Hari ini sudah genaplah satu tahun penubuhan SPRM dalam bentuk baru, bersama-sama dengan LPPR dan jawatankuasa-jawatankuasa lain yang ditubuhkan bersamanya. Mungkin, malam ini kita patut mengimbas kembali apa yang telah berlaku dan dilakukan dalam tempoh itu. Perlu ditekankan bahawa tempoh satu tahun adalah satu tempoh yang amat singkat bagi sesuatu badan untuk menunjuk prestasinya.
Biar apa pun, satu tahun pertama SPRM itu adalah satu tempoh yang amat mencabar. Saya fikir, tidak ada satu tahun dalam sejarah SPRM atau BPR yang lebih mencabar daripada tahun 2009. Malah, saya fikir bahawa tahun Dato’ Haji Harun Idris di hadapkan ke Mahkamah atas tuduhan rasuah itu pun tidak setanding dengan cabaran dalam tahun 2009. Pada masa itu sasaran kritikan bukanlah ditumpukan terhadap BPR, tetapi terhadap satu kumpulan dalam parti politik yang sama. Tetapi, apa yang berlaku dalam tahun 2009 adalah berlainan. Kali ini SPRM itu sendiri yang menjadi sasaran. Pengkritik-pengkritik itu pula, secara kasarnya, boleh dipisahkan mengikut garisan parti dan juga keturunan. Inilah yang mendukacitakan.
Keadaan ini ada kaitan dengan perkembangan politik Malaysia selepas Pilihan Raya Umum yang lepas. Parti-parti yang sebelum ini belum dapat memerintah sesebuah Negeri kini telah menguasai beberapa Kerajaan Negeri, sedangkan Kerajaan Persekutuan kekal di bawah pemerintahan Barisan Nasional. Undang-undang rasuah (sama seperti undang-undang jenayah lainnya), terletak di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan. Jika dahulu, aduan-aduan mengenai rasuah dan penyalahgunaan kuasa, selain daripada terhadap pegawai-pegawai kerajaan, adalah terhadap ahli-ahli politik Barisan Nasional (atau Perikatan), terutama sekali UMNO, sekarang aduan-aduan yang serupa juga terdapat terhadap ahli-ahli politik parti-parti yang dahulunya menjadi pembangkang. Apabila siasatan dijalankan terhadap mereka, terdengarlah tuduhan “selective prosecution” (pendakwaan terpilih), “harrassment” (gangguan) dan sebagainya.
SENTIASA ADIL MENJALANKAN TUGAS
SPRM telah memberi statistik membuktikan bahawa tuduhan itu tidak berasas. Terserahlah kepada orang ramai sama ada hendak menerima atau menolaknya, dengan atau tanpa asas.
Apa yang penting bagi SPRM ialah bahawa ia hendaklah mengambil ingatan terhadap tuduhan-tuduhan itu. SPRM hendaklah memastikan bahawa hal seperti itu tidak dan tidak akan berlaku. SPRM hendaklah senentiasa adil dalam menjalankan tugasnya dan boleh dilihat adil oleh orang-orang yang adil. Orang-orang yang hendak membuat tuduhan juga perlu adil, bukan sengaja mengada-adakannya kerana kepentingan diri atau kumpulan.
Nasib tidak baik bagi SPRM. Semasa ia, Lembaga Penasihat dan jawatankuasa-jawatankuasa yang ditubuhkan sedang mencari jalan untuk memperbaiki imej SPRM, berlaku pula insiden Teoh Beng Hock. Kita semua bersimpati dengannya dan keluarganya. Tetapi, prosiding untuk menentukan sebab kematiannya sedang berjalan. Ia dilakukan mengikut undang-undang yang telah wujud semenjak British membawa masuk undang-undang England ke Malaya, bukan satu undang-undang baru. Semenjak itu, sehingga hari ini, penyiasatan (inquest) seperti itu senentiasa dilakukan mengikut undang-undang itu. Tidak pula undang-undang itu pernah dipertikaikan. Penyertaan oleh pihak-pihak yang ingin menyertai prosiding itu diberi sepenuhnya, malah lebih daripada biasa. Penyiasatan itu belum selesai. Sepatutnya, janganlah kita “menjatuhkan hukuman” sebelum penyiasatan selesai.
KEADILAN MENGIKUT UNDANG - UNDANG
Kita mahukan keadilan. Keadilan adalah untuk semua pihak, bukan hanya kepada pihak yang kita bersimpati. Keadilan bererti meletakkan hak pada yang berhak. Keadilan yang dilaksanakan oleh mahkamah (mahupun SPRM) adalah keadilan mengikut undang-undang yang berkuat kuasa pada masa ini, bukan keadilan mengikut “firasat” seseorang Hakim atau pegawai, bukan “abstract justice”, bukan “philosophical justice” dan juga bukan keadilan untuk kepentingan sesuatu kumpulan, kerajaan atau pembangkang, parti politik atau badan bukan-kerajaan, persatuan atau individu. Itu bukan keadilan. Itu adalah “bias”. Selain daripada itu, orang-orang yang menghendaki keadilan juga perlu berlaku adil, bukan “bias”.
Bagi saya adalah tidak adil “menjatuhkan hukuman” sebelum penyiasatan itu selesai dan apabila keputusan itu selaras dengan apa yang kita kehendaki, kata ia adil, jika tidak kita kata ia tidak adil, mahkamah “bias”, mahkamah tidak bebas dan sebagainya. Sesuatu penghakiman mahkamah tidak sepatutnya dinilai (assessed) daripada keputusannya, sama ada kita suka atau tidak suka. Ia patut dinilai atas alasannya, yakni alasan mengenai fakta dan undang-undang yang diberi untuk mencapai keputusan itu. Jika alasan-alasan itu baik, sama ada kita sukakan keputusan itu atau tidak, ia adalah suatu penghakiman yang baik. Sebaliknya, jika alasan-alasannya tidak baik, walau pun kita sukakan keputusan itu, ia adalah suatu penghakiman yang tidak baik.
Bagi pihak diri saya dan saya percaya saya juga boleh menyuarakan pendirian LPPR dalam hal ini, saya nyatakan di sini bahawa kami tidak akan bertolak ansur jika terbukti apa-apa “irregularities”, apatah lagi “criminal liability” di pihak SPRM dalam peristiwa itu.
MENGELAH PENYALAH GUNAAN KUASA
SPRM adalah “a creature of statute”. Ia ditubuhkan oleh undang-undang. Ia diberi kuasa oleh undang-undang. Jenis dan had kasanya ditetapkan oleh undang-undang. Adalah penting bagi SPRM menjalankan tugasnya dalam batasan undang-undang dan mengikut undang-undang. Orang ramai juga tidak sepatutnya mengharapkan SPRM melakukan apa sahaja siasatan yang mereka ingin SPRM lakukan dan mendakwa sesiapa sahaja yang mereka mahu didakwa.
Kuasa siasatan SPRM adalah terhad kepada kesalahan-kesalahan yang ditetapkan oleh undang-undang yang dibuat oleh Parlimen yang ahli-ahlinya terdiri daripada orang-orang politik. Jika tidak sukakan sesuatu undang-undang, mintalah Parlimen memindanya,
Kuasa pendakwaan terletak kepada Pendakwa Raya. Itu ditetapkan oleh Perlembagaan. Setakat yang saya tahu, demikianlah pembahagian kuasa di negara-negara common law mana juga pun. Ini adalah untuk mengelak penyalahgunaan kuasa jika kuasa penyiasatan dan pendakwaan diberi kepada satu orang atau satu jabatan sahaja. Jika tidak sukakan pembahagian kuasa seperti ini, mintalah Parlimen meminda Perlembagaan. Jangan harapkan SPRM mengetepikan Perlembagaan dan undang-undang semata-mata kerana kita mahu ia melakukan sesuatu yang terletak di luar bidang kuasanya. Jika pihak berkuasa lain yang melakukan sesuatu di luar bidang kuasanya ia dikatakan “menyalahgunakan kuasa” dan SPRM di diminta menyiasatnya. Apa bezanya jika SPRM sendiri yang berbuat demikian?
SETIAP INDIVIDU JUGA BERTANGGUNGJAWAB
Apa yang saya katakan mengenai SPRM ini terpakai juga kepada LPPR dan Jawatankuasa-Jawatankuasa yang ditubuhkan bersamanya. Masing-masing mempunyai bidang kuasa masing-masing. Sebagai misalan, kuasa LPPR diperuntukkan oleh seksyen 13 Akta SPRM. Peranan LPPR adalah menasihati SPRM dalam perkara-perkara yang disebut dalam peruntukan itu. LPPR adalah penasihat kepada SPRM, bukan kepada Pendakwa Raya. LPPR juga bukan satu tribunal rayuan terhadap sesuatu keputusan yang dibuat oleh Pendakwa Raya mengenai kes rasuah atau mempunyai bidang kuasa “judicial review”. Maka LPPR dan jawatankuasa-jawatankuasa berkenaan juga perlu bertindak di dalam bidang kuasa masing-masing.
Kita mesti ingat bahawa SPRM ditubuhkan untuk memerangi rasuah. LPPR dan jawatankuasa-jawatankuasa berkenaan ditubuhkan untuk membantunya memerangi rasuah. Setiap organisasi dan setiap individu juga bertanggungjawab membantu SPRM memerangi rasuah. Dalam memerangi rasuah sepatutnya tidak ada politik kepartian, tidak ada kerajaan dan pembangkang, tidak ada bangsa dan keturunan, tidak ada pegawai kerajaan dan peniaga. Semuanya mempunyai tanggungjawab yang sama. Semuanya patut memainkan peranan yang serupa: menghindar diri dari rasuah dan membantu memerangi rasuah.
Maka, kepada pegawai-pegawai SPRM, nasihat saya ialah supaya jangan sekali-kali kecewa dengan tuduhan dan kritikan yang tidak munasabah dan tidak berasas. Tumpukan masa dan tenaga dalam menjalankan tugas tuan-tuan dan puan-puan dengan betul, ikhlas dan mengikut undang-undang. Sambil itu, tuan-tuan dan puan-puan mestilah peka kepada pandangan, rungutan, aduan malah kritikan yang munasabah dan berasas.
IDEA – IDEA YANG BERNAS
Kepada semua ahli-ahli LPPR dan Jawatankuasa-Jawatankuasa saya menyeru supaya kita sama-sama membantu SPRM memerangi rasuah. Cara yang paling berkesan ialah melalui Lembaga atau Jawatankuasa masing-masing. Jika ada idea-idea yang bernas untuk memperbaiki prestasi SPRM, sediakan kertas kerja untuk dibincangkan dalam Lembaga atau jawatankuasa masing-masing dan melaksanakannya.
Kepada Kerajaan Persekutuan, saya pohon komitmen yang bersungguh-sungguh dan berterusan untuk memerangi rasuah dengan memperbaiki sistem pentadbiran dan urusan kewangan yang akan mengurangkan peluang dan keperluan berlakunya rasuah dan dengan memberi kemudahan, kelengkapan dan peruntukan yang mencukupi kepada SPRM untuk membolehkannya melaksanakan tugasnya dengan cekap dan berkesan.
Kepada Kerajaan-Kerajaan Negeri, jika tidak dapat membantu secara terus pun, sekurang-kurangnya, janganlah menghalang SPRM dalam menjalankan tugasnya.
TIADA PEMBERI TIADA PENERIMA
Kepada badan-badan bukan kerajaan saya berseru, berilah sumbangan yang positif dan substantif yang boleh memperbaiki prestasi SPRM. Membuat kenyataan dalam akhbar sahaja apatah lagi jika tanpa mengetahui fakta yang lengkap dan sebenar tidak akan membantu SPRM dalam memerangi rasuah. Jika ada apa-apa idea yang hendak diketengahkan, kemukakanlah kepada Sekretariat Lembaga Penasihat atau jawatankuasa yang berkenaan. Dewan-dewan perniagaan juga patut membantu “to educate” ahli-ahlinya supaya tidak memberi rasuah: tiada pemberi tiada penerima.
Kepada media massa dan penulis-penulis blog, pertama sekali saya harap bahawa mereka pastikan bahawa faktanya betul dan lengkap sebelum membuat laporan dan memberi pandangan. Pandangan yang diberi hendaklah berasaskan fakta yang betul dan lengkap bukan hanya menggunakan fakta-fakta yang sengaja dipilih, apatah lagi memanipulasinya, untuk menyokong pendapat yang hendak diberi.
Kepada setiap rakyat Malaysia, tidak kira pemimpin atau yang dipimpin, dari pihak kerajaan atau pembangkang, ahli-ahli politik atau penyokong mereka, pegawai atau peniaga, penulis atau pembaca dan seterusnya, saya berseru, jika kita betul-betul hendak memerangi rasuah, perkara pertama sekali yang masing-masing mesti lakukan ialah menghindar diri daripada perbuatan rasuah. Caranya mudah dan semua orang tahu: jangan beri dan jangan terima rasuah. Dalam hal ini tidak ada sesiapa yang terkecuali dan tidak ada sesiapa yang istimewa. Selagi ada orang-orang atau pihak-pihak yang menganggap diri atau kumpulannya terkecuali daripada menghindar amalan rasuah, selama itulah usaha untuk memerangi rasuah tidak akan berjaya. Sikap “saya atau kami boleh melakukannya tetapi SPRM hendaklah memerangi rasuah” adalah satu sikap yang tidak sepatutnya wujud.
UNTUK MERAIH SIMPATI
Di samping itu, berilah kerjasama kepada SPRM dalam memerangi rasuah. Buat laporan jika ada perbuatan rasuah. Laporan yang dibuat secara sulit adalah lebih berkesan daripada membuat publisiti besar-besaran sebelum membuat laporan. Cara kedua yang saya sebut itu akan menyukarkan penyiasatan kerana pihak-pihak yang hendak disiasat dan saksi-saksi yang berkaitan akan menghilangkan diri di samping ia memberi peluang kepada mereka untuk memusnahkan “incriminating evidence”. Lagi pula, cara itu akan menimbulkan tanda tanya mengenai tujuan sebenar yang tersirat di sebalik laporan itu.
Ada pihak-pihak yang membuat laporan dan kenyataan tetapi tidak mahu bekerjasama apabila dipanggil untuk dirakam kenyataannya. Ini juga membangkitkan tanda tanya mengenai motif mereka.
Perbuatan memburuk-burukkan SPRM di luar negara semata-mata untuk meraih simpati, sokongan atau bantuan bukanlah perbuatan orang-orang yang mahu membanteras rasuah. Itu adalah perbuatan orang-orang yang hanya memikirkan kepentingan sendiri atau kumpulan tanpa mempedulikan apa akibatnya kepada negara. SPRM tidak perfect. Malaysia juga tidak perfect. Negara mana yang pefect? Jika kita cintakan negara kita, kita patut sama-sama berusaha memperbaikinya, bukan memburuk-burukkannya.
PELAKSANAAN BEBERAPA UNDANG - UNDANG
Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menjelaskan berkenaan lawatan saya bersama-sama Dato' Abu Kassim Mohamed, Ketua Pesuruhjaya SPRM ke Washington baru-baru ini. Kami ke sana untuk menyertai Y.B. Peguam Negara dalam mesyuaratnya dengan Pegawai-Pegawai di United States Department of Justice, mengenai penggubalan dan pelaksanaan beberapa undang-undang khususnya Whistleblower Protection yang juga akan terpakai kepada SPRM. Kami menghadiri mesyuarat-mesyuarat itu. Malah kami juga memberi taklimat kepada pegawai-pegawai Malaysia di Washington mengenai penyusunan semula SPRM. Apabila TYT Duta Malaysia ke Amerika Syarikat mencadangkan supaya kami menghadiri satu perjumpaan yang di anjurkan oleh CSIS kami bersetuju dengan syarat ia diadakan di sesi berasingan daripada sesi yang akan dihadiri oleh Y.B. Dato’ Seri Mohamed Nazri Adul Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, yang kebetulan berada di Washington untuk menemui mereka. Ini adalah untuk mengelak kemungkinan pemergian kami itu disalah tafsir oleh mana-mana pihak. Syarat kedua ialah bahawa kami hanya akan bercakap mengenai SPRM sahaja. Kami menghadiri sesi berasingan itu dan Dato’ Abu Kassim telah memberi ceramahnya.
Saya telah menghabiskan hampir empat puluh tahun daripada umur saya cuba membina sedikit sebanyak keutuhan yang ada pada saya. Saya tidak sanggup menghancurkannya dengan melibatkan diri dengan SPRM jika (saya ulangi jika) ia tidak berjalan atas landasan yang betul dan saya, bersama-sama ahli-ahli LPPR dan jawatankuasa-jawatankuasa lain, tidak berjaya membetulkannya. Saya tidak pernah berkompromi mengenai keutuhan dan kebebasan saya semasa saya berkhidmat, apatah lagi selepas saya bersara. Saya percaya, demikian juga halnya dengan ahli-ahli LPPR dan jawatankuasa-jawatankuasa lain.
Akhir sekali, kepada pegawai-pegawai SPRM, tuan-tuan dan puan-puan kini mempunyai aspirasi yang jelas. Untuk mencapainya tuan-tuan dan puan-puan perlulah “buat kerja”.
(Ucapan Pengerusi LPPR, Tun Abdul Hamid Mohamad di Majlis Pelancaran Aspirasi SPRM), 11 Mac 2010. Disiarkan agar diteliti oleh semua pembaca dan mereka yang bertanggungjawab).
No comments:
Post a Comment