Hadi restu wacana
Oleh Anwar Hussin, Nazura Ngah, Norliza Wasilan dan Fatin Hafizah Mohd Shahar
bnews@bharian.com.my
Datuk Seri Abdul Hadi Awang |
Perbincangan ilmiah baik, tak bercanggah pendirian Pas
"Ia sesuatu yang baik dan tidak bercanggah dengan pendirian parti," katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen, semalam.
Kelmarin, Ketua Dewan Pemuda Pas, Nasrudin Hassan, menyerahkan surat jemputan wacana itu kepada Naib Ketua Pemuda Umno, Datuk Razali Ibrahim dan pelawaan itu disambut baik pergerakan berkenaan.
Tindakan Dewan Pemuda Pas itu bagaimanapun dibantah Ketua Pemuda Sosialis DAP, Anthony Loke, kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan di kalangan penyokong pembangkang.
Abdul Hadi berkata, Pas tetap mahu mengukuhkan kerjasama dalam Pakatan Rakyat, tetapi dalam masa yang sama membenarkan perbincangan diadakan dengan mana-mana pihak termasuk Umno dan Barisan Nasional (BN).
Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub, pula berkata Pakatan Rakyat sentiasa sedia untuk membincangkan isu membabitkan kepentingan negara, termasuk pemulihan ekonomi, pendidikan dan sosial pada bila-bila masa saja.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bagaimanapun menyerahkan kepada kepemimpinan tertinggi Pas berhubung perkara itu.
"Saya mendapat tafsiran dan penjelasan yang berbeza terhadap perkara itu. Terserah kepada mereka sama ada mahu meneruskan perbincangan itu dengan tajuk yang difikirkan sesuai," katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Kulim Bandar Bharu dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zulkifli Nordin, berkata perbincangan atau wacana ilmiah antara Pemuda Pas dan Umno itu adalah langkah baik bagi kepentingan bangsa dan agama.
"Wacana ini sekurang-kurangnya dapat menyelesaikan masalah umat Islam," katanya.
Mengenai bantahan Pemuda Sosialis DAP terhadap perbincangan itu, Zulkifli berkata, pendirian DAP itu memang dijangka kerana parti berkenaan bersifat sekular.
"Mereka (DAP) tidak boleh melihat orang Melayu beragama Islam duduk semeja kerana ia tidak membawa sebarang kebaikan kepada mereka. Perkara itu tidak menggembirakan mereka," katanya.
(Berita ini diambil dari Berita Harian Online, 3 Julai 2009).
No comments:
Post a Comment