Mokhtar Petah
”Jodoh pertemuan di atangan Allah,” kata orang bijak pandai.
Majlis perkahwinan aku dengan Che Su telah diadakan, di Kampung Tanah Merah, iaitu di sebuah rumah sewanya yang kecil dan tua, terletak dekat sawah padi dan di tepi sungai Chepias, iaaiitu Sungai yang airnya mengalir dari gunung Laneh, Padang Rengas ke muara sungai Perak, dekat Bandar Kuala Kangsar.
Di kampung Tanah Merah ramai kaum kerabat Che Su, itu sebelah bapanya.
Majlis perkahwinan kami telah diadakan bersama dengan majlis menyambut maulidur rasul oleh penduduk-penduduk kampung itu. Majlis itu telah diadakan di kawasan lapang depan sekolah Kebangsaan kampung itu dan berhampiran dengan pengantin tersebut.
Sebagai pengantin baru – raja sehari -, pada hari perkahwinanku itu, aku yang berpakaian seperti seorang Sultan Melayu telah diring oleh Tengku Adlan bin Tengku Adil dan Raja Hanif Shah (orang besar Istana Sultan Perak), Ustaz Ismail Muin, mudir sekolah agama rakyat kampung Buaya, Padang Rengas dan lebih dua puluh orang rakanku.
Dalam majlis akad nikah itu, bakal bapa mertuaku, Haji Dahari, telah memberitahu jurunikah – naib kadi -, supaya aku sendiri yang membaca khutbah nikah. Kerana permintaan bakal bapa mertua, maka aku telah membaca khutbah nikah dalam bahasa Arab bercampur bahasa Melayu. Belum pernah berlaku dalam kawasan Kuala Kangsar, pada masa sebelumnya, pengantin lelaki membaca khutbab nikah.
Naib kadi telah melakukan akad nikah. Aku telah melafazkan menerima nikah hanya sekali lafaz. Sungguhpun begitu seluruh tubuhku berpeluh juga, maklumlah itulah kali pertama aku diamanahkan oleh Allah untuk memikul beban berat sebagi seorang suami.
Sebaik-baikk sahaja doa selamat di bawakan oleh jurunikah, maka jamuan ringan dihidangkan. Pada ketika aku hendak minum air teh susu dari cawan, tiba-tiba suara pengerusi masjlis maulidur rasul bergema melalui corong pembesar suara, ” ...dengan segala hormatnya majlis mempersilakan pengantin baru untuk memberi ucapan maulidur nabi, ...dipersilakan....”
Semua mata dalam majlis itu telah tertumpu kepadaku. Aku bangun dan turun ke kekaki tangga. Dengan diringi oleh Ustaz Ismail Mu’in, Dato’ Raja Hanif, Tengku Adlan Adil dan rakan-rakan, aku telah berjalan dengan menyeberangi jambatan sungai Chepias, menuju ke majlis maulidur rasul itu. Kira-kira seribu orang lelaki dan perempuan serta murid-murid sekolah Kebangsaan berhimpun dalam majlis tersebut. Pada ketika itu aku terasa diriku tidak lagi seorang pengantin baru, tetapi seperti seorang ’mubaligh bidan terjun’ sahaja.
Aku telah berucap di atas pentas dalam majlis itu kira-kira satu jam dua puluh minit. Ucapanku itu berkisar pada falsafah kelahiran Nabi Muhammad s.a.w., peranan junjungan sebagai utusan Allah.
Dalam ucapanku itu, aku telah menjelaskan, dalam Islam tidak ada paksa memaksa ke atas manusia dari institusi rumah tangga hingga ke dunia antarabangsa. Berdasarkan firman Allah, setiap orang Islam mestilah ada ’hubungan dengan Allah dan hubungan dengan manusia’, kalau tidak diwujudkan hubungan demikian, Allah akan menimpakan kehinaan ke atas mereka, di mana sahaja mereka berada.
Aku juga menyeru mereka supaya tidak ada rasa puas memberi pendidikan kepada anak-anak. Selain dari memberi pelajaran akandemik atau ilmu pengetahuan duniawi, maka perlu pula diberi pendidikan akhirawi yang sempurna kepada mereka.
Akhirnya aku mengesyorkan kepada penduduk-penduduk di kampung itu supaya mengadakan sekolah agama rakyat di kampung mereka. Aku telah menjelaskan, sekolah agama amat penting dalam masyarakat orang Melayu, terutama di kampung-kampung.
Mereka yang hadir telah melaungkan beberapa kali, ”selamat pengantin baru” dan ”Allahu Akbar”, pada akhir ucapanku itu.
No comments:
Post a Comment