Thursday, June 21, 2012


TERKENANG


                   TANAH KERAJAAN DAN KAYU BALAK

Pada masa Ghazali Jawi memegang jawatan Menteri Besar Negeri Perak kali yang kedua(1974-77), satu pembangunan raksasa bagi negeri itu telah berjaya dilaksanakan oleh Lembaga Letrik Negara, iaitu pembinaan Ampangan Temenggor. Ampangan itu yang  merentangi Sungai Perak, di Temengor, Grik telah dimulakan pada zaman Menteri Besar, Ahmad bin Said (1969 -1970).
Sebuah kampung Melayu yang tua, iaitu Kampung Temengor yang terletak dalam rimba raya telah tenggelam bersama sebuah masjid, sekolah rendah kebangsaan, sawah dan ladang  serta tanah perkuburan. 
Aku telah mengikuti oprasi menggali semua perkuburan di sana. Pekerja-pekerja telah menggali semua kubur itu pada waktu siang. Manakala kerja memungut semua tengkorak dan tulang temulang tanah bercahaya kala maya pada waktu malam. Semua tengkorak, tulang temulang dan tanah dari tiap-tiap kuburan itu dimasukkan dalam karung-karung plastik.
Semua mayat yang telah reput dalam kuburan-kuburan baru dan semua tengkorak, tulang-tulang dan tanah bercahaya kelamayar itu telah dipindah dan dikebumkan semula dalam beratus-ratus buah kuburan baru, dekat perkampungan baru, Kampung Belum Baru, Air Ganda, dekat Bandar Grik.
TIDAK REPUT
Satu pengalamanku sebagai penulis tidak dapatku lupakan, iaitu aku telah mengambil gambar dan menulis kisah dua mayat tidak reput yang terdapat dari dua buah kuburan Kampung Temengor. Dua mayat itu tidak reput, berambut panjang, berkuku panjang, kain kapan masih melekat pada tubuh masing-masing dan tubuh mereka tidak ada yang rosak.
Kedua-dua perempuan itu telah meninggal dunia kira-kira sepuluh tahun yang lalu. Mereka berkhidmat sebagai bidan dan guru membaca Quran kepada kanak-kanak, di kampung tersebut.
Aku telah merujuk perkara dua mayat itu kepada beberapa orang ulama di negeri Perak. Menurut mereka, bahawa ada terjadi, dengan kuasa Allah, orang-orang yang membaca dan menghafal ayat-ayat Quran dan berbuat baik sesama manusia pada masa hayat mereka, maka mayat mereka tidak reput walaupun telah lama meninggal dunia. 
DURIAN RUNTUH
Aku telah menerima banyak sungutan daripada orang-orang Melayu yang menjalankan perusahaan kayu balak, dalam kawasan Hulu Perak mengenai nasib mereka seperti telah dianak-tirikan oleh kerajaan negeri Perak dalam pengagihan kawasan balak. Pada satu hari aku telah menemui Ghazali Jawi dipejabatnya untuk bertanyakan isu tersebut.
Ghazali Jawi berkata, bahawa pemberian kawasan kayu balak, di negeri Perak tidaklah boleh diagihkan kepada semua syarikat pembalak kerana pihaknya terpaksa menimbangkan banyak masalah.
Beliau memberitahu, pemberian kawasan kayu balak kepada syarikat-syarikat orang Melayu hanyalah seperti ’durian runtuh’, bukanlah satu perniagaan dan perusahaan, kerana banyak syarikat orang Melayu yang telah mendapat kawasan-kawasan kayu balak, tetapi mereka tidak menjalankan perusahaan itu, sebaliknya mereka menjualkannya kepada syarikat-syarikat China.
”Tujuan kerajaan memberi kawasan kayu balak kepada syarikat orang Melayu dengan tujuan supaya deme berusaha, tetapi deme tak buah kerja, ...jualkan kepada syarikat-syarikat orang lain,” katanya.
MENGHIRUP KUAH
”I kira, cara macam tu bukan berniaga, ...hanya nak dapatkan ’durian runtuh’, nak duit segera, ...sudahnya deme tak pandai berniaga balak,” tambahnya.
Kerajaan Negeri Perak telah mewajibkan semua syarikat perusahaan kayu balak bertaraf ’sendirian berhad’ dan ’berhad’. Setiap syarikat membayar lesen pembalakan kepada Jabatan Perhutanan Negeri Perak sebanyak RM300 setahun. Tetapi tidak semua syarikat itu yang mendapat kawasan kayu balak. Walaupun bagitu banyak pula syarikat yang telah mendapat satu kawasan balak telah mendapat kawasan lagi. Ada syarikat kayu balak yang telah mendapat lebih dari tiga kawasan membalak. 
’Kalau diteliti secara mendalam, iaitu mengikut sains politik dan sains kemasyarakatan, bahawa kedua-dua sistem itu (pembalakan dan pemberian tanah komersial) tidak menolong membangunkan ekonomi orang Melayu, sebaliknya meninggikan ekonomi orang-orang bukan Melayu, menguntungkan kerajaan Perak dan pihak-pihak lain.
Pengagihan tanah dan kayu balak, pada hakikatnya seperti ’mee segera’ untuk menghabiskan tanah kerajaan dan kayu balak. 
Akibatnya orang Melayu anak cucu para pejuang tanah air sebelum negara mencapai kemerdekaan tinggal dalam keadaan,  ’menghirup kuah’ sedangkan isi yang lazat orang bukan Melayu yang ratah.
Kedua-dua sistem pengagihan itu kalau tidak diubah atau tidak dilakukan pembaharuan oleh Menteri Besar sekarang, maka dalam tempoh sepuluh tahun akan datang orang-orang Melayu di negeri Perak yang melibatkan diri dalam perusahaan tanah dan perusahaan balak akan menerima nasib ’Pak Pandir’ dalam Dasar Ekonomi Baru  atau seperi kata orang Perak, ’lebih labun dari lonjak’.
Yang paling teruk lagi dalam Wawasan 2020 yang dilaung-laungkan oleh orang-orang Melayu di Perak akan menyimpan dalam file keramat masing-masing, ialah resit bayaran permohonan tanah dari Pejabat Tanah, resit bayaran lesen tukul besi dan resit bayaran lesen kayu balak kepada pejabat Perhutanan Negeri dan surat membuktikan diri mereka telah muflis dari mahkamah tinggi.’*

*   Dari manuskrip buku, Memoir, Patah Sayap Bertongkatkan Paruh, (belum terbit), oleh: Mokhtar Petah.

No comments: