Sunday, July 5, 2009

MENGENANG MASA SILAMN


Mokhtar Petah

(Ulangan)

Aku percaya sedikit benar daripada orang-orang UMNO pada tahun 1951 hingga Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, dan kini yang telah mengetahui akan keadaan Tunku Abdul Rahman dan isterinya, Sharifah Radziah yang ’hidup susah’ dan terpaksa ’bergadai bergolok’, setelah dipilih menggantikan Onn Jaafar, memimpin parti tersebut.

Pada satu pagi 8 September 1954 –hari menandatangani Perjanjian Kerjasama Pertahanan Siutheast Asia Trearity Organanizaation(SEATO), di Manila, antara Amerika, Britain, France, Australia, New Zealand, Philippina, Pakistan dan Thailand - , Haji Ahmad Badawi telah mengajak aku pergi ke rumah Tunku Abdul Rahman, di Telaga Air, iaitu berhampiran dengan jalan Kepala Batas – Butterworth.

Pada hari itu Tunku Abdul Rahman baru pulang dari Perlis. Pada tahun itu Tunku Abdul Rahman telah tinggal di Kuala Lumpur dan dia sering menemui anggota-anggota Jawatakuasa Agung UMNO di New Hotel, Jalan Raja Muda, Kuala Lumpur.

”...ghumah ni, jadi kenangan saya seumuk hidup,” kata Tunku Abdul Rahaman kepada kami.

Kami telah bercakap-cakap dengan Tunku Abdul Rahman kira-kira setengah jam. Dalam percakapan itu Tunku telah berkali-kali meminta aku dan penuntut-penuntut sekolah agama rakyat supaya membantu perjuangan orang Melayu menuntut kemerdekaan.

Dalam percakapan itu, aku telah dapat mempelajari ’suka dan duka’ Tunku Abdul Rahman setelah dia dipilih untuk memegang jawatan Yang Dipertua Agung United Malay National Organisation(UMNO) – Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu.

Persidangan Agung UMNO tahun ke enam telah diadakan di Hotel Majestic, Kuala Lumpur, pada 25 dan 26 Ogos 1951. Persidangan itu telah dihadiri oleh 68 orang wakil dan 11 pegawai dan ahli jawatanakuasa.Persidangan tersebut telah memilih Tunku Abdul Rahman untuk memegang jawatan Yang Dipertua Agung UMNO menggantikan Onn Jaafar.

Tunku telah berjaya menyandang[1] jawatan Yang Dipertua Agung UMNO dengan 57 undi dan mengalahkan C.M. Yusof [2](Perak) yang mendapat 11 undi dan Haji Ahmad Fuad bin Hassan (Perak) 7 undi.

Kejayaan Tunku Abdul Rahman memegang jawatan Yang Dipertua Agung UMNO mulai 26 Ogos 1951, telah menyebabkan dia hilang kemewahan hidup sebagai anak Raja berdaulat dan terpaksa keluar sebagai rakyat biasa dari Istana peninggalan ayahandanya.

Dalam keadaan ’suka dan duka’ itu Tunku telah menjadi seorang yang tegar berjuang dan memimpin bangsanya dan kaum-kaum ’pendatang’ menuntut kemerdekaan Tanah Melayu dengan cara runding-rundingan.

Pada masa itu, saudara kandung Tunku Abdul Rahaman, iaitu Sultan Badli Shah (1943-1958). Sultan Badli Shah tidak suka kepada kemerdekaan, tetapi Baginda membangkang atau menghalang orang-orang Melayu menuntut kemerdekaan dari British.[3] Walau bagaimana pun sebagai seorang Raja berdaulat, Baginda tidak sukakan saudaranya, Tunku Abdul Rahman berjuang dan memimpin UMNO.

Sekembalinya Tunku Abdul Rahman dari Kuala Lumpur, ke Istana Sultan, di Alor Setar, pada malam hujung bulan Ogos 1951, bukanlah disambut oleh saudaranya dengan perasaan gembira, tetapi sebaliknya, Sultan Kedah telah memerintahkan dia meninggalkan istana tersebut dengan serta merta.

Pada ketika Tunku Abdul Rahman menerima perintah dari saudara kandungnya itu, Allah sahajalah yang mengetahui betapa sedih hatinya. Aku telah merasakan seperti pantun berikut ini:

Buah selasih di atas batang,

Sudah dipetik jangan dibawa,

Jangan dibawa ke dalam perahu;

Mencurah kasih tempat tak sayang,

Orang ketawa kita ketawa,

Orang benci kita tak tahu.[4]

Apa hendak dikatakan, perintah itu perintah Raja. Bukan madah kasih dari saudara. Maka pada malam itu juga Tunku bersama isterinya, Sharifah Radziah dengan hati yang pilu, telah keluar dari istana itu dengan sekadar membawa sedikit pakaian masing- masing sahaja.

Tunku dan isterinya telah menaiki keretanya yang dipandu oleh Sayed Ahmad menuju ke sebuah rumah kecil, di Telaga Air. Pemimpin Melayu itu bersama isterinya telah menumpang di rumah tersebut seperti pantun:

Kelemunting di tanjung Pauh,

kapal sarat dimuat jerami;

ada untung digantung sauh,

kalau tidak laratlah kami.[5]

Dari hari ke hari Tunku Abdul Rahman dan isterinya tinggal menumpang di rumah kecil itu, mereka telah mengalami kepicitan wang untuk keperluan mereka. Kepicitan itu disebabkan wang simpanan mereka telah kehabisan. Semua wang elaun sara hidup dan wang sewa rumah-rumah peninggalan ayahanda Tunku di Pulau Pinang telah ditahan oleh Sultan Kedah. Tunku telah mencapai ’nama yang agung tetapi poketnya kosong’.

Tunku Abdul Rahman memerlukan wang untuk makan minum mereka sekeluarga dan untuk meneruskan perjuangan menuntut kemerdekaan tanahair. Maka Tunku terpaksa ’bergadai-bergolok’, iaitu menggadaikan barang-barang kemas isterinya di kedai-kedai pajak gadai. Pemandu dan sekali gus pengawal peribadi Tun, Syed Ahmad telah menolong Tunku menggadaikan barang-barang kemas itu di kedai Pajak gadis di pekan Kepala Batas dan Butterworth. Dengan wang yang didapatinya itu, dia telah meneruskan perjuangannya.[6]

Pada hari itu aku telah melihat keadaan rumah tumpangan Tunku Abdul Rahman itu. Walaupun ada paip air, tetapi airnya tiada dan dia dan keluarganya terpaksa menggunakan air telaga yang payau kerana bekalan air telah dipotong sebelum Tunku menumpang di situ. Semua lampu letrik telah lama. Kipas-kipas angin telah tua yang bila dipasang riuh rendah bunyinya.

Di bahagian dapur, ada sebiji kuali, sebiji periuk, enam biji pinggan dan lima biji piring tua, sebiji dua dari pinggan-pinggan itu telah sumbing. Manakala beberapa biji cawan telah tidak bertangkai lagi.

Bilik tempat tidur Tunku dan isterinya, sebuah katil tua bertilamkan tilam kekabu (kapok) yang telah usang. Sebuah meja tulis dan dua buah kerusi yang telah tua terletak dalam sebuah bilik. Manakala dalam bilik tamu ada empat buah sofa tua dan tilamnya telah banyak cariknya.

Aku kira, kalau boleh, aku berharap; setiap warga negara Malaysia yang telah mengecap nikmat Allah dari bumi merdeka ini, hendaklah mengenangkan jasa Tunku Abdul Rahman, misalnya mengadakan sebuah dana khas menggunakan namanya. Dana itu untuk membantu pelajar-pelajar miskin melanjutkan pelajaran tinggi dan sebagainya.

’Sekarang Tunku telah meninggalkan kita. Kemangkatan Tunku menimbulkan kekosongan di kalangan rakyat Malaysia. Sungguhpun beliau sudah pergi dulu dan tidak akan kembali lagi, tetapi lagenda perjuangannya masih wujud dalam jiwa kita. Rakyat Malaysia dari berbagai keturunan dan agama hendaklah senantiasa memperingati perjuangan almarhum, iaitu perpaduan rakyat.’[7]

Sebuah dewan bernama ’Dewan Tunku Abdul Rahman’ di Jalan Ampang, Kuala Lumpur, telah dihapuskan nama agung itu pada papan tandanya dan digantikan dengan nama lain. Dan kini telah dijadikan pusat pelancongan.

(Sedutan dari buku, Memoir, Patah Sayap Bertongkatkan Paruh, oleh: Mokhtar Petrah. – Editor, Petah Shahrir Aidid)


[1] Haji Ahmad Fuad Hassan ialah telah jawatan Pengerusi Jawatankuasa Hal

Ehwal Agama Islam dan Adat Istidat Melayu dalam UMNO pada masa Onn bin Jaafar

masih menjadi Yang Dipertua Agung UMNO. Pada hari UMNO mengdakan majlis

kesyukuran menyambut Hari Persekutuan pada tahun 1951, beliau telah mengarang doa

kesyukuran bagi pihak pejabat Setisuaha Agung UMNO.Beliau telah menafikan tohman

orang –orang UMNO, bahawa beliau telah keluar dari UMNO dan menubuh PAS kerana

beliau telah kalah di tangan Tunku Abdul Rahman untuk merebut jawatan Yang Dipertua

Agung dengan mendapat 7 undi.Haji Ahmad Fuad telah meberitahu aku dalam satu temu bual

aku dengannya. Beliau telah menubuhkan PAS, kerana beberapa sebab, di antaranya:

( 1 ) Tunku Abdul Rahman dan orang-orangnya ’lembut telinga’ dengan

British dan pendatang-pendatang.

( 2 ) Banyak perkara penting berhubungan dengan orang Melayu tidak

dirundingkan dengan pihak Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan

Adat Istidat Melayu dalam UMNO.

[2] C.M Yusof telah memegang jawatan Sepeaker Dewan Rakyat setelah Persekutuan Tanah

Melayu mencapai kemerdakaan.

[3] Buyong Adil, 1980, Sejarah Negeri Kedah, Kuala Lumpur, Dewan Bahasan dan Pustaka,

hlm.85.

[4] Zainal Abidin Bakar, 1992, Kumpulan Pantun Melayu, Kuala Lumpur, Dewan Bahasan dan

Pustaka, hlm, 326,327.

[5] Awang Sulung Merah Muda, hlm.77.

[6] Mokhtar Petah,1997, Sheikh Abdullah Fahim Penentu Tarikh Kemerdekaan Negara 31 Ogos ’57,

Kuala Lumpur, Pustaka Antara Sdn.Bhd.

[7] Sharif Ahmad, 1991, Tunku Abdul Rahman Memoir Patriotik, Kuala Lumpur, Penerbitan

Pustaka Antara, hlm.152.


(Suntingan dari buku, Momoir, Patah Sayap Bertongkatkan Paruh, oleh: Mokhtar Petah. Editor, Petah Shahrir Aidid)

No comments: