Wednesday, January 5, 2011

MENGENANG MASA SILAM



SURAT LAYANG
Menteri Besar Perak yang keenam, Dato’ Sri Wan Mohamed bin Haji Wan Teh dari Grik adalah bekas kerani Keretapi Tanah Melayu. Kemudian dia berpindah kerja ke dalam Jabatan Penerangan sebagai Pegawai Luar, di Grik. Pada masa itu dia telah menjadi rakan yang rapat denganku. Kemudian kerana dia bergiat dalam UMNO bahagian Grik, maka dia telah dipilih menjadi ahli Dewan Undangan Negeri Perak.
Setelah Ghazali Jawi mengundurkan diri dari kerusi Menteri Besar Negeri Perak pada 1977, maka dengan petunjuk pucuk pimpinan parti, maka Wan Mohamed telah dilantik oleh Sultan Perak untuk mengisi kekosongan kerusi itu. Sekali gus krisis antara UMNO Negeri itu dengan Sultan Idris Shah telah reda.
Oleh kerana Ghazali Jawi tokoh paling lama dalam UMNO Perak, iaitu semenjak UMNO ditubuhkan pada tahun 1946, maka dalam rundingan dengan UMNO negeri, dia berperanan sebagai penasihat tidak rasmi kepada Wan Mohamed. Semua perkara-perkara besar yang hendak dilaksanakan oleh Wan Mohamed hendaklah mendapat nasihat dari Ghazali Jawi lebih dahulu.
Wan Mohamed telah mengikut keputusan rundingan itu. Di antara beberapa perkara yang mesti mendapat nasihat Ghazali Jawi, ialah berhubungan dengan meluluskan semua permohonan atas tanah komersial (untuk perumahan dan perindustrian) kerajaan negeri oleh syarikat-syarikat, hendaklah mendapat nasihat Ghazali Jawi sebelum diluluskan.
SURAT KHABAR
Satu contoh, Raja Ahmad Zainuddin (telah menjadi ahli Dewan Rakyat dan kini ahli Dewan Negeri Perak) dan Norlian binti Haji Muslim (pemberita BERNAMA) dan Zabedi Haji Salleh bekas pemberita surat khabar WATAN, dengan menggunakan syarikat mereka telah memohon sebidang tanah komersial (perumahan) Kerajaan Negeri Perak , kira-kira 28 ekar, dalam Bandar Ipoh.
Apabila Ghazali Jawi mendapat tahu akan permohonan itu tidak ada namaku, maka dia telah menasihat Wan Mohamed supaya memsukkan namaku sebelum permohonan itu dibawa ke mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (exco) Negeri Perak. Kira-kira jam 11.00 malam Zabedi Haji Salleh dan Raja Ahmad telah datang ke rumahku dan memberitahu yang mereka telah memasukkan namaku dan syarikat mereka dan meminta aku menandatangani beberapa borang syarikat mereka.
Wan Mohamed juga sering berbincangkan denganku mengenai sesuatu isu, kerana dia telah mengetahui aku mempunyai perhubungan dengan ramai penduduk-penduduk luar bandar di Negeri Perak.
Di antara perkara-perkara yang kami telah berbincang, ialah:
1 - Masalah pelajaran agama Islam di kalangan pemuda-pemudi di luar bandar. Cara untuk mengatasinya, Kerajaan Negeri Perak patut memberi bantuan kewangan dan sebagainya kepada semua sekolah agama (rakyat).
2 - Menguatkan kefahaman Islam di kalangan umat Islam dalam dan luar bandar untuk menangkis fahaman komunis dan beberapa fahaman lain yang berlawanan dengan Islam. Pendekatan yang patut dibuat, ialah Jabatan Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perak hendaklah mempergiatkan dakwah Islamiyah, majlis ilmu Islam dan sebagainya.
3- Pengagihan habuan oleh kerajaan kepada rakyat hendaklah diberi secara saksama dan tidak wujud sikap pilih kasih.
4 - Pulihkan semula hubungan antara UMNO dengan Institusi Istana Perak, kerana kalau tidak dipulihkan, banyak masalah tidak dapat diselesaikan kerana ada beberapa perkara menurut Perlembagaan Negeri, Sultan mempunyai kuasa, seperti hal ehwal agama Islam dan tanah kerajaan negeri (state land).
5 – Untuk mengurangkan kemiskinan di kalangan rakyat luar bandar, kerajaan negeri mengadakan peluang bagi rakyat mendapatkan tanah untuk tujuan pertanian dan sebagainya.
6 - Untuk menjamin jumlah undi orang Melayu dalam Bandar Ipoh, seperti kawasan Mengelembu, Palim, Pasir Putih dan beberapa kawasan lagi, kerajaan negeri hendaklah mengadakan peluang kepada orang-orang Melayu tinggal di sana, seperti memberi kawasan tapak-tapak rumah kepada mereka.
Wan Mohamed telah menerima idea-ideaku dalam perbincangan antara aku dengannya itu. Ada beberapa perkara telah dijalankan oleh pihak-pihak kerajaan negeri dengan arahannya.
KETUA EKSEKUTIF
Pada tahun pertama hingga awal tahun ketiga Wan Mohamed memegang jawatan Menteri Besar Perak, dia telah diterima oleh Sultan Idris sebagai seorang Ketua Eksekutif yang boleh dibawa berunding.Tetapi setelah masuk pada tahun seterusnya sehingga tahun 1982 telah berlaku pula krisis antara Sultan dengannya.
Krisis itu yang ibarat ’parut berdarah semula’ telah menjadikan institusi istana tidak besefahaman dengan institusi politik, iaitu UMNO Negeri Perak. Keadaan itu telah berlaku akibat dari Wan Mohamed dikatakan lebih banyak menjalankan kuasanya sendiri sebagai Ketua Eksekutif Negeri Perak dan tidak berunding atau tidak meminta fikiran Sultan Idris Shah terlebih dahulu.
Hampir setiap hari Sultan Idris telah berunding denganku dan meminta nasihat dariku mengenai keadaan politik di negeri Perak, bahkan ada hari-harinya sampai tiga kali kami berunding mengenai ’Sultan dengan Perlembagaan negeri dan Menteri Besar dengan kuasa politik’.
Sepanjang masa krisis dengan Wang Mohamed, Baginda lebih kerap berunding denganku berbading dengan kalangan Orang Besar-Besar Negeri Perak. Aku mengakui pada masa itu, hanya Sultan Idris Shah seorang Sultan atau Raja Memerintah yang bersikap tegas menghadapi masalah negeri Baginda. Ketegasan itu disebabkan keintelektualan Baginda, mempunyai kefahaman Baginda dalam bidang sains politik, pentadbiran dan sikap mementingkan rakyat jelata.
KAYU BALAK
Di antara yang telah ditimbulkan oleh Sultan Idris yang menyebabkan Baginda tidak memberi kerjasama dengan Menteri Besar, Wan Mohamed, di antaranya,ialah:
* Menteri Besar telah mempertikaikan keputusan Sultan Idris Shah melantik seorang ulama tokoh PAS Negeri Perak, Ustaz Haji Abdul Samad Noh menduduki kerusi Jawatankuasa Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Negeri Perak.
* Amalan tidak saksama dalam pembahagian kawasan tanah komersial kepada syarikat-syarikat milik orang Melayu dan bukan Melayu.
* Pengagihan kawasan kayu balak diamalkan secara tidak saksama, ada syarikat yang mendapat dua tiga kawasan kayu balak dan banyak pula yang hampa kerana tidak mendapatnya, walaupun satu kawasan.
* Beberapa orang dari Orang-Orang Besar Negeri Perak mempengaruhi Sultan Idris Shah, iaitu semenjak Menteri Besar Pertama selepas negara mencapai kemerdekaan, semua Menteri Besar dari keturunan orang Melayu Pattani. Ghazali Jawi, Ahmad bin Said, Haji Kamaruddin Haji Mat Isa dan Wan Mohammed bin Haji Wan Teh adalah keturunan orang Pattani.
Sesungguhnya aku telah menaruh perhatian yang mendalam kepada Dr Mahathir Mohamad setelah aku membaca suratnya kepada Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman. Kandungan surat itu sebagai intipati dari bukunya Malay Dilemma atau Dilema Melayu yang telah diharamkan oleh kerajaan Malaysia semenjak Tunku Abdul Rahman hingga kepada Perdana Menteri, Hussein Onn.
Walaupun kalangan ahli-ahli UMNO dan seluruh rakyat negara ini menyifatkan surat tersebut sebagai surat layang, tetapi sebenarnya surat itu tidak bersifat demikian. Surat itu dari seorang yang amat menghormati Tunku Abdul Rahman dan dengan ikhlas memberi nasihat, tetapi telah dijadikan alat untuk merenggangkan antara Dr Mahathir Mohammad dengan Tunku Abdul Rahman.
Allahyarham Haji Sulaiman Palestin dan Abdul Aziz Ahmad (Pustaka Antara) telah memberitahu kepada aku, bahawa surat itu, bukanlah surat terbang seperti yang sangkakan oleh orang ramai. Surat tersebut telah dikirimkan oleh Dr Mahathir Mohamad kepada Tunku Abdul Rahman ke Jabatan Perdana Menteri, tetapi seorang pegawai kepada Perdana Menteri (bukan Melayu) telah membuka surat itu dan tidak diserahkan kepada Tunku Abdul Rahman.
MENYALIN SURAT
Menurut Haji Sulaiman dan Abdul Aziz Ahmad, pegawai itu dengan kerjasama dua orang Melayu, telah menyalinkan surat itu dengan menggunakan mesin cyclostyle dan mereka telah menyebar surat–surat itu kepada orang ramai. Setelah surat itu disebarkan sebagai surat layang, maka berlakulah clash antara Tunku Abdul Rahman dengan Dr Mahathir Mohamad sehingga beliau dipecat dari UMNO.
Hingga pada waktu aku menulis buku ini, aku masih yakin, sekiranya selepas Hussein Onn orang lain dari Dr Mahathir Mohamad telah menajadi Perdana Menteri, tentulah Malaysia tidak berubah seperti yang wujud sekarang.
Perubahan yang mengkagumkan itu disebabkan seperti pendapat pegawai di Dewan Bahasa dan Pustaka, Encik Jaafar Abdul Rahim, bahawa Dr Mahathir Mohamad salah seorang dari beribu-ribu orang dalam dunia ini yang memiliki fikiran ’gila-gila’.
Orang yang memiliki fikiran ’gila-gila’, biasanya mencapai kejayaan dalam apa jua kerjanya yang luar biasa dan tidak terfikir oleh orang lain, sekiranya dia mempunyai kuasa dalam kerajaan, wang yang banyak dan sokongan yang tidak berbelah bahagi daripada para pegawai kerajaan.
Aku tertarik hati kepada banyak tulisan Dr Mahathir Mohamad, di antara banyak tulisannya, adalah seperti di bawah ini:
’Perubahan minat orang Melayu terhadap politik telah memeranjatkan orang lain bukan sahaja kerana hebatnya penglibatan mereka tetapi juga kerana perubahan tersebut kekal. Walaupun objektif asal mereka telah tercapai namun orang Melayu masih terus berkecimpung dan aktif dalam politik. Parti-parti politik telah menjalar ke seluruh kampung-kampung Melayu hingga ke kawasan pendalaman di mana orang- orang Melayu yang tidak kenal huruf mengadakan perjumpaan, memilih jawatan-jawatan dalam parti, menubuhkan cawangan-cawangan yang menjadi tenaga penggerak kepada jentera politik kebangsaan. Dalam keadaan ini orang Melayu juga dapat mengenepikan kesetiaan utama mereka kepada negeri masing-masing dan telah memberikan taat setia mereka kepada negara yang baru ditubuhkan, sedangkan pada suatu masa dahulu mereka tidak sedar akan adanya konsep ’negara’ itu. Pilihanraya yang boleh dikatakan tidak difikirkan langsuang kira-kira satu dekad yang lalu, bukan sahaja telah diterima tetapi juga telah diamalkan dan dijalankan dengan penuh semangat oleh setiap orang Melayu. Pendek kata, perubahan sikap orang Melayu terhadap politik begitu radikal dan menyeluruh.’
Apabila Dr Mahathir Mohamad memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, aku telah mengirim surat tahniah kepada beliau. Dalam surat itu aku telah menyelitkan sedikit pandangan (idea)ku kepada beliau. Aku juga telah menjangkakan dalam surat itu, iaitu Dr Mahathir Mohamad akan memimpin negara ini seperti seorang doktor bedah yang menghadapi pesakit. Kalau mana-mana anggota pesakit itu patah, dia akan memotong anggota pesakit itu dan kalau pesakit itu bengkak dan bernanah, dia akan membedahnya.
Dr Mhathir Mohamad telah menjawab suratku pada 28 Mei, 1981. Surat beliau itu telah seperti berikut:
’Saya mengucapkan berbanyak terima kasih kerana ucapan tahniah yang agak terawal dan juga pandangan yang diberi’.
(Disunting dari manuskrip buku, Memoir, Patah Sayap Bertongkatkan Paruh, oleh: Mokhtar Petah)

No comments: