Sunday, July 5, 2009

DARI NOVEL


KASIHIBUKU

Oleh: Mokhtar Petah


Ibuku, wanita berasal usul dari Melayu Pattani.

Dalam tubuhnya ada darah Melayu Campa.

Dalam dadanya ada iman yang kukuh kepada Yang Maha Esa.

Dia ibu solehah,

Ibu contoh.

Tubuhnya ada isi miskin lemak.

Banyak urat sarafnya.

Waja laksana besi Kharsani tulang temulangnya.

Merah warna darah ibuku.

Hatinya,hati perempuan Melayu taatkan Ilahi,

Mentalnya murni mengikuti sunnah nabi.

Murni jalan fikirnya.

Amal ibadat ibuku sejalan lurus dengan nabi,

seia sekata dengan Imam Shafie dan Ghazali.

Ada syurga bagiku di bawah tapak kaki ibu.

Demi Allah aku tak pernah berkat ‘uf ‘,

apatah lagi keta derhaka.

Tubuh ibu berbungkus dalam telekung putih laksana kapas dibusar. Fardu Isyak kudus baru sahaja ditunaikan dengan khusyuk lagi tawaduk’... Di hujung lafaz kalimat Allahu Akbar, ibuku berpaling kepadaku. Aku sedang duduk bersila sambil membaca buku; cerita Hang Jebat, di penjuru rumah kami yang bertiangkan dua belas puntung teras merbau dari rimba.

Rumah kami berlantaikan buluh, dindingnya dari buluh pelupuh. Atapnya daun rumbia kering tanpa lelangit.

Di situlah syurga kami – ibu, ayah, adik lelakiku dan aku.

Ibu mengorak senyum. Senyumannya laksana senyuman bidadari sedang berdiri di pintu syurga. Di hujung senyumnya yang panjang bagai pantai pesisir lautan pada waktu pagi,ibu berkata kepadaku:

“Lamin, …mak ikut cakap ayahmu, tok mu,…demo kata, mengaji agama Islam dulu, lepas tu baru mengaji bahasa orang putih.”

Aku diam. Ketaatanku kepada ibu melebihi segala-galanya. Aku mendengar madahnya yang kiramah..

“…kalau kita mengaji bahasa orang putih dulu, kita mudah jadi orang kafir, …jadi orang Serani,…Kristian,”madah ibuku lembut. Mesra.

Aku termangu. Diam. Bagai ikan betuk dalam tasik Cenderoh. Bagai batu tagar di lubuk sungai mengalir airnya dari gunung, di belakang kampung kami.

“Ayahmu kata, bahasa Arab bahasa Quran,bahasa Nabi Muhammad,…bahasa syurga,”kata ibuku.

“…ia, bahasa syurga,”aku mengaku.

Aku mengagguk - anggukkan kepalaku. Setia dan patuhku anak lelaki sulungnya.

Aku merenung wajah ibu dengan limpah ruah kasih sayang. Hati nuraniku mengaku akan madah beriman ibuku itu.

Ibu bercakap bersandarkan iman dan akidah. Bahasa dapat menukar rasa cinta seseorang kepada seseorang yang lain. Bahasa dapat mengubah keyakinan atau keimanan manusia kepada Maha Pencipta alam maya,pada nabi-nabi, kitab suci Quran dan kepada hari akhirat.

“…bahasa Arab, bahasa syurga, bahasa Quran, bahasa Nabi Muhammad,” ibuku mengulangi kata-katanya.

“…emak, sunguh, benar kata emak,”aku menyambut kata - katanya dengan patuh lagi ikhlas.

Dari banjaran gunung Bintang Hijau di belakang kampung kami,terdengar sayup-sayup bunyi kuang mengigal. Sekali sekala bunyi pungguk merindukan kekasih bersambut dengan bunyi kijang betina galak jantan di lereng gunung itu. Bunyi kuang, pungguk dan kijang bagai menguak kesunyian kampungku, kampung Kembang Semangkuk. Kampung tradisi yang terletak di dataran di bawah naungan banjaran gunung Bintang Hijau. Dulunya menjadi tempat singgah para pedagang Melayu Pattani yang bermusafir khana lalu lalang dari Legih,Remang dan Yalla ke Manjong dan Gangga Negara atau Beruas. Orang-orang Pettani itu dari keturunan Melayu Champa. Melayu tua beragama Hindu dan kemudian beragama Islam setelah salah seorang sahabat nabi Muhammad merantau ke sana.

Malam muda memeluk seluruh kampungku. Kampung dingin bedi. Sepi. Bagai gadis kehujanan dalam dangau beratap jerami di tengah sawah.

Aku merenung wajah ibuku.

“…Lamin dapat masuk sekolah Clifford, sekolah orang putih, emak,”aku berkata dengan suara lembut.

Ibu merenung kepadaku. Dia merenung seperti dia merenung wajahku pada ketika aku baru terluah dari pintu rahimnya yang diteran payah. Ibuku membuka telekung yang membungkus kepalanya. Senyumannya manis. Senyuman seorang ibu yang beriman kepada Allah. Kemanisan senyumannya itu terasa ada kemanjaan, kasih sayangnya kepadaku dan syurga yang menantiku di bawah tapak kakinya.

“Tak apa, ayahmu nak jumpa guru besar,Cikgu Buyong pagi esok. Dia nak tolak tawaran masuk sekolah Clifford tu,” ibuku berkata dengan nada suara memujukku.

Aku diam.

Hatiku terlonjak-lonjak dalam kegembiraan seperti gadis sunti mendapat anting-anting mutiara sejak aku belajar dalam darjah satu lagi, aku tidak ada cita-cita untuk belajar di sekolah Inggeris. Agung benar cita-citaku untuk belajar di sekolah agama. Orang-orang kampungku memberi nama sekolah agama itu sekolah Arab.

Semenjak aku belajar dalam darjah satu di sekolah Melayu, bilik darjah lantai berdebu,dinding kopak di sana sini, hingga darjah empat tempat guru - guru memuji raja British,aku sering mendengar kata-kata dari dua tiga orang guru yang memberi nasihat kepada murid-murid. Mereka menasihatkana murid-murid supaya tekun belajar. Seperti tekunnya penoreh getah pengadap pangkal getah tua setiap pagi Apabila murid-murid itu telah tamat dari sekoloah itu, mereka boleh makan gaji. Jadi kerani pejabat,kerani ladang getah orang putih atgaua jadi mandur. Pendeknya mereka digalakkan supaya makan gaji sepanjang hayat selagi mereka bergelar anak Melayu.

“…tengok cik gu, cikgu makan gaji, kawan-kawan cikgu jadi kerani,jadi mandur…,”kata cikgu Jamal yang jongang giginya.

Cikgu Yeop Lodin pula berkata “…makan gaji cepat kaya, hidup senang, tak macam orang – orang kampong tiap hari berkubang dalam sawak,..menyembah pangkal pokok getah.”

“…suami saya jadi mandur, abang saya jadi oderly tuan D.O., abang saudara saya jadi kerani tuak,” cikgu Yong Zaharah yang tubuhnya kaya isi.

“ Kamu semua mesti belajar rajin-rajin,… dapat jadi macam abang saya, macam suami saya,…macam abang saudara saya pandai cakap orang putih,”kata cikgu Yong Zahara lagi.

Pada zaman itu orang-orang Negeri Sembilan lebih suka bermenantukan lelaki yang bkerja polis dan askar Melayu daripada lelaki yang berjawatan hakim atau pegawai daerah. Orang-orang Melayu Hulu Perak lebih sukakan pemuda pekerja peon atau oderly menjadi menantu mereka dari pada pegfawai daerah,penghulu atau pegawai jabatan kerajaan.

Lain pula dengan penolong guru besar, cikgu Sharif. Dia mengajar dalam darjahku. Dia selalu menasihatkan kami supaya rajin belajar. Bila kami dah keluar dari sekolah itu dapat menyambu

pelajaran ke sekolah yang lebih tinggi lagi. Kami boleh menjadi pemimpin masyarakat, pemimpin orang-orang dalam negeri untuk menentang penjajah orang putih.

Cikgu Sharif mengajar kami, iaitu orang putih penjajah. Orang putih datang ke tanah Melayu kerana mencari kekayaan. Orang Cina penjajah. Orang India penjajah. Orang-orang itu datang ke tanah Melayu kerana hendak memungut rezeki Tuhan dari bumi ini untuk menyambung hidup mereka.

Kata cikgu Sharif,“…orang-orang tu penjajah. Negara kita jadi macam dalam pantun ni:

Dari mana kendak kemana,

tinggi rumput dari padai,

sini Cina sana Cina,

Malaya jadi pejak judi

Cikgu Sharif berkata lagi, “Orang kita jadi malang,bukan salah ibu menganedung,tetapi salah diri sendiri. Tok nenek kita jadi orang-orang baik budi,…dagang lalu ditanakkan…,atau kera di hutan dususui, anak dalam buaian mati kelaparan.

Orang dagang cari peluang dari budi baik tok nenek kita.Wajah dan bibir mereka manis bak madu, tetapi sikap mereka ibarat telunjuk lurus kelingking berkait. Akhirnya kita jadi orang menumpang atas bumi kita sendiri. Demikian maksud kata-kata cikgu Sharif

Guru penolong anti penjajah itu bercakap dengan wajahnya dibedak-lulutkan oleh warna kesedihan hatinya sendiri.

“…kamu semua tau, ibu bapa kamu hidup ibarat berselimutkan kain panjang lima,tutup kepala kaki telanjang,tutup kaki kepala terbuka…Bila makan dengan anak beranak, sambal dimakan dengan telunjuk berdiri, telan daun ulam mentah dari ranting muda rumput rampai,” cikgu Sharif berkata serius.

“Emak kamu semua mengandungkan kamu dengan payah, bila dah bersalin terpakasa berdiang tepi unggun api selama empat puluh hari,makan ubat dari daun- daun dan akar-akat kayu, tak ada masuk hospital,tak ada yang makan ubat moden…,tak ada vitamin…,”kata cikgu Sarif lagi macam orang berleter.

Wajah cikgu Sharif hilang dari otakku kerana ibuku berkata,“… kami nak hantarmu mengaji di sekolah agama,sekolah Arab…”

“Ia,emak,”sahutku.

Aku senyum menatap wajah ibu.Wajahnya, wajah wanita tani yang taqwa kepada Allah. Ibuku menjadi petani sepenuh masa.Penternak kambing,ayam dan itik. Ibuku tahu bahasa burung-burung pipit dalam sawah,tekukur dan ketitir di belukar. Suara dan ragam lotong kakah di hutan rimba..

“…burung pipit,ketitir, kambing,ayam,itik selalu sebut nama Allah, emak tahu…,”kata ibuku kepadaku pada suatu hari.

“Ayam jantan berkokok, kata, uzkurullah ya ghfilun, ingatkan Allah hai orang-orang lalai,” ibuku berkata seperti mengajar bahasa Arab kepadaku.

Ibuku tak pernah belajar di mana-mana sekolah. Dia buta huruf Rumi tapi tidak buta huruf Arab atau huruf Jawi. Dia boleh membaca dari alif hingga ya.Boleh membaca fatihah,ayat-ayat lazim ,surah Yasin hingga semua ayat-ayat Quranul karim.

Dari celah dua bibir mulut ibuku sering tercurah kalimat- kalimat bismillah, Allahu Akbar, al hamdulillah,astaghafirullahal Azim dan berapa kalimat pendek lagi.

Ibuku mengaji ilmu agama Islam,seperti ilmu tauhid, fiqh dan tasawuf pada tuan-tuan guru di kampungku,Lebai Salleh atau ayah Leh dan Haji Nawawi Muhammad atau Tuan Cik Wi janggut merah.

“…tuan cik Wi kata, anak-anak kalau belajar bahasa orang putih,tak mengaji agama Islam dulu, tak kenal Nabi Muhammad,tak pandai mengucap dua kalimat syahadat, …kenal nabi Isa,… tapi nabi Isa palsu,”kata ibuku.

“Ayah Leh kata, banyak anak orang Arab,Turki, Serani,jadi kafir kerana belajar bahasa orang putih,tak belajar agama Islam dulu,” Ibuku berkata dengan mengucap istighfar di hujung perkataannya.

“Emak tak emboh jadi macam anak Tuan Kadi, Haji Mat Jais tu, anak jantan dia,kecil lagi dah hantar belajar di negeri orang putih, tak mengaji agama Islam dulu…,” kata ibu dan dua biji matanya yang bersinar dalam cahaya pelita minyak tanah itu menatap wajahku.

Aku senyum kepadanya.Aku akur dengan kata-kata ibukuj itu.

“…anak tuan kadi tu, dah tamat belajar di negeri orang putih,…bawa balik betina orang putih,”ibuku bercerita.

“Malam-malam menari di kelab,…minum arak, di rumah demo ada bela anjing,…anjing duk dalam rumah,duk bawa kerusi, bawah katil…,”kata ibu dengan tujuan menanamkan ajaran yang difahaminya kepadaku.

Ibu merenung kepadaku dengan perasaan seorang ibu yang warak.

“…bila mu dah pandai bahasa Arab,dah ada ilmu agama Islam,tak apa mengaji bahasa Inggeris…,”kata ibu sambil bingkas bangun dari atas tikar mengkuang.

Pendapat ibu,bapa,datukku dan tuan cik Wi tak sama dengan pendapat guru besar sekolahku,cikgu Yeop Nordin.Dia mahu murid-muridnya masuk sekolah Inggeris,belajar bahasa Inggeris,pandai cakap Inggeris dan tak perlu belajar ilmu agama Islam.

“…enkauma belajar agama,belajar bahasa Arab,tak boleh cari makan,…jadi derebar orang,jadi kuli,jadi tok siak masjid bolehla,…belajar bahasa Inggeris boleh jadi D.O.,jadi Hakim…,jadi kerani kereta api, kerani tuak, jadi apa-apa lagi,…gaji besar.”kata cikgu Yeop Nordin.

“Anak saya, Muin tu,saya nak hantar ke sekolah Anderson di Ipoh,” cikgu Yeop Nordin berkata dengan wajahnya yang bongkak.

Pada masa aku belajar dalam darjah satu,cikgu Yeop Nordin telah mengajar dalam darjah itu.Dia mengajar aku dan murid-murid lain, iaitu, ‘…ular mematuk,ayam jantan berkuku,ayam betina berketuk,ketam menyepit.’

Cikgu Yeop Nordin mengajar kami berpantun. Di sebalik erti pantun itu ada lucahan,iaitu:

Buai laju-laju,

sampai balik sana,

apa dalam baju,

kuntum bunga sena.

Pada malam itu, ibuku dan aku bercakap dalam keadaan mesra dan manja. Dia aku hidup pada masa depanku berilmu pengetahuan duniawi dan akhirawi. Hatinya membungkus hareapan agar aku menjadi seorang anak yang soleh. Sepanjang hayatku senantiasa mendapat keredaan Allah dan diberkati oleh-Nya pula.

“…emak tak nak mu jadi anak Cina hisap candu,anak orang India minum tuak,”pesan ibuku di hujung percakapan kami.

Di kaki tangga terdengar gayung bertingkah dengan guri. Ayahku baru pulang dari surau. Dia sedang membasuh kaki dengan air dalam guri di kaki tangga.

Assalamu alaikum,”suara ayahku memberi salam.

Kami menjawab salamnya dengan penuh mesra.

No comments: