Friday, May 30, 2008

(Untuk menungan)

BELATUK JAMBUL MERAH

Burung belatuk atau taguk-taguk yang disebut dalam Quran ‘hud-hud’ (An Naml:20) sejenis unggas yang terkenal, kerana ia telah menjadi utusan membawa warkah Nabi Sulaiman a.s. kepada Ratu Balqis, di Sabagai, Yaman, sehingga ratu itu memeluk agama Islam.

‘Kamu pergi membawa surat aku ini, dan gugurkan kepada mereka (Ratu Balqis), kemudian kamu menghindarkan diri dari mereka, dan perhatikan bagaimana jawapannya.

(Ratu Balqis) telah berkata, hai pembesar-pembesar, sesungguhnya telah dijatuhkan kepada ku sepucuk surat yang mulia.(surat) itu dari Sulaiman dan (di antaranya): Dengan nama Allah yang Pemurah dan Penyayang’

(An Naml: 28 -, 30).

Nabi Sulaiman mewarisi Nabi Daud a.s., iaitu Allah telah menjadikannya nabi selepas Nabi Daud alaihis salam. Nabi Allah itu memahami bahasa atau bunyi unggas. Semua unggas, manusia dan jin menjadi tentera Junjungan.

Dan Sulaiman telah mewarisi Daud, dan dia berkata: “Hai manusia, kami telah diberi pengertian tentang suara burung dan kami diberi segala sesuatu. Sesungguhnya (semua) ini benar-benar suatu kurniaan nyata.”

Dan dihimpunkan untuk Sulaiman tenteranya dari jin, manusia dan burung lalu mereka itu diatur dengan tertib (dalam barisan).

(an naml:16,17.)

Pada zaman Nabi Daud burung belatuk berjambul merah. Menurut kisah (tidak ada dalam Quran), semua burung belatuk minum air dari tasik dan sungai seperti unggas-unggas lain juga. Tetapi kerana hawa nafsu ingin bermegah, maka wakil (macam wakil rakyat) burung-burung tersebut telah menghadap Nabi Sulaiman untuk meminta Junjung berdoa agar burung belatuk berjambul merah.

Nabi Sulaiman telah enggan menunaikan permohonan wakil belatuk itu dengan alasan:

“Belatuk, mengapa kamu hendakkan jambul, bukankah dengan keadaan kamu sekarang ini tidak menyusahkan kamu?”

“Ampun Tuanku,kami hendak juga jambul merah,” jawab wakil belatuk.

“...sekarang ini kamu semua minum air tasik dan sungai, maka bersama burung-burung lain, tetapi kalau kamu semua berjambul merah akan jadi susah,” Nabi Sulaiman menasihati belatuk.

“Tidak tuanku, tak jadi susah ...,” sambut wakil belatuk.

“Akan susah belatuk, bila kamu ada jambul,orang ..., kanak-kanak akan terbir kamu, baling kamu dengan batu, kerana mereka hendakkan jambul kamu ..., kamu jadi tak bebas lagi, ” sabda Nabi Sulaiman.

“Tidak Tuanku, kami minum air tasik dan sungai jauh dari mereka,” sahut wakil belatuk.

“Kamu tengoklah, kalau kamu ada jambul, kamu tak dapat lagi minum air dari tasik dan sungai,kamu terpaksa minum air dalam punggur, cari makanan pada batang kayu, sarang kamu pun pada punggur juga,” sabda Nabi Sulaiman.

Kerana wakil rakyat belatuk itu terlalu meminta dan mendesak, maka Nabi Sulaiman telah berdoa kepada Tuhan supaya dikurniakan jambul merah kepada semua belatuk.

Wakil (macam wakil rakyat sekarang) belatuk itu kembalilah mendapatkan kaum sejenis dalam rimba. Hatinya puas kerana Nabi Sulaiman telah melayan kehendak mereka. Semua pengikutnya gembira kerana akan menjadi sejenis unggas yang cantik.

Sebaik-baik sahaja semua burung belatuk berjambul – yang jantan jambul merah dan yang betina berjambul hitam atau kelabu asap - , maka mereka telah mengalami masalah yang sulit. Mereka tidak dapat lagi meminum air dari tasik dan sungai kerana diterbir atau dibaling batu oleh orang atau kanak-kanak yang hendakkan jambul mereka.

Semua burung belatuk terpaksa mencari makan dengan mematuk-matukkan paruh masing-masing pada batang kayu. Mereka terpaksa meminum air di hujung batang reput atau punggur dan tempat tinggal jua dalam lubang kayu..

Kisah itu sama ada benar atau rekaan, dapat kira terima sebagai pelajaran, iaitu:

. Memilih wakil yang tidak berpelajaran dan tidak bijak akan menyusahkan kehidupan orang ramai.

. Biasanya orang yang mengutamakan gaya dan kecantikan diri tidak adalah orang yang tidak bijak dan tidak boleh jadi pemimpin.

Semua burung belatuk tidak menjadi bebas lagi. Hidup bergantung kepada batang kayu reput atau punggur. Demikian juga manusia, kerana berkehendakkan kebendaan – hidup kaya dan sebagainya atau nama -, maka diri menjadi manusia yang bergantung kepada orang lain.

Dari kisah belatuk itu, orang tua Melayu pada zaman silam yang memerhatikan seseorang yang bergantung kepada ketua, pembesar, orang berkuasa, apabila orang tempat bergantung itu jatuh,maka dia ikut jatuh.

Apabila kita meniti atas sejarah parti politik dan orang-orang politik – sama ada yang berkuasa atau tidak berkuasa - di negara ini, kerana mereka tidak berjuang dengan ikhlas – tidak kerana Allah; demi bangsa, negara dan agama Islam, sebaliknya bertujuan kebendaan, kedudukan dan sebagainya, maka mereka bernasib seperti belatuk.

Misalnya mereka yang terlalu berpaut kepada Tengku Razaleigh Hamzah yang menjadi Menteri Kewangan, apabila beliau tidak lagi memegang jawatan itu dan perjuangannya merosot, maka pengikut-pengikutnya menjadi seperti belatuk

Begitu juga mereka yang terlalu berpaut kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, apabila beliau jatuh, orang-orang itu jadi seperti belatuk.

Sebilangan besar berpaut kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia, setelah beliau meletakkan jawatan, para pengikutnya menjadi seperti belatuk juga.

Semua manusia yang berbangsa Melayu di seluruh Kepulauan Melayu atau Nusantara, amat kenal akan burung belatuk. Satu peribahasa Melayu telah menjadi sirih pinang atau asam garam dalam perbualan harian orang Melayu, iaitu: Punggur rebak belatuk tumpang mati.

No comments: