Saturday, July 18, 2009

MENGANANG MASA SILAM

BAKTI BAIK
JANGAN DIHARAP
BAIK BALASANNYA

Pada tahun 1956 - 1957, telah wujud sebuah sekolah agama rakyat di Kampung Tanah Merah, Kuaala Kangsar, tetapi sekolah itu terpaksa di tutup kerana sebab-sebab yang sukar di atasi. Di antaranya kekurangan murid yang datang belajar kerana kurang kesedaran terhadap pengetahuan agama Islam, di kalangan penduduk-penduduk di kampung itu. Selain dari itu, tiada badan atau jawatankuasa yang sanggup mengendalikannya.
Kira-kira setahun sebelum perkahwinanku dengan Che Su, sebuah jawatankuasa untuk membina sekolah agama rakyat di kampung itu telah ditubuhkan. Guru Besar sekolah Kebangsaan kampung tersebut, Anjang Mohd. Yunos telah dipilih memegang jawatan pengerusinya. Penolongnya, Cikgu Zubir dari sekolah yang sama.
Walaupun banyak wang yang telah dipungut oleh jawatanakuasa tersebut, tetapi rancangan mengadakan sekolah agama rakyat telah gagal.
MAKSUD MULIA
Ucapanku dalam majlis maulidur rasul, kira-kira sebulan lalu telah menarik perhatian sebilangan dari penduduk-penduduk kampung itu, iaitu mengenai pentingnya diadakan sekolah agama di kampung-kampung.
Sebilangan kecil dari warga-warga kampung itu, telah mencapai keputusan dalam satu mesyuarat, di masjid kampung itu, untuk membina sekolah agama rakyat di kampung tersebut. Mereka juga dengan sebulat suara akan meminta aku membantu mereka bagi menjayakan maksud mulia itu.
Pada satu malam, beberapa orang dari penduduk-penduduk kampung itu, telah datang ke rumah sewa kami. Di antara mereka itu, Ketua kampung, Encik Ngah Lebai, Encik Abdullah, Imam Zainuddin, Imam Yaakob dan Encik Nikmat dan Yang Zainun. Mereka telah meminta aku membantu mereka untuk mendirikan sekolah agama rakyat di kampung tersebut.
FAKTOR PENTING
Setelah aku mendengar dan menimbangkan pandangan mereka, maka aku telah bersetuju bekerjasama dengan mereka. Aku mengemukakan beberapa faktor penting untuk mendirikan semula sekolah agama rakyat tersebut. Di antaranya:
A ) Satu perjumpaan penduduk-penduduk kampung bagiu membincangkan hal penubuhan sekolah itu hendalah diadakan.
B ) Hendaklah ditubuhkan sebuah Jawatankuasa Pengelola sekolah itu yang dianggotai oleh tidak kurang dari 15 orang lelaki dan perempuan terdiri dari penduduk- penduduk kampung itu.
C ) Penduduk-penduduk kampung hendaklah bersedia menyumbangkan hasil pendapatan harian mereka sekadar sehari, iaitu wang, getah keping atau padi kepada Jawatan kuasa itu.
Seminggu kemudian, iaitu pada petang hari Ahad kira-kira 700 orang lelaki dan prempuan yang terdiri dari sebilangan besar warga kampung itu dan kampung-kampung yang berjiran dengan kampung itu telah hadir dalam setu perjumpaan, di sekolah Kebangsaan kampung tersebut.
MEWAKAFAKAN TANAH
Turut hadir dalam perjumpaan itu Guru Besar, sekolah Kebangsaan itu, Anjang Mohd. Yunos dan beberapa orang guru lagi.
Aku telah memberi ucapan kira-kira empat puluh lima minit dalam perhimpunan tersebut. Aku telah memberitahu mereka, bahawa mendirikan sekolah agama di kampung itu adalah jihad. Sumbangan wang ringgit, getah, padi dan apa sahaja untuk menjayakan rancangan itu adalah jihad pada jalan Allah.
Dalam ucapanku di perjumpaan itu, aku telah memberitahu mereka, iaitu untuk mendirikan sekolah agama rakyat itu, memerlukan sebidang tanah kira-kira satu ekar. Aku mengajukan harapan kepada sesiapa di antara penduduk-penduduk kampung itu yang memiliki tanah, sedia mewakafkan tanahnya untuk tapak sekolah agama rakyat tersebut.
PEJABAT TANAH
Aku juga telah menjelaskan kepada perjumpaan itu, betapa Allah menilai dan memberi keredhaan kepada orang-orang yang memberikan harta benda mereka kepada jalan jihad, iaitu fisabilillah - jalan Allah.
Apabila tiba kepada agenda memilih Jawatankuasa Pengelola Sekolah itu, aku telah dipilih dengan sebulat suara untuk memegang jawatan Yang Dipertua atau Pengerusi Jawatankuas Pengelola tersebut. Encik Abdullah telah dipilih untuk memegang jawatan setiausaha. Seramai 15 orang termasuk beberapa orang perempuan telah dipilih memegang jawatan ahli Jawatankuasa Pengelola. Manakala Guru Besar, Anjang Mohd. Yunos dan Cikgu Zubir telah menjadi pemeriksa kira-kira.
Sebelum mesyuarat itu tamat, seorang perempuan, Wan Teh Pulau (gelaran sahaja) kira-kira 45 tahun usianya, telah bangun dan memberitahu, yang dia hendak mewakafkan tanahnya lebih dua ekar untuk tapak sekolah tersebut. Dia telah meminta aku membantunya berurusan dengan Pejabat Tanah daerah Kuala Kangsar untuk menukarkan namanya dalam geran tanah itu kepada nama sekolah agama rakyat itu..
AGAMA ISLAM
Tanah itu pernah diminta oleh Guru Besar, Anjang Mohd. Yunos untuk tapak cawangan sekolah Kebangsaan, kampung itu, tetapi Wan Teh Pulau telah menolak permohonan tersebut, kerana dia mahu mewakafkan tanahnya pada jalan Allah, iaitu yang ada hubung kait dengan agama Islam, seperti masjid, surau dan sekolah agama Islam.
Pada petang esoknya hampir 60 kilogram getah keping yang telah kering dan berpuluh-puluh gantang padi, telah dihantar oleh penduduk-penduduk kampung itu ke rumah setiausaha Jawatankuasa Pengelola sekolah agama rakyat itu, Encik Abdullah, iaitu derma kepada sekolah agama tersebut.
Sementara sekolah baru siap dibina, semua penuntut yang akan belajar di sekolah yang akan dibina itu, telah belajar di sekolah sementara, iaitu dalam surau dekat masjid kampung itu. Kira-kira 30 orang penuntut-penuntut lelaki dan perempuan belajar disekolah sementara itu itu. Mereka berusia antara 16 tahun dengan 21 tahun.
MENGAJAR SUKARELA
Seorang guru perempuan dari Padang Rengas, telah mengajar di sekolah itu. Kerana tidak cukup guru, maka aku telah mengajar sukarela, di sekolah itu pada tiap-tiap petang Isnin dan Rabu.
Untuk menyegerakan pembinaan sekolah agama itu, satu perjumpaan antara penduduk-penduduk telah diadakan, di Sekolah Kebangsaan Tanah Merah, pada satu petang. Dalam perjumpaan itu, aku telah mengesyorkan, supaya Jawatankuasa Pengelola sekolah agama itu memohon kepada Pejabat Perhutanan daerah Kuala Kangsar untuk mengambil kayu-kayu kacau dalam Hutan Simpan Bukit Payung, di belakang kampung itu, untuk digunakan sebagai kekayu rangka bangunan sekolah tersebut.
Kira-kira seminggu kemudian, pihak Pejabat Perhutanan daerah Kuala Kangsar telah menjawab surat dari Jawatankuasa Pengelola sekolah agama itu, bahawa pihaknya membenarkan kayu-kayu kacau dalam Hutan Simpan, Bukit Payung diambil untuk tujuan tersebut, sebanyak mana yang diperlukan dikecualikan dari membayar cukainya.
BERGOTONG ROYONG
Semingu kemudian, pada hari Ahad, Imam Zainuddiin telah mengetuai kira-kira lima puluh orang lelaki – dewasa dan pemuda termasuk aku -, telah bergotong royong menebang pokok-pokok kayu kacau dalam Hutan Simpan Bukit Payung itu.
Sebelum memulakan kerja merintis semak samun dan menebang pokok-pokok di situ, Imam Zainuddin telah melakukan azan dan diikuti dengan membaca doa selamat.
Aku bersama satu kumpulan telah menebang pokok-pokok di sebalik sebuah bukit. Dua kumpulan lagi telah berada di tempat lain.
GOLOK PERAK
Allah telah mentakdirkan, malang tidak berbau, pada waktu seorang peserta gotong royong itu, bernama Ngah Berolak (tidak ingat nama sebenar) sedang merintis anak-anak pokok dengan golok Perak nya, tiba-tiba mata goloknya singgah pada perut betis seorang peserta, iaitu Haji Jaya.Lukanya parah dan dia terpaksa diusung ke kampung Tanah Merah dan kemudian dihantar dengan kereta, ke Hospital Daerah Kuala Kangsar.
Jawatankusa Pengelola sekolah agama itu, telah memungut derma dari penduduk-penduduk kampung itu, pada petang itu juga dan telah berjaya mendapat kira-kira RM300. Wang itu telah diserahkan oleh Setisusaha Jawatankuasa Pengelola sekolah agama itu, Encik Abdullah bersama beberapa ahli jawatankuasanya kepada Haji Jaya, di Hospital tersebut
Pada sebelah malam, beberapa orang ahli Jawatankuasa Pengelola sekolah agama itu telah datang ke rumah kami kerana hendak membincagkan mengenai kira-kira 500 batang kayu-kayu kacau yang terletak di halaman rumah Encik Abdullah. Belum sempat kami berbincang, tiba-tiba lebih sepuluh orang pemuda – pemuda kampung itu, bersama dua orang anak lelaki Haji Jaya (tidak sebut nama mereka di sini) telah menyerang rumah kami dengan membaling ketul-ketul batu, pontong-pontong kayu dan buah kelapa busuk.
MAJLIS MUHIBBAH
Mereka telah mengeluarkan kata-kata hendak membunuh aku. Mereka melaungkan kata-kata, kerana aku, Haji Jaya telah mendapat kemalangan.
Beberapa orang ahli Jawatankuasa Pengelola Sekolah itu telah memujuk pemuda-pemuda itu. Kemudian mereka telah beredar dari rumah kami.
MENGAPI - APIKAN
Pada malam itu aku dan isteriku, Che Su terpaksa bermalam di rumah Imam Zainuddin, kerana khuatir pemuda-pemuda itu datang lagi untuk menyerang aku.
Pada keesokan harinya menduduk-penduduk kampung itu menjadi gempar kerana tindakan pemuda-pemuda itu. Ekoran dari peristiwa itu, satu majlis ’muhibbah’ antara pemuda-pemuda itu dengan aku telah diadakan di rumah Ketua Kampung itu, Ngah Lebai.
Dalam majlis perdamaian itu, pemuda –pemuda itu memberitau, bahawa beberapa orang guru sekolah Melayu, di kampung itu telah mengapi-apikan mereka supaya mereka bertindak terhadapku.
ORANG MENUMPANG
Kata mereka, orang-orang yang mengapi-apikan mereka itu telah berkata kepada mereka, bahawa kalau tidak kerana orang menumpang itu jadi ketua sekolah agama, kejadian buruk itu tidak akan berlaku ke atas Haji Jaya.
Mereka telah juga telah mengapi-apikan anak-anak Haji Jaya, supaya membalas dendam terhadap aku.
Dalam majlis muhibbah itu, aku dan anak-anak Haji Jaya dan rakan-rakan mereka telah bersalaman daan meminta maaf. Mereka mengaku akan memberi sokongan terhadap rancangan meembina sekolah agama di kampung itu.
KAYU KACAU
Dalam satu mesyuarat Jawatankuasa sekolah agama itu sehari kemudian, satu keputusan telah dicapai, iaitu kayu-kayu kacau akan dijual kepada seorang pembelinya dan wang hasil jualan kayu kacau itu akan digunakan bagi menambah wang tabung sekolah tersebut.
Sekolah agama itu akan dibina secara gotong royong antara penduduk-penduduk kampung itu, di atas sebidang tanah yang telah diwakafkan oleh Wan Teh Pulau. Bangunan sekolah itu sekadar setingkat, sebuah bangunan panjang, dari kayu berdinding papan, atap zink dan berlantai simen.
Kira-kira dua minggu kemudian, bangunan sekolah itu telah siap didirikan. Persiapan untuk membuka sekolah baru itu telah dimulakan oleh Jawatankuasa Pengelolanya. Ramai kanak-kanak di kampung itu yang belajar di sekolah Melayu pada sebelah pagi telah didaftarkan untuk belajar di sekolah itu pada sebelah petang.
ANAK ANGKAT
Aku tidak dapaat melupakan satu kejadian yang telah berlaku di antara isteriku dengan isteri jiran kami, Che Zaidah, isteri kepda Encik Abdullah, setiausaha sekolah agama, iaitu, pada satu petang, isteriku, telah bercakap-cakap dengan Che Zaidah. Pada waktu bercakap-cakap itu, isteriku (Che Su binti Haji Dahari) telah meminta kepada Puan Zaidah sudi menitipkan anaknya yang masih dalam kandungannya kepada kami,untuk menjadi anak angkat kami, apabila bayi itu telah lahir nanti.
Atas nama persahabatan dan jiran tetangga, Che Zaidah dan suaminya, Encik Abdullah telah bersedia memberikan anak mereka kepada kami sebagai anak angkat.
Aanaka angkat kami itu, Puan Nasfuziah binti Abdullah. Lepasan Politiknek Ungku Umar, Ipoh. Kini berkhidmat sebagai pegawai Kerajaan Pusat, di Kuala Lumpur.
Penduduk-penduduk Kampung Tanah Merah pada masa itu telah menjadi ’kenang-kenangan kemanusiaan’ pada diriku. Mereka telah menjadi rakan-rakan seperjuangan denganku dan sepanjang perjalanan hidupku hingga kini. Mereka bersamaku telaha melaksanakan amal ma’aruf. Tetapi tidak semua amal ma’aruf di terima oleh manusia lain, namu Allah tetap menerimanya jua.

Dan siapa yang mengerjakan perbuatan baik,
Walau seberat zarah(atom), dilihatnya.

Sebagai mengenang budi baik mereka (ramai yang telah meninggal dunia), aku merakamkan dua rangkai pantun sebagai kenang-kenangan kepada mereka. Mungkin anak-anak dan cucu-cucu mereka dapat mengenangkan jua jasa dan budi baik mereka itu kepadaku.
Baik bergalas baik tidak,
Buli-buli bertali benang,
Baik berbalas baik tidak,
Asal budi sama dikenang.

Bila memandang ke muka laut,
Nampaklah sampan mudik ke hulu,
Bila terkenang mulut menyebut,
Budi yang baik ingat selalu.
(Suntingan dari buku, Mamoir, Patah Sayap Bertongkatkan Paruh, oleh:Mokhtar Petah. Editor, Petah Shahrir Aidid).

No comments: