Tuesday, January 25, 2011

MENGENANG MASA SILAM






MENURUT ADAT


Sekolah rendah - Sekolah Melayu - , Sauk, kira-kira lima kilometer jauhnya dari kampungku. Sekolah itu ada dua buah. Sekolah lama berbentuk rumah dan betiang yang tingginya sekadar boleh dilalui kanak-kanak di bawahnya. Sebuah Sekolah lagi setingkat yang keadaannya seperti dewan orang ramai di kampung. Rumah Guru Besar terletak dekat sekolah lama.
Pada masa itu, sekolahku mempunyai murid lelaki dan perempuan sekadar darjah satu hingga darjah lima sahaja. Pada masa itu belum ada murid dari sekolah itu yang telah melanjutkan pelajaran ke darjah enam atau melanjutkan pelajaran ke mana-mana sekolah Inggeris di Kuala Kangsar atau di tempat-tempat lain.
Aku telah mula belajar di ke sekolah itu pada 1 Januari 1941. Pada ketika ayahku menyerahkan aku kepada guru besar sekolah itu, Allahyarham Cek gu Yeop Hasnan dengan menurut adat orang Melayu, iaitu bapaku telah berkata kepada Guru Besar itu, ” ...Cek gu, saya serahkan anak saya, Mokhtar ni kepada Cek gu, kalau dia nakal..., malas..., pukullah, ...asal jangan patah, buta, cacat sudahlah...,”
Aku telah melihat Guru Besar itu senyum lebar, ” Insya Allah,” katanya. Mungkin dia berasa bangga pada waktu itu kerana bapaku telah memberi kepercayaan kepadanya untuk mendidikku. Mungkin dia juga telah dapat membaca wajahku yang aku akan menjadi muridnya yang baik.
KESATUAN MELAYU MUDA
Di antara kanak-kanak di kampungku yang sebaya denganku telah belajar di sekolah tersebut, ialah Kamaruddin dan adiknya Abu Hassan bin Awang Kechil (kemudian mereka berkhidmat dalam pasukan polis) dan Mohd. Yusof bin Abdul Ghani telah melanjutkan pelajaran ke Trade School di Ipoh (telah berkhidmat dalam pasukan polis juga), Sharif bin Ismail, Ahmad Taridi dan adiknya Kamaruddin bin Awang Kecil, Abdullah bin Hussein (kemudian mereka menjdi petani di kampung), Mat Hassan bin Abdul Rais (berkhidmat dalam pasukan tentera British di Singapura), Khdijah binti Lebai Daim, Aminah binti Othman dan Sofiah binti Mahmud (kemudian mereka menjadi suri rumah tangga sepenuh masa).
Guru besar sekolahku, Yeop Hasnan lepasan Maktab Perguruan Tanjung Malim . Dia adala ahli Kesatuan Melayu Muda (KMM) pimpinan Allahyarham Ibrahim Yaakob.
Di antara guru-guru di sekolahku, ialah Cek gu Tamim dan Chegu Abdul Rahman dari Kota Lama Kiri, Kuala Kangsar dan seorang guru pelatih, Hassan bin Mohd.Ali. Bapanya muallaf China bekerja nelayan sambilan, di tasik Chenderoh. Ibunya ada kena kaum kerabat dengan bapaku.
Dalam minggu pertama dan minggu kedua aku belajar di sekolah Melayu, bapaku telah menghantar dan mengambilku dengan basikal. Pada minggu berikut dan seterusnya aku terpaksa berjalan kaki pergi dan balik bersama kawan-kawan lelaki dan perempuan kira-kira lima belas orang.
SEBUNGKUS NASI LEMAK
Mungkin, apa yang aku telah alami, iaitu belajar pada masa belum perang dunia kedua, tidak akan dapat dirasa oleh murid-murid pada masa akan datang. Tiap-tiap hari aku ke sekolah membawa wang hanya setengah sen. Wang itu aku dapat membeli sebungkus nasi lemak pada sebalah pagi dan sebungkus lagi pada sebelah tengahari. Aku telah belajar membaca Quran dan ilmu agama Islam pada sebelah petang. Aku dan murid - murid lain tidak minum ais, kerana pada masa itu tidak ada ais. Kami semua minum air bersih (tidak tercemar) dari sungai dekat sekolah tersebut.
Aku dan murid-murid lain tidak menggunakan pensel dan buku tulis. Kami hanya menggunakan papan batu dan kalam batu (papan dan dan kalam dibuat dari batu atau simen) berbentuk empat segi dan berukuran 8 X 12 inci atau 20 X 30 cm. Papan itu berbingkaikan kayu putih.
Aku mengakulah diriku cermat. Murid-murid lain sering mengalami papan batu mereka pecah, kerana terjatuh dan sebasgainya. Tetapi papan batuku tidak pecah sehinggalah aku belajar dalam darjah empat, papan batu itu telah pecah sedikit di bucu sebalah kanannya.
Pada sebelah pagi kami belajar pelajaran biasa, iaitu membaca, menulis huruf Jawi dan Rumi, ilmu kira-kira (hisab), congak, dan ilmu-ilmu lain. Dari jam 2.00 hingga jam 4.00 petang kami belajar membaca Quran, tajwid, fiqh, tauhid dan ilmu akhlak. Antara guru-guru agama di sekolahku, ialah Allahyarham Ngah Abdul Ghani.
AYAM JANTAN BERKOKOK
Di antara buku-buku teks darjah satu, ialah ’Canai Bacaan’ dan di antara pelajaran dalam buku itu, ialah ’ayam jantan bekokok’, ’ayam betina berketak’, ’ular mematuk’ dan katak melompat’.
Di antara pantun-pantun yang kami pelajari , ialah:
Bui laju-laju,
Sampai balik sana,
Apa dalam baju,
Kuntum bunga sena.

Anak rusa nani,
Baru kembang ekor,
Apa dosa kam,
Lalu tidak tegur.

Kami juga diajar dengan beberapa jenis sastera Melayu (sekadar darjah rendah), iaitu yang mengandungi falsafah untuk bangsa Melayu. Di antaranya:
Injit injit semu,
Siapa takut naik atas.

Pat pat siku lipat,
Siapa cepat dia dapat.

Si Luncai terjun dengan labu-labunya.
Biarkan biarkan.

Malang Pak Kaduk,
menang sorak kampung tergadai,
dagang lalu ditanakkan,
anak mati kelaparan dalam buayan.
Semua buku teks disediakan oleh Kerajaan Inggeris. Buku-buku tersebut tidak boleh dibawa pulang. Semua pelajaran yang diajar dari buku itu mesti dihafal oleh murid-murid di sekolah atau ditulis pada papa batu untuk dihafal di rumah. Pada tiap-tiap hari, bila waktu rehat jam 10.00 hingga 10.30 pagi, aku menghafal pelajaran itu, di bawah pokok asam kumbang, dalam kawasan sekolahku.
LARI MEMBAWA NYAWA
Pada zaman itu semua murid sekolah rendah - sekolah Melayu - , di seluruh Negeri Perak diwajibkan memakai pakaian seragam, iaitu baju kemeja lengan pendek dan seluar pendek warna putih. Kasut getah atau kembes warna putih. Pakaian untuk belajar agama pada sebelah petang, kami di wajibkan memakai, baju kurung- potongan Teluk Belanga- , warna putih, kain sarung warna biru dan kasut putih.
Pada tiap-tiap pagi, Guru Besar kami, Yeop Hasnan telah memberi ucapan memberitahu kami, bahawa tentera Jepun akan masuk ke Tanah Melayu. Orang-orang Inggeris akan lari membawa nyawa masing-masing. Dia juga memberitahu kami, kalau askar-askar Jepun datang, dia akan menembak mereka dengan senapang patahnya yang dua laras yang sentiasa dibawa ke sekolah.

’Pada 31 Januari 1942, tentera Jepun telah menakluki seluruh Tanah Melayu apabila mereka berjaya menawan Johor Bharu. Kemenangan Jepun ini dicapai dalam masa sebulan lebih, iaitu 8 Disember aapabila mereka mendarat di Kota Bharu, Kelantan.
Kejatuhan Tanah Melayu yang begitu mudah adalah akibat salah perhitungan pihak British terhadap kekuatan tentera Jepun. Sebaliknya tentera Jepun telah dilatih khas untuk berperang di negeri-negeri tropika. Mereka dilatih di Taiwan dan Selatan Indo-China dan diajar cara-cara menghadapi malaria dan menggunakan apa juga kenderaan terutama basikal untuk memudahkan gerakan serangan mereka.’
Pada satu pagi dalam minggu ketiga bulan Januari 1942, Guru Besar telah membawa masuk senapang patahnya bersama tiga kotak perluru ke sekolah.Senapang itu diisi dua biji peluru dan diletakkan atas meja dekat jendela. Muncung senapang itu dihala ke arah jalan raya. Dia telah memberitahu kami yang askar Jepun akan datang dari sempadan Siam dengan Negeri Perak, iaitu di Kroh (Pangkalan Hulu) dan Grik.
Guru Besar itu telah memberitahu kami lagi, sebentar nanti, apabila bapa kami datang mengambil kami, maka dia akan membenarkan kami pulang. Tetapi dia akan menunggu askar Jepun di sekolah itu. Dia akan menembak askar-askar Jepun itu dengan senapang patahnya.
KETIBAAN TENTERA JEPUN
Sementara itu di atas jalan raya di hadapan sekolah kami, kelihatan beberapa buah lori membawa askar British dan Australia yang tidak berpakaian seragam. Mereka telah datang dari arah Hulu Perak dan menuju ke arah Kuala Kangsar. Semua askar-askar itu telah laungkan kata-kata, ”run, run, run, Japanes’.
Askar-askar penjajah itu telah singgah di beberapa buah pekan kecil di sepanjang jalan raya Lenggong-Kuala Kangsar dan mereka telah membinasakan semua basikal-basikal baru di kedai-kedai menjual basikal. Mereka telah melakukan perbuatan demikian supaya askar-askar Jepun tidak dapat menggunakan basikal-basikal tersebut untuk menyerang mereka.
Bapaku dan bapa semua murid di sekolahku telah tiba di sekolah kami pada waktu hampir tenghari. Mereka telah datang dengan basikal dan ada yang datang dengan kereta. Mereka datang untuk membawa kami pulang ke rumah masing-masing.
Pada waktu aku akan meninggalkan sekolah itu, aku melihat Guru Besar masih berdiri dekat senapang patahnya menunggu ketibaan tentera Jepun. Walaupun aku msih kanak-kanak ’ berhingus’, tetapi aku telah berfikir mengatasi fikiran guru besar itu; iaitu yang akan datang tentera Jepun dengan alat senjata yang lengkap, tetapi Guru Besar itu sekadar dengan sepucuk senapang patah-shot gun-dua laras dan kira-kira empat puluh biji peluru ’big shot no.12’. Dia berkeadaan seperti seekor semut melawan seekor tenggiling sahaja.
Nasib baiklah aku tidak berani bercakap dengan Guru Besar itu, kalau aku berani bercakap dengannya, tentulah dia tidak menerima fikiranku dan menganggap aku bodoh, kerana dia Guru Besar lepasan maktab perguruan Durian Daun , Malaka, sedang aku murid berhingus yang menjadi muridnya.
Peristiwa Singapura dilangar todak menjadi pengajaran kepada genarasi muda Melayu; kerana budak pintar telah dapat menyelamatkan pulau itu dari dilanggar todak, tetapi kerana ’Raja pendek akal’, maka si budak pintar itu dibunuhnya.
(Disunting dari manuskrip buku, Memoir, Patah Sayap Bertongkatkan Paruh, oleh: Mokhtar Petah)

No comments: