Saturday, July 4, 2009

MENGENANG MASA SILAM

Mokhtar Petah

Pada masa Haji Kamaruddin Haji Mat Isa masih memegang jawatan Menteri Besar Perak, Sultan Idris Shah telah dianugerahkan kepada aku - dengan kehendak kerajaan Negeri Perak, Pingat Jasa Kebaktian (PJK), tetapi aku telah menolaknya kerana sebab-sebab tertentu.

Tiap-tiap kali sidang Dewan Undangan Negeri Perak, aku telah hadir untuk membuat liputan dan menemui beberapa orang ahli dewan tersebut. Sama ada dalam Dewan Undangan (tempat wartawan-wartawan) mahupun di luar dewan itu, ramai wakil rakyat telah menemuiku; mereka bersungut mengenai ucapan-ucapan mereka dalam Dewan Negeri itu tidak disiarkan oleh akhbar.

Di antara mereka itu: R.M.Idris (Slim River), Munah Tamby (Tapah), Dato’ Haji Mohamad Razlan (Changkat Jering)Dato’ Haji Mohamed Abas (Alor Pongsu), Haji Wan Abdullah Wan In (Temengor) dan Hambal Yeop Majlis (Bota).

Aku telah memberitahu mereka, jika mahu ucapan-ucapan mereka itu disiarkan oleh akhbar, mereka mestilah membuat ucapan dalam dewan itu mengenai perkara-perkara atau isu-isu yang besar dan menarik dan ada kepentingan rakyat jelata di kawasan mereka.

Kemudian aku telah memabantu mereka dengan menunjukkan perkara-perkara-perkara besar dan penting untuk mereka membawa ke dalam dewan tersebut.

Seperti masalah setinggan dalam bandar, rakyat sukar mendapat tanah untuk bercucuk tanam, peruntukan kewangan dari Kerajaan Pusat tidak mencukupi untuk pembangunan luar bandar dan sebagainya.

Mereka telah mengikut petunjuk dari aku itu. Perkara-perkara atau isu-isu yang mereka bawa ke dalam Dewan Undangan Negeri itu menarik perhatian para wartawan. Akhbar telah menyiarkan sesuatu yang penting dalam ucapan-ucapan mereka itu.

Aku telah mendapati, kecuali wakil-wakil parti pembangkang, kebanyakan dari ahli-ahli Dewan Negeri pada masa itu tidak serius menjalankan tanggungjawab mereka. Mereka tidak menyelidik masalah rakyat dalam kawasan mereka atau menjalankan tugas bak melepas batuk di tangga sahaja.

Mereka juga bersikap berat sebelah, iaitu mereka mengenepikan masalah penduduk-penduduk luar bandar yang tidak menyokong parti politik mereka. Sentimen politiki itu menyebabkan orang-orang kampung tidak lama menyokong mereka atau tidak menyertai parti politik mereka.

Aku juga telah mendapati sebilangann ahli-ahli Dewan Undangan Negeri membaca kertas-kertas menyuarat – laporan,cadangan dan sebagainya-, sebelum dewan sebelum dewan bersidang, tidak membuat homeworks, dan tidak banyak membaca buku. Dan yang paling menyedihkan, ada di antara mereka masuk ke dalam dewan seperti untuk berehat sahaja.

Satu hal lagi, kebanyakkan ahli Dewan pihak kerajaan kerana kuat sentimen politik, telah menolak bulat-bulat semua pendapat atau isu-isu yang baik yang dibawa oleh ahli-ahli Dewan dari pihak pembangkang. Tetapi kalau pendapat dari rakan-rakan mereka sendiri, walaupun tidak baik, tidak berfaedah dan sebagainya, mereka telah menerima.

Mungkin orang-orang yang berasal dari kampung-kampung di luar bandar, terutama petani-petani masih ingat, iaitu sebelum Ghazali Jawi memegang jawatan Menteri Pertanian Malaysia pada tahun 1970 - 1974, dalam sawah padi di seluruh Malaysia terdapat banyak ikan keli, haruan, puyu, sepat dan berbagai jenis ikan dan hidupan lain. Petani-petani tidak susah-susah membeli ikan di pasar kerana terdapat banyak ikan dalam sawah mereka. Tetapi apabila Ghazali Jawi menduduki kerusi Menteri Pertanian, semua sawah di seluruh negara kira telah pupus ikan. Semua jenis ikan sawah seperti keli dan sepat dan terpaksa diimport dari Siam.

Pada satu hari Ghazali Jawi telah melawat kawasan Padang Rengas, aku telah menginterviewnya mengenai isu kepupusan ikan-ikan dalam sawah kerana beliau telah membenarkan racun rumpai dari Jepun digunakan oleh petani-petani di Malaysia. Sebaik-baik sahaja dia mendengar pertanyaan dan keteranganku, dia lantas naik berang dan telah memarahi aku.

Aku melihat Penasihat khasnya, Wahi Anwar1 gelisah dan warna wajahnya berbaur merah dengan putih.

...Encik Mokhtar, mike wartawan, ...jangan nak campur urusan saya, ....saya Menteri Kerjaan Pusat, ...soal racun bukan tanggung jawab wartawan macam mike...,”kata Ghazali Jawi kepada saya.

...saya wartawan, Tan Sri, ...saya bertangungjawab kepada orang ramai..., pertanyaan saya ini adalah isu penting bagi kaum tani..., ada sangkut paut dengan ekonomi negara,” aku berkata kepadanya.

Aaah, saya tak nak jawab,...no comment...,”katanya dengan wajah merah padam.

Beberapa bulan yang lalu, aku telah membaca satu surat berita dari Tokyo mengenai sebuah syarikat membuat racun rumpai di negara Jepun telah menghantar wakilnya ke Malaysia untuk menemui Menteri Pertanian, Ghazali Jawi, untuk memohon jasa baiknya bagi mengimportkan racun rumpai keluaran syarikat mereka ke negara ini.

Berita itu menjelaskan, Parlimen Jepun telah mengharamkan petani-petani menggunakan racun rumpai, kerana semua orang Jepun telah menjadi ’penting’ memakan ikan air tawar. Disegi ekonomi pula, kalau racun itu digunakan, negara tersebut akan mengalami kerugian beribu- ribu yen sehari kerana ketiadaan ikan dalam sawah.

Mereka mengambil kira, misalnya seorang petani Jepun telah menangkap ikan dalam sawah mereka pada tiap hari bernilai RM3, kalau 10,000 petani, maka jumlah wang mereka yang selamat sebanyak RM30,000 sehari. Kalau ikan dalam sawah mereka telah pupus, maka mereka terpaksa membelanjakan wang yang banyak untuk membeli ikan pada tiap-tiap hari.

Wahi Anwar telah memberi isyarat kepadaku dengan matanya. Aku telah mengalihkan pertanayaan kepada isu lain yang tidak menarik.

Kemararahan Ghazali Jawi tidak lama. Marah orang panas baran; sebelum aku meninggalkan majlis itu, dia telah meminta maaf kepadaku.

Kerajaan Perak pimpinan Haji Kamaruddin Mat Isa telah menghantarku sebagai wakil negeri itu ke Perayaan Hari Sastera di Kuala Terangganu. Beberapa orang dari persatuan-persatuan penulis di negeri Perak telah menyertai aku ke sana. Seorang mereka itu, ialah wakil dari Persatuan Penulis dan Peminat sastera Kinta (PESAKA), Cek Adibah Affendi (kini berkhidmat di RTM Kuala Lumpur).

Kali yang kedua Kerajaan Negeri Perak telah menghantarku ke Perayaan Hari Puisi, di Johor Bharu. Mereka yang ikut serta, ialah anggota Exco Kerajaan Negeri, Allahyarham Ustaz Masu’ud Untoi, Ismail Long (RTM Ipoh) dan Allahyarham Nasaruddin Abu Bakar (Utusan Melayu Biro Ipoh).

*** ***

Sekitar tahun 1977 dua buah parti pembangkang, Democratic Action Parti2 (DAP) dan Parti Islam SeMalysia(PAS) telah memberi tentangan yang hebat kepada UMNO dan Barisan Nasional.Kalangan UMNO Perak telah menjadi resah. Lebih-lebih lagi beberapa orang bekas wakil rakyat UMNO yang telah tidak dipilih semula untuk bertanding telah melakukan sabotaj terhadap UMNO. Seorang dari mereka, ialah Sufian Mohd.Sham dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (Kampung Gajah). Calon UMNO bagi kawasan itu ialah, Ramli Ngah Talib.

Pihak Ibu Pejabat UMNO Malaysia, telah mengarahkan Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak, supaya mencari jalan untuk melumpuhkan parti-parti pembangkang, iaitu melakukan sesuatu tindakan agar calon-calon mereka tidak mendapat kemenangan.

Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak, Tan Sri Haji Ahmad Azizuddin bin Zainal Abidin telah berunding dengan aku mengenai perkara tersebut. Dia telah meminta aku mengambil bahagian membantu UMNO negeri itu. Aku telah memberi syarat, bahawa aku hanya boleh melaksanakan kehendaknya terhadap DAP, tetapi aku tidak dapat melakukannya terhadap PAS. Aku tidak mahu melakukan terhadap PAS, kerana parti politik itu berjuang untuk menegakkan Negara Islam. Aku tahu sesiapa yang menentang perjuangan manusia untuk agama Islam, dia akan dilaknat oleh Allah.

Setelah syaratku diterima dan peruntukan wang telah diadakan, maka sebuah pejabat ’Gerakan ala Gestapo’ telah diadakan di sebuah banglo, di Jalan Kampar, dalam Bandar Ipoh. Aku telah dilantik menjadi ketua operasi tersebut.

Peristiwa itu telah berlaku dalam musim pilihanraya 1977, iaitu kali pertama Tan Sri Ramli Ngah Talib bertanding dalam kawasan Dewan Undangan Negeri(Kampung Gajah). Dalam menghadapi pilihanraya itu, dalam UMNO bahagian Pasir Salak dan beberapa buah cawangannya telah berlaku sedikit pergolakan kerana pihak bekas ahli Dewan Undangan Negeri (Kampung Gajah) yang sebelumnya, Encik Sufian Mohd. Sham tidak puas hati.

Ramai dari ahli-ahli dan para penyokong UMNO itu telah bertindak menyokong calon DAP yang bertanding dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (Kampung Gajah), Encik Zainal Abidin bin Mat Nusi, seorang ahli perniagaan dan pemilik kelab hiburan dalam bandar Ipoh.

DAP juga telah meletakkan beberapa orang calonnya yang terdiri dari orang-orang Melayu, di antaranya, di kawasan Dewan Rakyat (Bagan Serai), Dewan Undangan Negeri (Semanggul) dan Dewan Undangan Negeri (Lubuk Merbau).

Dalam menghadapi keadaan yang gawat dalam kawasan-kawasan itu, Menteri Besar, Allahyarham Dato’ Sri Haji Kamaruddin bin Haji Mat Isa telah mendapat ’lampu hijau’ dari pucuk pimpinan UMNO Pusat untuk melaksanakan satu langkah untuk melumpuhkan pengaruh DAP dalam kawasan-kawasan pilihanraya yang gawat itu.

Haji Kamaruddin telah berunding dengan pihak tiga orang-dua ahli politik dari UMNO dan seorang wartawan. Kemudian ketiga-tiga orang itu menjalankan tindakan ’gestapo politik’ untuk memujuk calon-calon DAP itu supaya tidak menjalankan kempen dan menarik diri dari bertanding.

Sebuah bilik gerakan ’Gestapo politik’ telah diadakan di sebuah banglo, di Jalan Kampar dalam Bandar Ipoh. Dalam bilik gerakan itulah wartawan tersebut telah menjalankan peranan-peranan untuk melumpuhkan DAP dalam pilihanraya tersebut di seluruh negeri Perak.

Langkah pertama yang mereka lakukan, ialah memujuk Ketua DAP Perak (Melayu), Encik Daeng Ibrahim supaya meletakkan jawatan dan pulang ke negeri asalnya, iaitu Johor. Langkah yang kedua memujuk calon DAP dalam kawasan Kampung Gajah, Encik Zainal Abidin bin Mat Nusi, calon DAP kawasan Semanggul, Encik Abu Samah Majid dan calon DAP kawasan Lubuk Merbau, Encik Abdul Karim Lan.

Ketiga-tiga calon DAP itu telah datang menemui wartawan tersebut di bilik gerakan ’Gestapo Politik’ dan mereka telah menandatangani surat peristiharan menarik diri dari bertanding. Kemudian mereka telah menghadiri satu sidang akhbar yang diaturkan oleh wartawan ’Gestapo Politik’ itu.

Semua calon-calon DAP itu tidak pulang ke rumah msing-masing. Mereka tinggal dalam bilik-bilik khas dalam banglo tersebut.

Untuk memujuk calon DAP, Encik Abdul Karim Lan agak sukar sedikit, kerana beliau berkeras untuk terus bertanding disebabkan para penyokongnya termasuk ahli DAP Kampung Cheh, Kati, mahu dia bertanding walaupun dengan risiko ’kalah menjadi abu’.

Wartawan ’Gestapo Politik’ telah mengambil langkah mengundang lebih empat puluh orang pemuda-pemuda Melayu ahli DAP di Kampung Cheh untuk menemuinya di bilik gerakan ’Gestapo Politik’, di Ipoh. Mereka telah datang dengan sebuah bas yang disewa khas.

Dalam perrtemuan itu mereka telah mengisytiharkan keluar beramai-ramai dari DAP. Peristiharan mereka itu kemudiannya telah disiarkan oleh media – akhbar dan RTM. Hasilnya, calon-calon UMNO di Kampung Gajah yang menyokong DAP telah kembali menyokong calon UMNO – Barisan Nasional -Ramli Ngah Talib.

Semenjak perisytiharan itulah orang Melayu kian kurang menyokong DAP dan hingga kini orang-orang Melayu yang menyokong DAP sangat sedikit.’3

Pada sekitar tahun 1970 – 1980-an, penduduk-penduduk Melayu di sekitar kawasan pinggir Bandar Ipoh, kebanyakkannya terdiri dari mereka yang berpendapatan kecil dan mereka tinggal di rumah-rumah dalam kawasan setinggan, iaitu menduduki tanah kerajaan negeri (state lands) tanpa kebenaran. Di antara kawasan-kwawsan tersebut, ialah Pasir Putih, Pangkalan Pegoh, Seri Kinta, Manjoi, Buntong, Tambun dan Bercham.

Pada pandangan para pegawai pejabat Tanah dan Galian Negeri Perak, semua setinggan terdiri dari manusia-manusia yang tidak diingini, rumah-rumah mereka mesti dirobohkan. Kebanyakan wakil rakyat pihak kerajaan melihat mereka sebagai satu kumpulan insan yang menyusahkan mereka dan kerajaan.

Aku melihat semua setinggan sebagai kumpulan insan yang memberi guna kepada kerajaan dan parti-parti politik yang mempunyai pandangan yang jauh ke hadapan, di antaranya:

( 1 ) Sebelum mereka pindah ke bandar, mereka hidup sebagai orang-orang kampung yang mempunyai pendapatan terlalu rendah, secara rata pendapatan mereka kira-kira antara RM50.00 dengan RM 120.00 sebulan. Nama mereka tidak wuud dalam buku daftar pembayar cukai pendapatan.

( 2 ) Setelah mereka tinggal sebagai setinggan dan bekerja dan bergaji atau berniaga sebagia peniga kecil, mereka telah menguntungkan kerajaan, kerana mereka termasuk dalam golongan rakyat yang membayar cukai pendapatan.

( 3 ) Menambahkan bilangan penduduk bandar yang membantu kerajaan meluaskan kawasan bandar dan diperbandarkan. Mereka menjadi rakyat yang menjadi pembeli atau pelanggan yang membantu peniaga-peniaga dalam bandar dan dengan demikian menjadikan para peniaga itu terpaksa menambah jumlah cukai pendapatan mereka kepada kerajaan.

( 4 ) Masyarakat setinggan menambahkan bilangan pengundi Melayu dalam kawasan bandar dan menguntungkan parti- parti politik dalam sesuatu pilihanraya. Contohnya, banadar-bandar yang kurang bilangan penduduk Melayu, seperti beberapa kawasan di Pulau Pinang, Ipoh, Kuala Lumpur dan banar-bandar lain UMNO sukar mendapat kemenangan dalam setiap kali pilihanraya diadakan.


Pada tiap-tiap kali pilihanraya, aku telah ditanya oleh kebanyakan pengundi Melayu dalam kawasan-kawasan setinggan, iaitu calon-calon parti manakah yang baik mereka memberi undi. Aku memberitahu kepada mereka, iaitu yang baiknya mereka mengundi calon-calon parti pembangkang. Kalau kawasan yang ramai pengundi Melayu, wakil rakyat dari parti kerajaan terdiri dari orang- orang bukan Melayu, maka mereka sukar mendapat bantuan pembangunan dan sebagainya dari wakil rakyat mereka. Tetapi kalau wakil rakyat itu dari parti pembangkang, maka mereka mudah mendapat dari kerajaan untuk tujuan pembangunan dan kebajikan di tempat mereka

Peruntukkan wang bagi pembangunan dan kebajikan dalam semua kawasan Dewan Rakyat yang diwakili oleh pihak parti pembangkang, disalurkan kepada Pegawai Daerah dan tidak kepada wakil rakyat. Maka mudahlah penduduk-epnduduk mendapatkan bantuan wang untuk pembangunan dan kebajikan.

Ramai orang Melayu dalam kawasan Dewan Rakyat yang diwakili oleh orang bukan Melayu dari parti Kerajaan, mereka sukar mendapat bantuan dari pihak kerajaan, seperti bantuan kebajikan dan yang berhubungan dengan agama Islam seperti untuk surau dan sebagainya.

Sebenarnya hingga pada waktu aku menulis buku ini (Ramadan 1426) masih wujud rasa perkauman di kalangan mereka dalam parti-parti politik yang menyokong kerajaan masih menebal dan sukar dikikis.


1 Wahi Anwar ialah bekas ahli Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM).Setelah parti itu

diharamkan, ditubuhkan pula badan gantinya, iaitu Pencinta Tanah Air (PETA) dan dia telah

diangkat mengetuai badan baru itu.Kemudian dia meneruskan perjuangannya dengn rakan-

rakannya dan bersama Parti Komunis Malaya. Dia telah menyerah diri. Kemudian berkhidmat

dalam Kementerian Pertanian.

2 Parti itu serpihan dari Peoples Action Party (PAP) Singapura. Pada masa Singapura masih dalam Malaysia, parti politik pimpinan Lee Kuan Yew itu mempunyai ramai ahli di seluruh Malaysia. Setelah Singapura keluar dari Malaysia dan menjadi sebuah negara mereka, semua ahlinya di Malaysia telah keluar dan mereka telah menubuhkan parti Democrat Action Party(DAP). Pada masa itu semua ahli parti tersebut berkiblat ke Singapura.

3 Mokhtar Petah,1995, Kejayaan Bersama, Kuala Lumpur, Mata Publication, 1995, hlm.26,27,28.

(Suntingan dari buku, Memoir, Patah Sayap Bertingkatkan Paruh, oleh: Mokhtar Petah. - Editor, Petah Shahrir Aidid)


No comments: