Saturday, July 11, 2009

MENGENANG MASA SILAM

(Ulangan)
Jikalau aku bukan seorang penulis, tentulah aku tidak berpeluang bergaul dengan orang-orang istana Sultan Perak. Maka kerana aku seorang penulis, maka aku telah bersahabat dengan Sultan Perak, Sultan Idris Shah, adiknya Raja Ahmad Sarifuddin, Raja Ismail dan ADC (adikong) kepada Sultan, Raja Amir bin Raja Razman dan adiknya, Raja Dam (Panglima Perang Istana) serta beberapa orang anak raja lagi.
Memang telah menjadi tradisi dalam isntitusi Raja-Raja Melayu, tidak ada seorang pun rakyat biasa, lebih-lebih lagi yang tidak memiliki sebarang kedudukan, boleh bebas masuk ke dalam istana Raja dengan tidak ada sebab-sebab yang tertentu, dan mendapat perkenan oleh Sultan.
Pada suatu hari, dalam bulan Februari tahun 1962, Sultan Idris Shah telah mengajak aku mengikutinya ke Kuala Lumpur. Itulah pertama kali aku mengikuti rombongan Sultan Perak. Kami tinggal selama dua hari dan dua malam di Istana Perak, dekat Jalan Duta, Kuala Lumpur.
Pada malam pertama tinggal di Istana Perak, aku telah keluar ke sebuah warung makanan, di Jalan Raja Muda. Di situ aku telah bertemu dengan Ahmad Boestamam, Ketua Parti Rakyat Brunei, A.M.Azahari dan Mansor Tobeng, orang kuat Parti Rakyat Kedah. Kami telah minum teh dan makan roti canai, di warung tersebut.
Pada waktu makan di warung itu, kami telah bercakap mengenai perjuangan rakyat Brunei menuntut kemerdekaan dari British. Dalam percakapan itu, aku telah memberi pendapatku kepada A.M Azahari, iaitu supaya dia dan ahli-ahli Parti Rakyat Brunei (PRB) mengadakan revolusi menuntut kemerdekaan Brunei. S.M. Azahari telah setuju dengan pendapatku itu. Manakala Ahmad Boestamam telah menyokong dan mennyifatkan pendapatku itu ’praktikal’.
”...kalau bong, ...rakan-rakan kita di Brunei tu tunggu orang putih beri kemerdekaan, sampai kucing bertanduk pun tak akan ada, ...yang baiknya seperti pendapat Mokhtar ini,” kata Ahmad Boestamam.
Aku dan Ahmad Boestamam telah mencadangkan kepada A.M.Azahari1, apabila tertubuhnya Negara Kesatuan Kalimantan Utara(NKKU) – Brunei, Sarawak dan Sabah -, seperti yang diperjuangkan oleh Parti Rakyat Brunei, maka Sultan Brunei, Sultan Omar Ali Saifuddin diangkat menjadi menjadi Presiden Negara Republik Kalimantan Utara.
”Brunei akan jadi sebuah republik, no more monarchy..., no more monarchism...”kata Ahmad Bostamam.
A.M. Azahari telah bersetuju dengan pendapat aku. Dia telah bersungut kepada kami, iaitu revolusi itu boleh dilakukan, tetapi Parti Rakyat Brunei (PRB) tidak ada wang untuk mengadakan alat kelengkapan termasuk pakaian-pakaian seragam (uniform) untuk tentera revolusi- Tentera Nasional Kalimantan Utara (TNKU).
Aku telah berjanji kepada A.M.Azahari, bahawa aku akan memaklumkan kepada Sultan Brunei, apabila Sultan Brunei datang menemui Sultan Idris, di Istana Perak pada malam esok.
A.M.Azahari telah menegaskan kepada kami, iaitu sekiranya Sultan Brunei telah berkenan menganugerahkan dermanya kepada Parti Rakyat Brunei (PRB), revolusi menuntut kemerdekaan Brunei dari British akan diadakan segera.
Pada waktu kami akan meninggalkan Warong itu, Ahmad Boestamam telah menyedapkan hati A.M.Azahari, bahawa aku akan kemukakan perkara revolusi Brunei itu kepada Sultan negeri itu.
Pada malam esoknya, iaitu pada ketika aku makan bersama Sultan Idris Shah, Sultan Omar Ali Saifuddin dan dua Orang Besar-Besar Negeri Perak, Dato’ Othman Talib dan Dato’ Syed Ahma Jamalullail, di Regent’s Hotel, Kuala Lumpur, aku telah memaklumkan kepada Sultan Brunei akan hasrat A.M. Azahari untuk mengadakan revolusi Brunei dan mengangkat Baginda menjadi presiden Republik Kalimantan Utara.
Aku juga telah memaklumkan kepada Baginda yang A.M Azahari memerlukan wang untuk belanja mengadakan revolusi itu. Sultan Idris Shah telah tertarik hati dengan hasrat A.M.Azahari itu. Baginda telah mengesyorkan kepada Sultan Omar Ali Saifuddin supaya mendermakan wang Baginda kepada Parti Rakyat Brunei. Sultan Brunei telah mengaku akan menyumbangkan wang Baginda kepada Parti Rakyat Brunei kira-kira RB1.4 juta (mata wang Brunei).
Kira-kira tiga bulan kemudian, Aku telah dimaklumkan, bahawa Sultan Brunei telah mengadakan pertemuan dengan S.M.Azahari dan beberapa orang anggota Partik Rakayat Brunei (PRB).Baginda telah menyerahkan wang $1.4 juta kepada mereka.
Malangnya, pertemuan rahsia mereka itu telah dibocorkan kepada pihak British oleh seorang pegawai kanan Kerajaan Brunei yang telah hadir dalam pertemuan itu. Revolusi anjuran Parti Rakyat Brunei pada 8 Disember 1962 telah mengalami kegagalan.2 Kecuali A.M.Azahari, semua anggota-anggota parti itu dan ahli-ahlinya telah ditangkap oleh polis dan tentera Brunei-British. Undang-undang darurat telah diisytiharkan ke seluruh Negeri Brunei dan perintah berkurung telah dikuatkuasakan di seluruh negeri itu.
’Sebaik sahaja Proklamasi 8 Disember 1962 diumumkan, Pesuruhjaya Polis, A.N.Autram dengan segera mengistiharkan perintah berkurung (curfew) di seluruh negeri mulai jam enam petang sampai enam pagi.’3 Langkah ini membolehkan pihak Polis Diraja Brunei mengambil tindakan keselamatan di sekitar tempat dan kawasan terancam, seperti Ibu Pejabat Polis Diraja Brunei, Istana Darul Hana, Rumah Terambak, Balai Polis Kuala Belait dan Panaga.Setelah keadaan darurat diisytiharkan dan kerajaan mempunyai bukti bahawa ’pendurhakaan di Brunei telah dianjurkan dan hasut oleh suatu kumpulan fanatik di dalam parti (Parti Rakyat) tersebut dengan tujuan besarnya hendak menggulingkan kerajaan dengan kekerasan senjata dan selepas itu menubuhkan sebuah Kerajaan Republik di negeri itu, dan kuatkuasa Undang-Undang Pertubuhan, Menteri Besar telah mengharam PRB sebagai sebuah organisasi politik mulai tanggal 10 Disember 1962.4

Parti Rakyat Brunei(PRB) dianggotai oleh:
1 - Presiden...............................A.M.Azahari
2 - Timbalan Presiden.............. Haji Zaini Haji Ahmad
3 - Setiausaha Agung.............. Jasin Afanddy
4 - Bendahari.......................... Sheikh Saleh Sheikh Mahmud
5 - Ahli Jawatankuasa............ Ghani bin Metussin
6 - ” ........... Ak.Hamzah Pg.Seleh
7 - ” ............ Ahmab bin Yakob.
8 - Ketua Biro Politik............ A.M.Azahari
9 - Ketua Biro Ekonomi........ Haji Zaini Haji Ahmad
10- Ketua Biro Sosial................. Umar Tamin
11- Ketua Biro Penerangan........... Osman Latif5
12 - Ketua Biro Organisasi........ Samad Jamaluddin
13 - Ketua Biro Pertanaian
dan Perikanan.....................Yusof Ibrahim
14 - Ketua Pemuda....................... Murshidi Othman
15 - Ketua Wanita....................... Rogayah Abdul Rahman.
(Suntingan dari buku,Memoir, Patah Sayap Bertongkatkan Paruh, oleh: Mokhtar Petah – Editor, Petah Shahrir Aidid).

No comments: