Anwar mahu siasatan isu Kampung Buah Pala disegerakan
BUTTERWORTH: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu laporan siasatan mengenai isu Kampung Buah Pala disiapkan segera bagi membolehkan tindakan lanjut diambil bagi menyelesaikan isu itu.
Anwar yang juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) berharap Timbalan Ketua Menteri I, Mansor Othman yang mengetuai jawatankuasa yang ditubuhkan oleh kerajaan negeri bagi mencari jalan penyelesaian isu kampung itu dapat menyiapkan laporan mengenai perkara itu dengan kadar segera.
"Kerajaan negeri tengah cari penyelesaian. Harap Mansor jangan ambil masa terlalu panjang, dalam dua atau tiga hari boleh serahkan laporan itu kepada Exco dan Ketua Menteri (Lim Guan Eng)," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak di sini, hari ini.
Ditanya mengenai Lim yang masih belum menemui penduduk kampung itu, Anwar berkata adalah tidak adil untuk menuduh Ketua Menteri itu tidak memberi komitmen terhadap masalah penduduk kampung itu hanya kerana Lim tidak menemui mereka.
"Mungkin kalau boleh, beliau (Lim) jumpa (penduduk), tapi yang lebih penting daripada turun (jumpa penduduk) ialah jaminan ketua menteri untuk siasat perkara itu dan cari jalan penyelesaian," katanya.
Mengenai isu pemecatan Ahli Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), Johari Kassim, Anwar berkata ia akan dibincangkan oleh PKR negeri dan kerajaan negeri.
Johari dilucutkan jawatan kerana mengetuai tindakan memulaukan majlis angkat sumpah Yang Dipertua MPSP yang baru, Mokhtar Mohd Jait, seorang penjawat awam, baru-baru ini.
Tindakan Johari dan beberapa ahli majlis dari PKR itu dikatakan berpunca daripada perasaan tidak puas hati mereka terhadap Lim yang tidak berunding mengenai pelantikan itu sedangkan persetujuan yang dicapai sebelum ini adalah supaya pemimpin politik dari PKR dilantik ke jawatan itu.
Ditanya mengenai dakwaan keretakan hubungan antara parti dalam pakatan pembangkang berikutan beberapa isu yang berlaku di Kedah dan Pulau Pinang akhir-akhir ini, Anwar berkata isu yang berlaku itu tidak meretakkan hubungan mereka.
Beliau berkata hubungan antara parti dalam pakatan pembangkang masih erat. -(Berita ini diambil dari Berita harian Online - Bernama, 5 Julai 2009)
************************************************************************************************************
Azizan bidas DAP Kedah
ALOR SETAR 4 Julai - Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak membidas DAP Kedah kerana didakwa membuat tuduhan tidak berasas terhadap kerajaan negeri selain bertindak seolah-olah hanya parti itu sahaja yang berjuang untuk kaum Cina di negeri ini.
Malah, beliau membayangkan tindakan pemimpin DAP itu berkemungkinan sengaja mahu mencetuskan isu perkauman di samping menimbulkan perasaan kebencian pelbagai kaum terhadap beliau sebagai ketua kerajaan negeri.
Katanya, dakwaan DAP Kedah menerusi pengerusinya, Thomas Su bahawa kerajaan negeri merancang merobohkan kuil-kuil Hindu dan tokong Cina tidak berasas sama sekali kerana beliau sendiri tidak tahu-menahu mengenainya.
"Saya tidak kata fitnah, tapi rakyat boleh menilainya. Saya sebagai Menteri Besar Kedah sendiri tidak tahu, Setiausaha Kerajaan Negeri tidak tahu. Tiba-tiba dia boleh beritahu kepada orang.
"Mungkin lagi satu dia nak cetuskan bagi kebencian pelbagai kaum kepada saya, mungkinlah," katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas mengiringi Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin sempena Istiadat Perbarisan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Siswa Diploma Kelas 2009 di Kolej Tentera Udara (KTU) Kepala Batas di sini hari ini.
Menteri Besar mengulas dakwaan Thomas semalam bahawa kerajaan negeri pakatan pembangkang pimpinan Pas bukan saja merobohkan pusat penyembelihan babi tetapi merancang untuk merobohkan kuil-kuil Hindu dan tokong Cina.
Dalam pada itu, ditanya adakah dakwaan dan tindakan DAP Kedah itu kerana sengaja hendak menimbulkan isu perkauman, Azizan berkata:
"Mungkin juga, berkemungkinan. Sedangkan DAP mengatakan dia berjuang bukan untuk satu puak (tetapi untuk) semua rakyat Malaysia. Jadi tindakan dia kali ini nampaknya berlainan dengan dasar dia."
Azizan turut mengingatkan DAP supaya tidak berasakan parti itu sahaja yang berjuang untuk kaum Cina tetapi parti-parti lain seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR), MCA dan Gerakan turut mewakili kaum tersebut.
Sementara itu, beliau memberitahu, sejak isu mengenai DAP Kedah keluar pakatan pembangkang di negeri ini diperkatakan Rabu lalu, pihaknya belum menemui kepimpinan parti berkenaan dan hanya mengetahui perkembangannya menerusi laporan media.
Azizan menambah beliau juga tidak tahu mengenai wakil tunggal DAP di negeri ini, Lee Guak Aik mengisytiharkan dirinya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berkecuali kerana tiada sebarang mesyuarat antara mereka diadakan setakat ini.
(Berita ini diambil dari Utusan Online, 5 Julai 2009)
No comments:
Post a Comment