Tanah Semenanjung ini kerana dia menajadi orang buruan kerajaan Inggeris yang percaya Ibrahim Yaakob seorang yang berpengaruh dalam perjuangan menentang penjajah.
Dalam pemerintahan British Military Army (BMA), semua penduduk kampung dan seluruh daerah Kuala Kangsar menderita kelaparan. Tiga hari aku dan kawan-kawan serta orang-orang kampung telah pergi mengambil beras dari lori-lori askar British dan Gurkha. Beras itu diberi percuma kepada orang-orang kampung, kira-kira segantang untuk sebuah rumah. Kami menamakan ‘beras tembi’, kerana pada waktu menunggu untuk mendapatkan beras daripada askar-askar Brirtish itu terpaksa bertolak-tolak dan bertembi-tebi sesama kami.
Pada masa itu, walaupun aku masih murid sekolah rendah, tetapi aku rasa yang diriku dan orang-orang Melayu telah dihina oleh askar-askar British(orang Inggeris dan Gutkha) itu. Mereka askar-askar penjajah telah menghina rakyat-rakyat yang menderita kelaparan akibat dari kezaliman penjajah Inggeris sendiri.
Aku bersama kawan-kawanku telah menyambung semula pelajaran kami setelah terhenti sekian lama. Dalam peperiksaan yang telah diadakan, aku telah berjaya menduduki bangku darjah iv. Aku adalah di antara murid-murid yang telah dipilih untuk melanjutkan pelajaran ke sekolah Inggeris, Clifford School, Kuala Kangsar.
Datuk dan bapaku tidak setuju aku melanjutkan pelajaran ke Clifford School kerana sekolah itu mengajar pelajaran bahasa Inggeris dan tidak ada pelajaran agama Islam. Mereka berpendapat, kalau belajar bahasa Inggeris sahaja dan tidak belajar agama, aku akan mudah menjadi orang yang beragama Kristian (orang kafir) atau berperangai seperti orang Kristian.
Aku telah menolak tawaran itu kerana aku berminat untuk belajar di sekolah Arab (agama Islam). Selain dari hajatku itu, ialah sebab-sebab seperti berikut:
* Datuk dan bapaku beranggapan, kanak-kanak Islam yang belajar di sekolah Inggeris sebelum belajar ilmu agama Islam, terutama ilmu tauhid (ilmu mengenai keesaan Allah)akan mudah terpengaruh kepada agama Kristian orang atau berperangai seperti orang-orang Kristian.
* Guru agama, Sheikh Nawawi menasihatkan aku supaya belajar di sekolah Arab (agama Islam) kerana kalau aku boleh berbahasa Arab, aku mendapat lebih banyak ilmu pengetahuan berbanding dalam bahasa Inggeris. Dia juga menasihatkan aku, kalau hendak belajar bahasa Inggeris, yang baiknya setelah aku belajar di sekolah agama.
Katanya juga, ”...kalau hang belajar agama, bahasa Arab, mu akan jadi masyhur, tapi kalau belajar di sekolah orang putih, habis-habis sangat jadi kerani kopon....bahasa Arab bahasa Quran, ...bahasa syurga.”
* Beberapa orang Melayu pegawai kerajaan yang sering bercakap Inggeris dan sentiasa datang ke rumah bapaku, tidak pernah sembahyang dan tidak berpuasa.Mereka kencing berdiri dalam semak dan tidak membasuh kemaluan mereka setelah kencing.
* Sheikh Nawawi mengambil satu contoh, iaitu di Kuala Kangsar ada seorang alim, anaknya telah belajar di London semenjak berusia sepuluh tahun. Setelah anaknya tamat universiti di sana, dia telah pulang membawa isteri seorang perempuan Inggeris. Dia berperangai macam orang Inggeris. Sentiasa memakai seluar pendek. Suami isteri itu minum arak, menari di kelab-kelab. Mereka juga telah memandang rendah terhadap orang-orang Melayu, terutama orang-orang Melayu yang tinggal di kampung-kampung.
Pada masa itu tidak ramai penduduk-penduduk kampungku yang mahu anak mereka melajutkan pelajaran sama ada ke sekolah Inggeris mahupun ke sekolah agama Islam. Kerana sikap penduduk-penduduk itu, maka rakan-rakan sekampungku yang sama sekolah denganku tidak dapat melanjutkan pelajaran masing-msing. Hanya seorang rakanku, iaitu Yusof bin Abdul Ghani berasal dari Penaga, Kepala Batas, Seberang Perai, telah melanjutkan pelajarannya di Trade School, Ipoh.
Apabila orang-orang kampungku telah mendapat tahu yang aku akan melanjutkan pelajaran ke sekolah Arab (agama), ada di antara mereka yang telah berkata, ”...mengaji sekolah Arab tak ke mana, jadi tok siak masjid bolehlah.”, ”...belajar di sekolah agama...., akhirnya jadi lebai malang,” dan ” ....orang mengaji sekolah agama, jadi kaum muda...”
Ramai dari kawan-kawan sekampung denganku, setelah tamat darjah empat atau lima, mereka menjadi penoreh getah dan petani. Manakala rakan-rakanku yang perempuan telah mengakhiri usia remaja mereka dengan berumah tangga. Mereka telah berkahwin dengan pemuda-pemuda penoreh getah dan atau yang berkhidmat dalam pasukan askar Melayu, askar British dan polis biasa atau polis khas –special constable (SC).
Pada zaman kanak-kanak, sama ada pada masa Jepun mahu pun pada masa British Military Administration BMA, aku suka memerhatikan sarang labah-labah, dari yang jenis kecil terdapat pada jeriji-jeriji atau lubang dinding rumah hingga yang jenis besar yang merentangi lorong-lorong udara antara pokok-pokok dan berupaya memerangkap burung-burung pipit dan merbah. Aku juga suka memerhati dan membelek-belek kulit pokok-pokok kayu yang berlorek-lorek atau berbelak-belak dengan beraneka coraknya. Aku terasa ada sesuatu yang menarik pada kulit-kulit batang pokok itu.
Aku sering mengikut Mak Ngahku – dia pandai mengubat sakit barah payu dara dan barah di bahagian lain pada tubuh perempuan dengan menggunakan dedaun dan jampi - , ke belakang rumahnya memungut daun ’tapak Leman’(elephantopus acaber linn) untuk dijadikan ubat sakit barah.
Dari pengalaman mengikuti mak ngah aku itu, maka aku telah menjadi peminat dedaun kayu dan akar. Kemudiannya aku telah kenal berpuluh jenis pokok dan akar yang boleh dijadikan ubat untuk mngubati berbagai jenis penyakit manusia. Hingga kini aku menjadi pengemar memelihara pokok dan akar-akar dari rimba. Aku menanam pokok-pokok dan akar-akar itu dalam pasu dan aku meletakkannya di belakang rumah.*
* Dari manuskrip buku, Memoir, Patah Sayap Bertongkatkan Paruh
(belum terbit), oleh: Mokhtar Petah.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment