Saturday, May 24, 2008

MAWAR MERAH

[ Cerita Ini sedutan dari novel,

Kelip- Kelip Di Kota London,

karya Mokhtar Petah yang akan terbit-

Petah Sharir Aidid]

Pagi Ahad akhir bulan Februari 2005.

Taman Mawar – RoseGarden, berselimut kabus dingin. Embun manja pada dedaun dan bebunga seperti liat untuk berpisah. Harum mawar berbaur dengan kabus dan udara pagi suci itu.

Rose Garden masih belum ramai pengunjungnya. Biasanya pada pagi minggu ramai orang yang berkunjung ke situ. Mereka datang menyaksikan beraneka jenis bunga mawar dalam taman tersebut. Harum taman itu menyegarkan fikiran mereka yang lesu.

Namlatun Sa’adiah berjalan tunggal dalam Taman Mawar itu. Kedatangannya ke situ untuk melegakan resah dan gelisahnya. Dalam cuaca dingin yang menyelubungi taman itu, dia memerhatikan kuntum-kuntum bunga mawar di kiri kanannya. Kuntum-kuntum itu berwarna merah. Samar. Merah tua. Kuning. Jingga. Putih dan warna-warna lain lagi.

Sepasang mata Namlatun Sa’adiah terpaku kepada sekuntum bunga mawar merah tua bergayut di tangkainya. Hatinya lantas teringat kepada Mustafa. Pada hari dia dan Mustafa datang ke taman itu dulu, kekasihnya telah memegang dan mengusap-usap sekuntum bunga mawar merah tua di situ.

“Atun, bunga mawar merah darah ni lambang cinta kita,” kata Mustafa.

Namlatun Sa’adiah merenung kuntum bunga itu.

“...ngapa, abang?” Dia bertanya.

“Merah tua..., warna darah kita..., darah Atun..., darah saya...,”jawab Mustafa.

“Ia, abang, biasanya warna darah berubah bila kena cahaya matahari...,”kata Namlatun Sa’adiah.

“Ia, warna darah berubah, jadi hitam..., macam cinta kita juga...,”kata Mustafa.

“Ngapa abang kata begitu?”Namlatun Sa’adiah bertanya.

“ Cinta kita akan jadi hitam, gelap kalau gagal di tengah jalan...,”jawab Mustafa.

“Apa, abang ingat cinta kita akan gagal?”Namlatun Sa’adiah bertanya.

“...mungkin gagal, mungkin tidak..., Allah Maha Mengetahui, Aton,”jawab Mustafa.

“Sungguh, kita di bawah kuasa Tuhan,”kata Namlatun Sa’adiah.

Mustafa merenung wajah Namlatun Sa’adiah. Senyum. Sepasang biji matanya bersinar. Sinaran dari hatinya yang amat menyayangi kekasihnya.

“Atun...,”

“Ia, abang”

“Bunga ros ni cantik, tapi tangkai, dahannya berduri.”

“Orang yang tak takutkan duri saja yang berani petik bunga ni.”

“Berani..., tabah...”

“Ia, abang, ros lambang cinta kita, kata abang.”

“Sungguh, ...kalau berani bercinta, berani kecewa kerana cinta...”

“Atun berani, abang.”

“Sungguh?”

Namlatun Sa’adiah mengangguk. Mustafa senyum.

Pada pagi itu Namlatun Sa’adiah tidak berteman. Tiada Mustafa di sampingnya. Yang ada bersamanya, hanya duka dan lara. Lara seorang gadis yang ditinggalkan kekasih.

Setelah penat berjalan dalam taman itu, Namlatun Sa’adiah mengatur langkahnya ke sebuah bangku panjang di situ, lalu melabuhkan punggungnya atas bangku itu. Beberapa buah bangku di sekitar lorong taman itu diduduki oleh pengunjung-pengunjung lelaki dan perempuan. Mereka itu, ada yang sedang membaca buku, majalah dan ada yang bercakap-cakap sesama mereka.

Namlatun Sa’adiah mengeluarkan dua helai kertas dari tasnya. Kertas itu telah diberi oleh Mustafa kepadanya pada beberapa bulan lalu. Dia telah membawa kertas itu ke mana-mana. Kertas itu menjadi seperti azimat membelah duka laranya. Pada kertas itu tercatat baris-baris sajak ‘Ratib Bahasa’. Sajak itu tidak tercatat nama penulisnya. Dengan berbisik Namlatun Sa’adiah membacanya.

Tahun keramat empat puluh lima,

‘Satu bangsa, Bangsa Melayu,

Satu negara, Negara Melayu,

Satu bahasa, Bahasa Melayu,

Islam agama negara,

Gema ratib para pejuang kita,

Melayu Nusantara,

Ibrahim Yaakob, Ishak Haji Muhammad,

Burhanuddin Helmi, Abu Bakar Al Baqir,

Ahmad Boestamam,

Semua pejuang bumi bertuah.

Ratib bahasa, Bahasa Melayu,

Bahasa ibunda, bahasa berdaulat,

“Melayu tak hilang di dunia”.

Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Ratib kita, jerkah kita, pekik gempita,

‘Bangsa Melayu gugat dunia’.

Empat lapan dan lima puluhan,

Tahun-tahun penjajah menggila,

Ratib mereka, ratib kita,

Bangsa kita, negara kita, bahasa kita,

Jeriji besi, tembok batu, kawat berduri,

Dera mental, dera psikologi.

Khemah tahanan di mana-mana,

Belenggu pejuang-pejuang bangsa,

Ratib mereka, ratib kita, ratib wali.

Tahun keramat lima puluh enam,

‘Biduk lalu kiambang bertaut’

Kongres bahasa dan Persuratan Melayu,

Ratib bahasa ibunda, ratib berdaulat,

Wujud DBP, gedung keramat ratib bahasa,

Ratib pencinta bahasa ibunda,

Bahasa Melayu, Bahasa Negara,

Bahasa Jiwa Bangsa!

Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Ratib anak Melayu setia,

Bahasa kita laksana pohon di rimba,

Musuhnya bahasa asing,

Bahasa dunia,

Ibarat rambung, jerai, dendalu,

Menumpang setia,

Akibatnya, pohon mati, hilang nama.

Ratib insaf, ratib waspada,

Hilang bahasa, peradaban kita,

‘si buta hilang tongkat’, ialah kita,

‘menang sorak kampung tergadai, adalah kita,

“dagang merempat di bumi sendiri, kita jua.

Ratib bernekad, ratib iktikad,

Jika Islam di tepi-tepikan,

Quran tidak jadi pegangan,

Sunah rasul diabaikan,

Ratib keramat ‘Allahu Akbar’,

Sekelip mata cuma,

Melayu hilang di dunia.

Air jernih membenak dalam dua telaga mata Namlatun Sa’adiah. Tangan kanannya mengurut-urut dadanya. Rongga dadanya sebak. Bagai sauk dilanda banjir dalam alur. Sedih dan pilu memamah dirinya. Sedih kerana mengenangkan Mustafa. Teringatkan Ibunya. Menginsafi nasib bangsanya.

Namlatun Sa’adiah telah membaca banyak kisah dalam sejarah umat manusia di dunia. Kisah sejarah yang dikemukakan oleh Allah dalam Quran. Kejatuhan, kemusnahan dan ghaib sesuatu bangsa di dunia ini kerana mereka mengingkari hukum-hukum Tuhan, mengabaikan agama Tuhan, menghina dan meninggalkan agama yang dibawa oleh para rasul Allah.

“Kaum Nabi Nuh dimusnahkan banjir.”

“Kaum Luth musnah terbakar...Buminya musnah, hanya tinggal laut mati.”

“Firaun..., tenggelam dalam laut merah, kaumnya binasa.”

“Kaum ‘Ad dibinasakan dengan ribut taufan.”

Allahu Akbar, banyak lagi bangsa di dunia ni dah musnah...”

“...ya, Allah, lindungilah bangsaku....”

Suara Namlatun Sa’adiah terluah bersama keluhannya. Air matanya tumpah atas kedua-dua belah pipinya yang lesu.

Sebagai penuntut Melayu di seberang laut, Namlatun Sa’adiah sentiasa mengikuti berita-berita dari negaranya. Dari berita-berita itu didapatinya; ada di kalangan Orang Melayu sendiri yang sedang menghapuskan hukum-hukum Tuhan, menghina Agama Islam dan ramai pula yang murtad.

Air mata masih mengalir atas sepasang pipi Namlatun Sa’adiah. Sedih masih mendera dirinya.

“Allah, tunjukkanlah kepada bangsaku, umat Islam, jalan yang benar...,”bisiknya lagi.

Beberapa orang perempuan yang duduk atas bangku di hadapan Namlatun Sa’adiah merenung kepadanya. Mereka tidak menghiraukannya. Bagi mereka; Rose Garden menjadi tempat para remaja membawa hati yang menjerit dan melolong kerana putus cinta.

Namlatun Sa’adiah memasukkan semula kertas-kertas sajak itu ke dalam tasnya. Sambil merenung ke sekitar taman mawar itu, dia bangun dari bangku itu. Tubuhnya masih menggigil kedinginan.

Telefon tangannya menjerit. Ditekapkan telefon itu ke telinganya. Suara Anisah Johan memanggilnya.

Dari bangku panjang itu, Namlatun Sa’adiah berjalan lemah. Dua puntung kakinya bagaikan diheret keluar dari taman mawar yang harum itu. Di pintu masuk ke taman tersebut, dia membisikkan lagu, “mawar merah...”. Lagu itu sering dibisik-nyanyikan oleh Mustafa ke telinganya.

*** ***

Pada waktu Maghrib minggu kedua bulan Julai 2005. Suara juruazan bergema disekitar Masjidil Haram dan Kota Mekah. Mustafa berpakaian ketayap putih dan baju kurung ‘al falah’. Sambil memegang sebuah Quran dia berdiri dekat rak Quran di sisi tiang besar dalam masjid itu.

Hati Mustafa sedang diselubung rawan, hiba, duka dan sayu hatinya mengenangkan orang yang dikasihinya. Menginsafi dirinya sendiri yang menjadi perantau dibumi suci peninggalan Nabi Muhammad itu.

Mustafa membiarkan air matanya melimpah dari dua buah matanya. Air itu mengalir ats sepasang pipinya. Dibiarkan lagi air itu luruh atas dadanya. Quran di tangannya, diletakkan semula atas rak itu.Sebaik-baik sahaja suara juruazan berakhir, Mustafa berdiri atas saf . Bersama beratus-ratus manusia mukmin dari seluruh dunia, dia menghadapkan dirinya ke arah Qiblat, lalu sembahyang fardu Maghrib.

Sebaik-baik sahaja selesai sembahyang fardu Maghrib, Mustafa mengambil sebuah Quran dari atas rak. Kitab suci berkulit warna merah tua itu direnung kulitnya. Dibuka setiap mukanya. Beberapa puntung ayat kitab suci itu dibaca dengan perasaan tenang.

Walaupun Mustafa tidak mengetahui makna ayat-ayat Quran itu, tetapi mukjizat ayat-ayat kalam Allah itu laksana lampu suluh menerangi kegelapan hatinya. Fikirannya lapang. Yakin dirinya mewajakan semangatnya. Pada saat itu dia berkeadaan seorang hamba yang paling taat di hadapan Tuhan.

“...ya, Allah, ampunkanlah semua dosa besar, dosa kecilku. Kau jadikanlah aku hamba-Mu yang ikhlas. Jadikan hatiku berani berjihad pada jalan-Mu. Seberani para sahabat Nabi-Mu yang mati syahid di Jabal Uhud,” Mustafa berdoa kepada Tuhan.

Sambil meletakkan semula Quran itu atas raknya, Mustafa menyesali dirinya kerana tidak mengetahui makna ayat-ayat suci itu. Pada saat itu, dia amat insaf akan kejahilannya. Seorang Muslim tidak mengetahui makna ayat-ayat dari kitab suci, kitab ilmu pengetahuan dan pedoman kepada umat Islam dan semua manusia itu.

“...aku ni dah macam tikus tengok besi aje...,”bisik Mustafa.

“...ngapa bapa aku tak bagi aku belajar di sekolah agama?” Mustafa bertanya dalam bisikannya.

“Aku tak boleh salahkan bapaku, …aku yang salah, …tak mau belajar…,”bisik Mustafa lagi.

Insya Allah, aku akan belajar di sini...,”bisikan Mustafa putus.

Mustafa telah menjadi tetamu Allah di Kota Mekah. Hampir dua minggu dia telah tinggal di kota itu untuk mengerjakan ibadah Umrah. Kedatangannya ke sana membawa hatinya yang duka lara dan sarat dengan iman untuk beribadat kepada Tuhan di Masjid Haram.Di mana-mana rumah Allah di sana.

Aku bersumpah dengan negeri (Mekah) ini. Dan engkau bermastautin di sini.

Erti ayat Quran itu telah sebati dalam hati Mustafa. Lama dulu, Namlatun Sa’adiah telah membacakan makna ayat suci itu kepadanya. Waktu itu mereka sedang duduk dalam apartment mereka di Bandaraya London pada satu malam. Kadang-kadang ayat suci itu menjadi wiridnya lepas sembahyang.

Mustafa telah datang ke bumi haramain (dua tanah haram –Mekah dan Midinah) itu bersama satu rombongan orang-orang Islam dari Bandaraya London. Rombongan itu dipimpin oleh Sheikh Muhammad Fakhruddin, mualim Arab Yaman yang telah bermastautin di Bandar raya London.

Sebelum datang ke Mekah, mereka telah menziarah Kota Madinah. Selama berada di Kota Madinah, Mustafa dan anggota-anggota rombongan itu telah sembahyang di Masjid An Nabawi, menziarah makam Nabi Muhammad dan kawasan makam keluarga, kerabat dan para sahabat Nabi Muhamad, iaitu Jannatul Baqi’ keluarganya.

Mereka telah menziarah dan sembayang sunat di Masjid Al Falah, Masjid Abu Bakar As Siddiq, Masjid Umar Al Khattab, Majisd Salman Al Farisi, Masjid Quba, Masjid Qablatai, Masjid Fatimah Azzsuhra, Masjid Bilal dan beberapa buah masjid lagi.

Pada petang kering, Mustafa dan rombongannya telah melawat ke Jabal Uhud. Gunung berbukit bukau tempat peperangan askar-askar Islam pimpinan Nabi Muhammad dengan askar-askar kafir Quraisy. Kawasan sekitar gunung dan bukit bukau itu sepi. Sayu. Atas permukaan padang pasir di sekitarnya kelihatan tompok-tompuo kecil hitam seperti darah kering.Sesiapa yang menlawat ke sana dapat melihat tompok-tompok itu.

Di sana seramai tujuh puluh orang askar Islam telah mati syahid. Di antara mereka itu, bapa saudara Nabi Muhammad, Hamzah bint Abdul Mutalib, Abdullah bin Jaisyi, Salamah bin Thabis bin Waqas dan Abu Sufyan bin Al Haris bin Qais bin Zaid.

“Mereka mati kerana Allah, mempertahankan agama Allah, abang...,” Mustafa teringat akan kata-kata kekasihnya.

“Walaupun Atun perempuan, Atun sanggup mati kerana Allah, kerana agama Islam...,”suara Namlatun Sa’adiah membuai-buah otak Mustafa.

“Ia,abang, ... berjuanglah dengan harta dan diri kamu pada jalan Allah, itu baik untuk kamu, kalau kamu tahu...,” suara Namlatun Sa’adia merangsangkan semangat Mustafa.

“...insya Allah, abang akan berjuang...,” pekik hati Mustafa.

Sebelum berangkat ke Kota Mekah, rombongan umat Islam itu telah melawat ke beberapa tempat bersejarah di Madinah. Di antaranya tempat perang Khandak dan bekas Masjid Dhirar. Di situ, Sheikh Muhammad Fakhruddin telah membaca ayat Quran tentang masjid itu:

“Orang-orang yang membina masjid (masjid Dhirar) kerana hendak menimbulkan bahaya kerana kekafiran, memecah belah orang-orang yang beriman kerana hendak menyambut orang yang sejak dulu(Abu Musa) memerangi Allah dan rasulnya.”

“...jangan kamu berdiri (sembahyang) dalam masjid itu selama-lamanya.”

Di Kota Mekah, Mustafa dan rombongannya telah menziarahi gua tempat Nabi Muhammad bermunajat dan menerima ayat Quran yang awal, Iqra, iaitu Gua Hira, atas gunung batu - Jabal Nur, Gunung Thur tempat Nabi Muhammad dan Abu Bakar As Siddiq bersembunyi sebelum mereka berhijrah ke Yathrib – Madinah. Ziarah mereka yang akhir ke Padang Arafah dan sekitarnya.

Hasrat Mustafa untuk bermastautin di Kota Mekah terkabul. Sheikh Muhammad Fakhruddin telah menolongnya mendapatkan kebenaran dari Kerajaan Arab Saudi. Mustafa dibenarkan tinggal di bumi haram itu selama lima hingga sepuluh tahun.

“...insya Allah, saya akan belajar pengetahun Islam di sini,...saya juga akan berniaga...,” Mustafa memberitahu Sheikh Muhammad Fakhruddin.

“Ia, bagus, al hamdulillah..., saya akan kenalkan Tuan dengan saudara saya, ahli perniagaan di sini,”kata Sheikh Muhammad Fakhruddin.

“Terima kasih, Tuan,”sahut Mustafa.

Pada malamnya, sebaik-baik sahaja selesai sembahyang fardu Maghrib, Sheikh Muhammad Fakhruddin memperkenalkan Mustafa kepada saudaranya, Sheikh Mmuhammad Nazim. Dia ahli perniagaan di Kota Mekah dan Jeddah. Ahli perniagaan itu telah berjanji akan membantu Mustafa menjalankan perniagaan.

“...kami memerlukan minyak kelapa sawit, buah-buahan di Malaysia, seperti nanas, betik...,” Sheikh Muhammad Nazmi memberitahu Mustafa.

Pada hari rombongan Sheikh Muhammad Fakhruddin akan berangkat meninggalkan Kota Mekah, Mustafa telah mengucapkan selamat jalan kepada mereka. Setelah rombongan itu pergi meninggalkannya di halaman Masjid Haram, terasa benar dirinya terasing. Laksana perantau sebatang kara. Kosong.Sunyi.

Air jernih melimpah ruah dari dua telaga mata Mustafa. Hati lelakinya memujuknya. Walaupun dia tinggal sebatang kara, tetapi Tuhan tetap bersamanya. Pada ketika dia mengesat air matanya dengan lengan bajunya, tiba-tiba wajah Namlatun Sa’adiah terbayang dalam otaknya.

“Atun...,”Mustafa menyeru kekasihnya.

“Atun...,”dia menyeru lagi.

Tidak wujud Namlatun Sa’adiah di hadapan Mustafa. Hanya berpuluh-puluh orang lalu lalang di hadapannya.Bangunan-bangunan bagai gunung-ganang mengepung Masjid Haram.

“... ya, Allah, peliharalah Atun..., Namlatun Sa’adiah...,” Mustafa berdoa kepada Tuhan.

Mustafa meninggalkan Babaus salam Masjid Haram itu. Dengan menggonggong perasaan duka dan lara, dia berjalan lemah pulang ke pangsapuri tempat tinggalnya. Pangsapuri itu terletak di Jalan Aljiyad, berhampiran dengan Masjid Haram. Pangsapuri itu telah disewa oleh Mustafa dari Sheikh Muhammad Nazim selama setahun.

Pada petang 7 Julai 2005. Mustafa sedang dalam ruang tamu angkasapurinya sambil membaca sebuah buku mengenai Negara Arab Saudi. Tiba-tiba hatinya terpelanting kepada Namlatun Sa’adiah di Bandaraya London. Gadis itu telah ditinggalkan dalam keadaan mewah. Tetapi hati Mustafa khuatir, kalau-kalau gadis itu sentiasa di mamah duka dan lara.

“Kalau tak sebab sumpah emak dia, kami dah kahwin...,” Mustafa berbisik kepada dirinya.

“...mudah-mudahan Allah jodohkan dia dengan lelaki yang baik,” Mustafa berdoa dalam bisikannya.

Mustafa teringat pula kepada rakannya, Johan. Isterinya, Anita Caddy. Anaknya, Anisah Johan. Mereka berada jauh daripadanya. Johan tidak mengetahui dia telah berada di Kota Mekah. Mustafa memuji ketiga-tiga insan yang baik hati itu.

“...Encik Johan, awak suami yang baik...,” bisik Mustafa lagi.

Mustafa bangun dari kerusinya. Sambil menggeliat dia berjalan ke meja di sudut. Air Zamzam dalam jak atas meja itu dituangkan ke dalam gelas lalu diminumnya.

Alhamdulillah...,”Johan mengucap syukur sambil meletakkan semula gelas ke atas meja.

Perut pangsapuri itu sepi. Hanya bunyi mesin hawa dingin di dinding dapat melegakan menguakkan kesepian Mustafa. Sepi bagi Mustafa membosankan. Sepi bagi ahli sufi melegakan fikiran.

Mustafa menyifatkan Kota Mekah dan seluruh bumi Arab Saudi sebuah dunia sunyi sepi. Tidak ada gema muzik. Tidak kedengaran gendang dipalu. Lagu-lagu asmara dan tidak melalut di udara. Di mana-mana. Di celah-celah batu gunung, dahan zaitun, pepohon kering, lingkaran akar-akar anggur dan pelepah-pelepah tamar,hanya kedengaran unggas-unggas padang pasir.

“Kerana di sini cukup kawalan berdasarkan agama Islam, tidak banyak jenayah berlaku...,”kata hati Mustafa.

Peti televisyen dan radio hanya menyiarkan berita-berita yang telah ditapis. Lagu-lagu Arab yang menjemukan. Lagu-lagu Inggeris dan lain dari lagu Arab, diharamkan sama sekali.

Mustafa sedang didera kesepian. Untuk mencari sedikit keriangan, dia menekan punat peti televisyennya. Sebaik-baik sahaja gambar-gambar menjelma di kaca televisyen itu, tubuh Mustafa seperti terlambung ke lelangit. Dia menjerit. Pada kaca televisyen itu kelihatan gambar-gambar bas merah musnah. Mayat-mayat bergelimpangan. Orang-orang yang cedera dan berlumuran darah menjerit-jerit atas jalan.

Berita itu disiarkan dalam bahasa Arab. Mustafa tidak dapat memahaminya. Menonot gambar-gambar itu, fahamlah Mustafa; keretapi bawah tanah dan bas di Bandaraya London telah dibom. Bandaraya London telah kalut dan gempar. Kawasan tempat kejadian itu, sering dilaluinya bersama Namlatun Sa’adiah.

Kaca televisyen itu menayangkan gambar Perdana Menteri British, Tony Blair sedang bercakap dalam sidang wartawan. Negarawan itu menuduh orang-orang Islam telah melakukan keganasan itu. Dia seperti Presiden Bush juga, secara melulu menuduh orang-orang Islam pengganas. Mustafa yakin, mereka ada agenda jahat untuk memusnahkan Umat Islam.

“...tak betul, tak percaya..., orang Islam buat perkara tu..., Orang putih sendiri, Orang Yahudi..., sengaja nak busukkan orang Islam...,”suara Mustafa terluah dalam gema keriuhan dari peti televisyen itu.

Mustafa mengucap istighfar beberapa kali. Wajah Namlatun Sa’adiah, Sharifah Sakinah, Johan, Anita Caddy dan Anisah Johan bagaikan tersumbat dalam otaknya. Kalau dia di Bandaraya London pada ketika itu, tentu dia mencari mereka.

“Atuuuun...,”suara Johan memanggil kekasihnya.

Pada saat itu, Mustafa teringat kepada waktu-waktu dia bersama Namlatun Sa’adiah turun naik tangga di stesen keretapi bawah tanah di Adgware Road. Mereka menaiki tube di situ.Dalam perut bumi di situlah bom telah meledak. Di situlah darah dan tulang manusia berkecai.

“Atuuun.”

“Atuuuu.”

“Atuuuuun.”

“…Atun, bukan abang..., abang tak bom…,”suara Mustafa lemah.

Peti televisyen menyiarkan bacaan ayat-ayat Quran oleh qari terkenal, Said Al- Ghaamidi. Mustafa dikuak oleh perasaan tenang. Bacaan ayat-ayat suci itu diamatinya. Erti ayat-ayat suci itu dapat difahami ertinya di sana sini. Dengan perasaan seorang lelaki Mukmin, Mustafa cuba memahami ayat-ayat Quran mengenai ‘perang pada jalan Allah’ itu.

‘...hendaklah kamu berperang di jalan Allah; tidaklah dipaksakan, melainkan kepada diri kamu sendiri.

Bangunkanlah keberanian orang-orang yang beriman, mudah-mudahan Tuhan menahan serangan orang-orang kafir. Tuhan itu lebih besar kekuasaan-Nya dan lebih keras seksa-Nya.

Mustafa dikejutkan oleh bunyi telefon atas meja di hadapannya. Dia menutup punat televisyen. Telefon diangkat ke telinga kanannya. Suara parau seorang lelaki menyumbat lubang telinganya. Lelaki itu bertutur dalam bahasa Inggeris, pelat orang Perancis.

“...assalamualaikum,”suara lelaki itu.

Wa alaikum salam...,”sahut Mustafa.

“ Saya, Abdel Walid..., rakan Sheikh Muhammad Nazim,”kata lelaki itu.

“Ia, alhamdulillah...,”sahut Mustafa.

“ ...saya dari Hamas, cabang Arab Saudi...”jelas Abdel Walid.

Mustafa terkejut. Nama Hamas, Hizbullah, dan Al Qaeda tersendat dalam otaknya. Nama –nama itu sering menjadi ratibnya. Mustafa amat ingin menemui Abdel Walid. Sekurang-kurangnya dia akan dapat belajar tentang jihad dari lelaki anggota Hamas itu.

Masya Allah, bolehkah saya berjumpa Tuan...?”Tanya Abdel Walid.

“Boleh, bila..., di mana?” Mustafa bertanya.

“...malam ini, di pintu, Babussalam..., Masjidul Haram, lepas sembahyang Maghrib,”jawab Abdel Walid.

“Baik, tapi macam mana saya dapat kenal Tuan?” Mustafa bertanya.

“...mudah, saya berjalan tempang, kaki besi..., bertongkat...,”jawab Abdel Walid.

“Ia, insya Allah...,”sahut Mustafa.

Alhamdulillah, assalamu alaikum...,”suara Abdel Walid.

Wa alaikum salam,”sahut Mustafa.

Mustafa tahu, Hamas, Al Qaeda dan Hazbullah menjadi nama-nama besar yang menggerunkan penduduk-penduduk Kristian dan Yahudi di Bandaraya London. Tetapi kebanyakan umat Islam di sana memandang tiga buah organisasi jihad itu baik. Membela umat Islam yang ditindas oleh musuh-musuh Islam.

Perasaan ingin menemui Abdel Walid memacu semangat Mustafa. Lelaki itu akan dapat menerangkan kepadanya akan pergerakan dan perjuangan organisasi itu. Benarkah mereka itu pengganas seperti tuduhan Ehud Olmert- Yahudi, Bush – Amerika Syarikat dan Blair – British?

Pada detik-detik Mustafa mencari jawapan, dia teringat akan kata-kata seorang pengarang Islam di Malaysia, “...kerana kekejaman musuh-musuh Islam, Yahudi, Amerika Syarikat dan British, maka organisasi-organisasi Islam itu bertindak, jihad, mereka bukan pengganas, mereka pembela umat Islam, mempertahankan bumi Islam.”

“Umat Islam mengamalkan ajaran Tuhan; manusia hendaklah ada hubungan dengan Allah dan hubungan sesama manusia,” kata pengarang itu lagi.

“Allah akan menimpakan kehinaan atas mereka yang tidak mengamalkan ajaran Tuhan itu,” tambah pengarang itu.

Menurut pengarang itu, Umat Islam bukan pengganas. Mereka bertindak kerana musuh mereka mengganas terhadap mereka. Umat manusia di seluruh dunia mesti mencari sebab musabab wujudnya organisasi-organisasi orang Islam yang berani mati syahid.

Mustafa lantas teringat akan kata-kata kekasihnya, Namlatun Sa’adiah, “...Hamas, Al Qaeeda, Hizbullah dan apa jua pergerakan Islam, membela umat Islam yang dijajah dan tertindas..., menentang musuh Islam.”

“Atun.”

“Atuuun.”

“Atun, demi Allah, abang akan berjihad, jihad pada jalan Allah...”

Suara Mustafa meraba setiap ruang dalam pangsapurinya. Azamnya; perjuangannya kerana Allah akan diteruskan sehingga ke titisan darahnya yang terakhir.

“...marilah menuju kebahagiaan,

Allah Maha Besar,

Tiada tuhan melainkan Allah.”

Gema azan Maghrib dari Masjidil Haram membuai-buai masuk ke dalam pangsapuri Mustafa. Suara juruazan itu mewajakan semangatnya. Kukuh semangatnya. Ikhlas cintanya kepada Allah. Murni cintanya kepada kekasihnya, Namlatun Sa’adiah. Gadis manis dengan kelip-kelip tanpa cahaya, di Kota London. Puteri yatim piatu dari Batang Berjuntai.

No comments: