Sunday, June 3, 2012



Semua buku teks disediakan oleh Kerajaan Inggeris. Buku-buku tersebut tidak boleh dibawa pulang. Semua pelajaran yang diajar dari buku itu mesti dihafal oleh murid-murid di sekolah atau ditulis pada papa batu untuk dihafal di rumah. Pada tiap-tiap hari, bila waktu rehat jam 10.00 hingga 10.30 pagi, aku menghafal pelajaran itu, di bawah pokok asam kumbang, dalam kawasan sekolahku.
         Pada zaman itu semua murid sekolah rendah -  sekolah Melayu - , di seluruh Negeri Perak diwajibkan memakai pakaian seragam, iaitu baju kemeja lengan pendek dan seluar pendek warna putih. Kasut getah atau kembes warna putih. Pakaian untuk belajar agama  pada sebelah petang, kami di wajibkan memakai, baju kurung- potongan Teluk Belanga- , warna putih, kain sarung warna biru dan kasut putih.  
         Pada tiap-tiap pagi, Guru Besar kami, Yeop Hasnan telah memberi ucapan, memberitahu kami, bahawa tentera Jepun akan masuk ke Tanah Melayu. Orang-orang Inggeris akan melarikan membawa nyawa masing-masing. Dia juga memberitahu kami, kalau askar-askar Jepun datang, dia akan menembak mereka dengan senapang patahnya yang dua laras yang sentiasa dibawa ke sekolah.
            ’Pada 31 Januari 1942, tentera Jepun telah menakluki seluruh Tanah Melayu apabila mereka berjaya menawan Johor Bharu. Kemenangan Jepun ini dicapai dalam masa sebulan lebih, iaitu 8 Disember aapabila mereka mendarat di Kota Bharu, Kelantan.
                        Kejatuhan Tanah Melayu yang begitu mudah adalah akibat salah perhitungan pihak British terhadap kekuatan tentera Jepun. Sebaliknya tentera Jepun telah dilatih khas untuk berperang di negeri-negeri tropika. Mereka dilatih di Taiwan dan Selatan Indo-China dan diajar cara-cara menghadapi malaria dan menggunakan apa juga kenderaan terutama basikal untuk memudahkan gerakan serangan mereka.
                         Pada satu pagi dalam  minggu ketiga bulan Januari 1942, Guru Besar telah membawa masuk senapang patahnya bersama tiga kotak perluru ke sekolah.Senapang itu diisi dua biji peluru dan diletakkan atas meja dekat jendela. Muncung senapang itu dihala ke arah jalan raya. Dia telah memberitahu kami yang askar Jepun akan datang dari sempadan Siam  dengan  Negeri Perak, iaitu di Kroh (Pangkalan Hulu) dan Grik.
                          Guru Besar itu telah memberitahu kami lagi, sebentar nanti, apabila bapa kami datang mengambil kami, maka dia akan membenarkan kami pulang. Tetapi dia akan menunggu askar Jepun di sekolah itu. Dia akan menembak askar-askar Jepun itu dengan senapang patahnya.
                            Sementara itu di atas jalan raya di hadapan sekolah kami, kelihatan beberapa buah lori membawa askar British dan Australia yang tidak berpakaian seragam. Mereka telah datang dari arah Hulu Perak dan menuju ke arah Kuala Kangsar. Semua askar-askar itu telah laungkan kata-kata, ”run, run, run, Japanes’. 
                             Askar-askar penjajah itu telah singgah di beberapa buah pekan  kecil di sepanjang jalan raya Lenggong-Kuala Kangsar dan mereka telah membinasakan semua basikal-basikal baru  di kedai-kedai menjual basikal. Mereka telah melakukan perbuatan demikian supaya askar-askar Jepun tidak dapat menggunakan basikal-basikal tersebut untuk menyerang mereka.
                             Bapaku dan bapa semua murid di sekolahku telah tiba di sekolah kami pada waktu hampir tenghari. Mereka telah datang dengan basikal dan ada yang datang dengan kereta. Mereka datang untuk membawa kami pulang ke rumah masing-masing.
                               Pada waktu aku akan meninggalkan sekolah itu, aku melihat Guru Besar masih berdiri dekat senapang patahnya menunggu ketibaan tentera Jepun. Walaupun aku msih kanak-kanak ’ berhingus’, tetapi aku telah berfikir mengatasi fikiran guru besar itu; iaitu yang akan datang tentera Jepun dengan alat senjata yang lengkap, tetapi Guru Besar itu sekadar dengan sepucuk senapang patah-shot gun-dua laras dan kira-kira empat puluh biji peluru ’big shot no.12’. Dia berkeadaan seperti seekor semut melawan seekor tenggiling sahaja.
                             Nasib baiklah aku tidak berani bercakap dengan Guru Besar itu, kalau aku berani bercakap dengannya, tentulah dia tidak menerima fikiranku dan menganggap aku bodoh, kerana dia Guru Besar lepasan maktab perguruan, sedang aku murid berhingus yang menjadi muridnya.
                            Peristiwa Singapura dilangar todak menjadi pengajaran kepada genarasi muda Melayu; kerana budak pintar telah dapat menyelamatkan  pulau itu dari dilanggar todak, tetapi kerana ’Raja pendek akal’, maka si budak pintar itu dibunuhnya.*

  *  Dari manuskrip buku, Memoir,Patah Sayap Bertongkatkan 
      Paruh (belum   terbit), oleh: Mokhtar Petah



No comments: