Monday, January 17, 2011

MENGENANG MASA SILAM

KAMPUNG HALAMAM

Aku telah dilahirkan pada 3 Julai 1934, dalam sebuah rumah atau dangau yang beratapkan dedaun rumbia kering, dinding tepas dari buluh pelang, lantai dari buluh minyak, kerangka rumah; tiang, rabung atau tulang bumbung, jerejak, bendul, gelegar hingga ke peha dan anak tangga adalah kayu bulat dari rimba.
Bapaku berasal dari kampung Durian Pipit (kampung itu telah tenggelam dalam tasik Chenderoh) dalam daerah kecil Lenggong. Datukku Yusof bin Ishak dari Batu Kurau, Larut, keturunan orang Pattani (dikatakan ada campur darah orang Batu Bara Indonesia). Moyangku telah berhijrah dari Pattani ke negeri Perak seperti yang aku telah ceritakan di atas.
Menurut cerita orang-orang yang kenal akan datukknya; dia seorang ‘the hero’. Berani.. Pandai silat gayung. Mahir bermain senjata.Gemar beristeri ramai. Empat orang isterinya. Dia menceraikan seorang dari isteri-isterinya dan kahwin dengan seorang perempuan lain sebagai gantinya. Menurut cerita lisan orang-orang tua di kampungku; semua isteri-isteri datukku terdiri dari anak dara belaka. Dia tidak mahu berkahwin dengan janda kerana dia pantang mengutip ’sisa’ orang.
Nenekku, Anjang Shari’ah binti Ishak berdarah campuran Perak dan Pattani juga. Dia berasal dari kampung Beng, Durian Pipit – sebuah kampung di kaki gunung, di seberang sungai Perak-, kini dalam daerah kecil Lenggong.
MUSUH SIAM
Menurut cerita lisan orang tua-tua, bahawa ada di antara penduduk-penduduk Kampung Beng yang berasal dari Negeri Pahang. Mereka itu pahlawan-pahlawan dari daerah Raub dan Lipis telah datang membantu orang-orang negeri Perak berperang dengan musuh Siam sekitar tahun 1820. Ada di antara mereka tidak kembali ke Pahang kerana telah berkahwin dengan gadis-gadis atau perempuan-perempuan di sana.
Percakapan orang-orang Kampung Beng, sama ada rentak, gaya dan dialeknya seperti percakapan orang-orang negeri Pahang dalam kawasan Raub dan Lipis.
Bapaku mempunyai adik beradik sebapa dan berlainan ibu, iaitu Long Hafsah dan Yahya. Hafsah telah berkahwin dengan Othman dari kaum kerabat ibuku. Yahya telah terpaksa menjadi buruh paksa Jepun, membina Jambatan Sungai Quay Burma –Thalind. Dia telah berjaya melarikan diri ke dalam kampung dalam kawasan Siam dekat sempadan Burma. Di sana dia telah menjadi anak angkat kepada sepasang suami isteri yang telah tua. Setelah bapa angkatnya meningal dunia, ibu angkatnya telah memeluk agama Islam. Kerana ibu angkatnya tidak ada orang tempat menumpang dan kerana budi baiknya, maka bapa saudaraku telah berkawin dengan ibu angkatnya. Tidak lama kemudian mereka telah berpindah ke kampung Teluk Ayam, dalam kawasan Betong, dekat sempadan antara Selatan Siam dengan Malaysia. Yahya telah meninggal dunia di sana, pada tahun 1970.
Adik beradik seibu dengan bapaku, ialah Long Rajmah tinggal di kampung Changkat Duku dekat kampungku, Mohd. Yunus dan Rabe’ah tinggal di kampung Batu Reng, dekat Kampung Beng. Long Rajmah dan Mohd. Yunus telah meninggal dunia kira-kira sepuluh tahun yang lalu..
INSTITUSI PONDOK
Manakala adik beradik seibu sebapa dengan ibuku, ialah, Allahyarham Haji Ahmad bin Haji Jaafar. Dia telah meninggal dunia di rumah anak perempuannya, Norilah, peserta FELDA, di Kota Gelenggi, Pahang. Kakak ibuku sebapa, ialah Fatimah, di kampung Kenayat, Grik, Ulu Perak (telah meninggal dunia). Adik beradik seibu dengan ibuku, ialah Long Fatimah, Ngah Raja’ah, Teh Umi Kalthum, Haji Abdul Majid, dan Rokiah.
Bapaku telah belajar ilmu agama Islam selama kira-kira dua tahun di institusi pondok Haji Omar, kampung Latar Papan, dalam daerah kecil Lenggong. Kemudian dia berpindah belajar di pondok Lebai Salleh (saudara pupu kepada nenekku), di kampung Ngor. Selain daripada mereka, bapaku telah berguru kepada lebih lima orang ulama, di antaranya, Sheikh Haji Nawawi dan Haji Arshad Karai, Haji Asa’aya dan Fakeh Haji Ghazali dan seorang ulama dari Kedah, Haji Ibrahim, Gajah Mati.
Oleh kerana bapaku dari keluarga miskin, maka dia terpaksa belajar sambil bekerja. Dia menjadi penoreh getah di kebun gurunya, di kampung Ngor juga.
Mungkin bapaku telah pernah melihat ibuku - anak dara cantik-, maka dia telah tertarik hati kepadanya. Dengan runding muafakat antara Lebai Salleh dengan datukku, maka bapaku berkahwin dengan ibuku dengan bercinta dari jauh - tidak seperti remja-remaja pada zaman sekarang - , pada pertengahan tahun 1933.
KAMBING JANTAN
Menurut cerita nenekku; perkahwinan ibu dan bapaku di adakan secara sederhana, iaitu nenek dan datukku telah menyembelih seekor kerbau, tiga ekor kambing jantan, memotong lebih dua puluh ekor ayam kampung, lebih dua puluh batang umbut bayas yang telah diambil dari rimba dan dibuat kerabu.
Kenduri itu telah dihadiri oleh anggota-anggota keluarga, kaum kerabat dan sahabat handai, orang-orang kampung dan para undangan dari luar kampung itu.
Pengantin baru Mohd Petah bin Yusuf dan Jahara binti Haji Ja’afar tidak bersanding. Guru-guru agama di kampungku – mereka guru kepada bapaku -, Haji Umar, Haji Nawawi dan Lebai Salleh telah mengeluarkan fatwa, bahawa bersanding itu haram – haram kerana tasyabbuh atau syubhat - , kerana mengikut cara atau istiadat orang-orang yang beragama Hindu.
Kira-kira sebulan selapas ibu dan bapaku berkahwin, maka mereka telah berpindah ke sebuah rumah (dangau) yang telah didirikan oleh bapaku dan dengan bantuan orang-orang kampung. Rumah itu seperti yang aku telah ceritakan sebelum ini, tidak jauh dari rumah datukku.
MENCARI NAFKAH
Sebagai seorang suami, ayahku telah menjalankan berbagai-bagai pekerjaan cara orang kampung untuk mencari nafkah. Di antaranya menoreh getah, menjadi nelayan di tasik Chenderoh, bekerja sawah, di sawah nenekku dan berkebun - terpaksa meneroka rimba - , atas tanah lima ekar yang didapati dari kerajaan Negeri Perak, di Paya Pak Banun , kira-kira lima kilometer dari kampung ibuku.
Untuk pergi bekerja meneroka rimba dan berkebun atas tanah lima ekar itu, bapaku terpaksa menggunakan rakit buluh pelang untuk menyeberangi tasik Chenderoh yang airnya dalam kira-kira tiga puluh meter.
Kira-kira setahun lepas ibu dan bapaku berkahwin, maka Allah telah mengurniakan kepada mereka cahaya mata, iaitu aku: Mohd. Mokhtar bin Mohd. Petah pada 3 Julai 1934. Kira-kira setahun kemudian, adikku: Ahmad Ghazali bin Mohd Petah telah lahir. Beberapa tahun kemudian kami mendapat dua orang adik lelaki. Adik kami yang pertama bernama Yusof dan yang kedua belum sempat diberi nama. Mereka telah meninggal dunia kira-kira seminggu setelah mereka lahir ke dunia.
Aku dan adikku, Ghazali telah menjadi tetamu dunia ini dalam keadaan ibu dan bapaku dalam rahang kemiskinan. Kami telah minum susu dari payu dara ibu. Tidak pernah memakan makanan- makanan bayi yang mengandungi zat seperti sekarang. Kami makan pisang awak yang masa dan telah dibakar. Kuah sayur-sayuran dari huma, seperti bayam, pucuk salang, pucuk ubi, kangkung dan sayur-sayuran lain,
KEADAAN HALAL
Kami telah membesar dengan subur dengan bantuan makanan yang begitu. Tetapi aku kini percaya makanan-makanan yang telah disuap oleh ibu dan bapaku ke mulut aku dan adikku adalah makanan ’halalan tayyiban’ – ’ keadaan halal dan baik’.
Aku masih ingat akan kata-kata ayaku kepadaku pada masa aku berusia sepuluh tahun, iaitu, ” ...lepas mu lahir, ...takdir Allah, ...Allah beri rezeki kepada ayah, emak ..., sekeping tanah dalam hutan.”
”...ayah nak..., bila mu dah besar, jadi orang pandai, bijak ...,tak usah kira kita orang susah, ...mengaji rajin-rajin, jadi orang berani, ...pandai tulis kitab...,” kata ayahku.
”...kalau kita susah tak ada orang nak tolong kita, ...kawan ketawa ramai, kawan menangis tak ada...,” kata ayahku lagi.
” ...selalu ingatkan Allah..., minta tolong kepada Allah, ... tak usah tinggal sembahyang..., sembahyang tiang agama...,” tambah ayahku.
Oleh kerana tidak ada orang yang mengasuh kami, maka pada waktu-waktu mereka bekerja di sawah dekat rumah kami, maka aku yang telah boleh merangkak ditinggalkan oleh ibu dan ayahku di atas dangau dalam sawah. Adikku tidur dalam buaian atas dangau itu juga. Menurut ibuku, pada masa aku masih bayi hingga berusia tepat lima tahun, aku tidak nakal seperti kanak-kanak lain. Nenekku – ibu kepada bapaku -, menggelarku ’Mokhtar Laji Lamin’ .
Pada zaman itu siapa yang berduit, dia telah dapat memilik-gunakan sampan batang (dibuat dari batang kayu bulat) atau sampan dayung berdiri - sampan dibuat dari papan dan menggunakan dua dayung di kiri kanan sampan itu - , untuk digunakan sebagai pengangkutan atas tasik Chenderoh. Siapa yang tidak mempunyai duit, terpaksalah menggunakan rakit buluh betung atau buluh pelang. Bapaku telah membuat rakit dari buluh pelang. Rakit itu panjangnya kira-kira sepuluh meter dan lebarnya lebih kurang lima meter. Rakit itulah digunakan oleh bapaku untuk membawa ibuku, aku dan adikku untuk berulang alik di tasik Chenderoh dari panngkalan Kampung Lama, ke pangkalan di Takung Murah atau Tualang Bengok.
KAYU PENGANDAR
Jarak dari rumah kami ke pangkalan rakit, di kampung Lama, kira-kira satu setengah kilometer dan dari pangkalan rakit Takung Murah atau Tualang Bengok ke ladang kami kira-kira dua kilometer. Bapaku membawa aku dan adikku pergi dan balik dari rumah ke pangkalan-pangkalan itu dan ke ladang dengan mengandar kami dalam dua helai kain pelekat - kain sarung - , sehelai kain sarung disangkut seperti buaian pada pangkal kayu pengandar dan sehelai lagi di sangkut pada hujung pengandar itu. Aku dimasukkan dalam kain sarung di hujung pengandar, iaitu di bahagian belakang bapaku dan adikku dalam kain sarung di pangkal pengandar, iaitu dibahagian depan bapaku. Sementara ibuku mengikuti bapaku dengan membawa barang-barang keperluan kami.
Di ladang tempat ibu dan bapaku bekerja, kami telah ditinggalkan di atas dangau yang jarak lantainya dari bumi kira-kira dua meter.
Pada tiap-tiap hari Jumaat bapaku tidak pergi ke ladang kerana dia terpaksa menggayuh basikal sejauh lima kilometer untuk sembahyang Jumaat di masjid, di Pekan Sauk. Pada masa itu di kampung Ngor tidak ada masjid. Pada sebelah petangnya bapaku memancing atau menjala ikan dalam tasik Chenderoh.
Ikan-ikan yang telah ditangkap oleh bapaku dari tasik Chenderoh, selain dari untuk dimakan, iaitu bakar, gulai lemak, gulai tempoyak, goreng dan sebagainya, diberikan kepada nenek kakak-kakak ibuku, telah membuat pekasam.
BENIH PADI
Bapaku telah memuga atau meneroka rimba di tengah rimba banat. Dia sendiri telah menebang pokok-pokok besar. Apabila semua pokok besar bersama reranting dan dedaunya telah kering, bapaku telah membakar atau memerunnya. Dua tiga hari kemudian – selepas hujan-, bapakku telah menabur biji-biji bayam, maman, cili api atau cabai burung dan bijirin lain.
Apabila semua kawasan huma itu telah mereka bersihkan, maka mereka menajuk benih padi huma, di antaranya padi pasang kurau - nasinya berbau harum. Di samping itu bapaku telah menanam anak-anak pisang dalam kawasan ladang itu.. Anak-anak pisang yang ditanam itu, ialah jenis emas, rastali, berangan, embun atau bunga dan pisang kapal (pokok rendah).
Sementara itu, ibuku telah menanam tanaman kontan, seperti terung, peria, labu, mentimun, kacang, kacang bendi, kacang parang, ubi sengkuang, ubi kemili dan sebagainya.
Apabila tananam-tanaman itu seperti pisang, jagung, labu, mentimun dan sebagainya telah besar dan berbuah, bapa dan ibuku terpaksa tinggal dalam di huma itu. Begitulah bapa dan ibuku telah dihanyutkan oleh kehidupan yang sukar selama beberapa bulan sementara menanti tananam-tanaman mengeluarkan hasil. Apabila tanaman-tanaman seperti pisang dan sayur-sayuran telah mengeluarkan hasil, barulah keadaan kehidupan mereka berkeadaan lega sedikit dari kesempitan.
Pada masa usiaku tujuh tahun, bapaku telah memberitahu kepada aku dan adikku, bahawa pada masa kami masih bayi bapaku telah memandikan kami dengan air yang telah direndamkan batu halilintar atau batu dari petir yang berbentuk seperti mata kapak dan telah serpih hujungnya atau telah rosak.
Menurut ibuku pula, sebelum kami dimandikan, bapaku telah membaca basmalah dan ayat-ayat suci al Quran. Tujuan bapaku berbuat begitu, ialah memohon kepada Allah, supaya kulit tubuh kami tahan besi (sedikit kebal dengan izin Allah), jauh dari penyakit ganjil dan tidak dikacau oleh hantu syaitan, jembalang dan sihir manusia.
(Disunting dari manuskrip buku, Memoi, Patah Sayap Bertongktkan Paruh, oleh: Mokhtar Petah).

No comments: